by Saibi Gi. Posted on September 24, 2011, Saturday (UTUSAN BORNEO)
Penyelarasan bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam
KUCHING: Jika kerajaan melaksanakan penyelarasan gaji sektor awam dalam Bajet 2012 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober ia tidak wajar dikaitkan dengan politik.
Sebaliknya Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak Ahmad Malie berkata, ia merupakan bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan serta masalah dihadapi para penjawat awam.
“Sekiranya perkara ini diumumkan kelak, CUEPACS Sarawak berpendapat, tindakan tersebut bukanlah tindakan popular kerajaan yang akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Dalam keadaan sekarang ini (kenaikan kos sara hidup) ditambah lagi penyelarasan gaji sudah lama tidak disemak, CUEPACS Sarawak melihat kewajaran perkara ini diumumkan oleh PM (Najib) merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan bajet nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai spekulasi dan dakwaan kerajaan akan menaikkan gaji sektor awam bagi membantu meraih sokongan di kalangan mereka yang terbabit dalam menghadapi PRU kelak.
Ahmad berkata lagi, kenaikan gaji juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi.
“Jika kerajaan mengumumkan penyelarasan gaji dalam pembentangan Bajet 2012 nanti ia memperlihatkan kerajaan telah mengambil tindakan yang bijak, sesuai dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya.
Menurutnya, walaupun perkara ini masih menjadi rahsia kerajaan, namun CUEPACS Sarawak mengharapkan ia menjadi kenyataan.
Ini kerana para penjawat awam menunggu penuh harapan pembentangan Bajet 2012.
Sementara itu, CUEPACS Sarawak turut berharap bajet itu nanti akan mengambil kira keadaan rakyat yang tidak berpendapatan tetap.
“CUEPACS Sarawak tidak mahu melihat golongan ini akan terbeban ekoran sekiranya kerajaan bersedia untuk mengumumkan penyelarasan kenaikan gaji dalam Bajet 2012,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan