Pendidik galas tugas berat untuk melahirkan modal insan berintegriti
SARIKEI: Pendidikan adalah pelaburan yang terpenting dalam menjamin kestabilan negara ketika menempuh era globalisasi, sekali gus mencapai status negara maju.
Justeru, peranan pendidik amat penting bagi memastikan taraf pendidikan mencapai satu titik kecemerlangan untuk melahirkan modal insan yang berintegriti agar masa depan negara ditadbir urus dengan sempurna, kata Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing.
“Dalam memastikan usaha ini berjalan lancar, kerajaan mengambil beberapa langkah terutama memperkukuhkan dan menghalusi dasar-dasar pendidikan negara yang bertujuan untuk melahirkan golongan pelajar yang mempunyai tahap pengasahan minda kelas pertama,” ujarnya.
“Kita mahu golongan pendidik masa kini mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan dan memberikan fokus terbaik terhadap kerjaya mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah yang sangat besar dalam memastikan hala tuju negara untuk terus maju dan membangun.”
Katanya, jika sumbangan para pendidik dinilai dari segi wang ringgit, ia memang tidak berbaloi kerana ia tidak ternilai, tetapi perkara tersebut harus diketepikan oleh mereka kerana apa yang paling utama ialah masa depan bangsa dan negara dijaga agar Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jom Berambeh ke Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Peringkat Negeri Sarawak Kali Ke-31, di sini semalam.
Majlis tersebut diadakan di Central Market Sarikei dan dihadiri oleh sekitar 2,000 orang yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Pelajaran dari seluruh Sarawak, peserta dan pegawai yang terlibat dengan PSKPP serta masyarakat setempat.
Ding berkata, kerajaan pada dasarnya sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat agar masalah kemiskinan dapat diturunkan ke tahap paling minimum.
“Masyarakat di bahagian Sarikei amnya, harus bersyukur kerana setakat ini secara dasarnya telah menikmati taraf kemudahan pada tahap yang memuaskan jika dibandingkan dengan bahagian-bahagian yang lain di negeri ini,” katanya.
“Dari segi kemudahan infrastrukturnya, bahagian Sarikei boleh dikategorikan mempunyai kemudahan asas yang serba lengkap dan perkara ini boleh dibuktikan dari segi pembangunan fizikal di mana pelbagai jenis pembangunan telah dilakukan dan sedang giat dilaksanakan.”
Pada majlis sama, Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak (PPS) merangkap Yang Dipertua PSKPP Sarawak, Abdillah Adam berkata, sokongan dan kerjasama semua pihak sama ada yang terlbat secara langsung mahupun tidak langsung pada pesta ini adalah kunci utama kelancaran program ini dijalankan.
“Sumbangan kewangan yang dihulurkan oleh Ahli Parlimen Sarikei berjumlah RM40,000 kepada pihak PSKPP bahagian banyak memberi impak yang positif kepada pesta ini,” jelasnya.
“Keprihatinan pemimpin-pemimpin seperti ini dan disokong oleh tindakan yang positif masyarakat setempat telah melonjak dan memberikan peningkatan kepada prestasi pelajaran pelajar di bahagian ini, di mana sejak tiga tahun berturut-turut ini bahagian Sarikei menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam setiap peperiksaan awam yang dijalankan.
“Kita berharap bahagian-bahagian lain menjadikan perkara ini sebagai teladan terutama dalam merelisasikan misi pendidikan negara ini yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti, seimbang, berwawasan dan berintegriti tinggi.”
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Sarikei Micheal Dawi Ali, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang Raymond Gai Panting dan Timbalan PPS Jaidah Alek.
The Borneo Post
Utusan Borneoby Kepu Sidi. Posted on July 30, 2011, Saturday
Tiada ulasan:
Catat Ulasan