The Borneo Post
by Mohd Achil Norrlatep. Posted on August 6, 2011, Saturday
PERIKSA BARISAN: Dennis bersama Muhamad Halid ketika memeriksa barisan kawat wira dan wirawati PLKN Kem Juara. |
Peserta harus jadi contoh terbaik kepada masyarakat sebaik tamat latihan
MIRI: Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diseru supaya tidak mempersia-siakan latihan yang diterima selama tiga bulan di kem penempatan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, peserta program harus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat sebaik sahaja tamat latihan.
“Sebaik sahaja melangkah keluar dari kem, anda harus mempraktikkan apa yang diterima dalam kehidupan sebenar,” katanya ketika majlis penutupan rasmi PLKN Kem Juara, Serian baru-baru ini.
Menurutnya, masyarakat dan komuniti di sekeliling akan menjangkakan apa yang terbaik daripada peserta PLKN lebih-lebih lagi dalam usia mereka yang masih muda.
Katanya, para pelatih yang terpilih turut bernasib baik kerana tidak semua berumur sebaya mereka terpilih mengikuti program berkenaan.
“Anda semua sungguh bertuah kerana terpilih dan jika bercakap soal tenaga, wang serta masa yang telah dicurahkan sama ada daripada ibu bapa mahupun kerajaan, semuanya terlalu berharga, anda harus hargai”, ujarnya.
Program berkenaan juga menurut Dennis merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk membekalkan belia supaya bersedia mengharungi masa depan yang semakin mencabar.
Seramai 282 pelatih di kem berkenaan menamatkan program dan 38 daripada mereka berasal dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia sementara 64 orang tenaga pengajar terlibat.
Kem berkenaan juga merupakan satu-satunya kem di Malaysia yang dimiliki oleh Orang Ulu dan diuruskan oleh Lejau Lah iaitu seorang berbangsa Kayan berasal dari Long Liam, Baram.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Mejar Muhamad Halid Abdul Hamid dan ibu bapa peserta program.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan