Sumber:
Utusan Borneo
7.11.2011
TURUT MEMBANTU: Fatimah (empat kanan) bergotong-royong melapah daging pada majlis korban 15 ekor lembu di Surau Desa Guru sempena Hari Raya Korban, di Kuching semalam. — Gambar Bernama |
KUCHING: Anak-anak perlu diberi pendedahan sejak di peringkat prasekolah untuk menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa dalam pertuturan.
Demikian menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang mahu ibu bapa menyedari akan hakikat pentingnya penguasaan sekurang-kurang tiga bahasa dalam komunikasi.
“Anak-anak perlu dididik dengan pelbagai bahasa terutamanya bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya satu bahasa tambahan seperti Mandarin dan sebagainya.
“Disebabkan itu, mereka perlu diberi pendedahan seawal peringkat prasekolah lagi agar mereka dapat menguasai kemahiran komunikasi supaya mereka dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan konsert tahunan Grace Bodhi Kindergarten, di sini, malam kelmarin.
Sementara itu, Fatimah turut menyokong sepenuhnya usaha Grace Bodhi Kindergarten dalam menggilap bakat kanak-kanak.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat mahu lebih banyak taska, prasekolah dan tadika di negeri ini mencontohi Grace Bodhi Kindergarten.
“Ini adalah satu usaha yang bagus, di mana anak-anak ini akan mendapat pendedahan dan mempersiapkan mereka untuk membuat persembahan pada majlis yang lebih besar.
“Selain itu, melalui acara seperti ini, kita mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berkeyakinan diri dan berketerampilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan