Ahad, 21 Ogos 2011

Lapor setiap penerimaan hamper musim perayaan



MELAKA: Kakitangan awam mahupun swasta yang menerima hadiah atau hamper pada musim perayaan Aidilfitri yang ada berurusan rasmi dengan pemberi, diminta melapor dan mengisytiharkan pemberian itu kepada ketua jabatan masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sutinah Sutan berkata sebaik-baiknya mereka yang berurusan rasmi dengan pemberi hamper atau hadiah menolaknya bagi mengelakkan unsur salah guna kuasa.
“Pemberi hamper ini selalunya mereka yang mempunyai urusan rasmi kerana kalau tidak mereka tidak akan beri, kita tidak mahu kerana hadiah itu kelak ada unsur-unsur salah guna kuasa atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti ke Arah Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka di Seri Negeri di sini semalam.
Beliau adalah salah seorang panel forum itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ketua dan kakitangan awam negeri ini.
Menurutnya ketua jabatan akan menentukan sama ada pegawai atau kakitangan terbabit boleh menerima hamper atau hadiah itu atau dikembalikan kepada pemberi.
“Ini adalah keperluan yang mesti dipatuhi sebagaimana Surat Pekeliling, Bilangan 3, 1998 yang menya-takan bahawa setiap pemberian hadiah itu perlu diisytiharkan kepada ketua jabatan yang akan menentukan sama ada disimpan atau dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya ada unsur jenayah bagi hadiah atau hamper itu yang berkaitan dengan urusan rasmi boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009 kepada pemberi dan kepada penerima pula mengikut Seksyen 17 (A) akta yang sama.
Katanya kesalahan mengikut seksyen itu meliputi kakitangan sektor awam dan swasta sebagai contoh pegawai bank yang menerima hamper daripada penerima yang mempunyai urusan perniagaan atau pinjaman dengan pegawai terbabit.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kempen perangi pemberi rasuah kepada kakitangan awam khususnya kepada agensi-agensi penguat kuasa yang dilancarkan SPRM pada tahun lepas menampakkan impak positif bagi golongan itu melaporkan kes-kes rasuah.
“ Ini terbukti pada tahun lepas, kita dapat mengurangkan kadar kes-kes rasuah,” katanya sambil menambah inisiatif kempen perangi rasuah itu telah diteruskan pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...