Selasa, 22 November 2011

Anak luar nikah berleluasa


Sumber:
Utusan Borneo
by Mohd Norhadie Sahari. Posted on November 21, 2011, Monday

WAN ZAIN



MIRI: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak kesal kerana kerajaan gagal membendung masalah sosial melibatkan kelahiran anak luar nikah meskipun memperkenalkan pelbagai program untuk mengatasi masalah itu.
Presiden MAPIM Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar berkata peningkatan jumlah kelahiran anak luar nikah cukup membuktikan masalah sosial melibatkan hubungan seks bebas semakin berleluasa.
Laporan Bernama menyebut, seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.
“Daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).
“Saya berharap kerajaan mencari alternatif lain bagi menyelesaikan peningkatan kes anak luar nikah,” katanya kepada Utusan Borneo.
Wan Zain menjelaskan, satu pendekatan bersepadu perlu disusun atur dari peringkat akar umbi bagi mengenal pasti punca sebenar peningkatan kes terbabit seterusnya menyelesaikan kes itu dengan baik.
“ Saya hampa dan kesal kerana Sarawak menduduki tempat ketiga kes bayi luar nikah dan ibu bapa seharusnya memantau pergaulan anak perempuan mereka daripada menjadi mangsa seks bebas,” katanya.
Pada masa sama katanya, agensi kerajaan berkaitan perlu turun padang dan merancang program yang lebih berkesan dalam mencegah pergaulan bebas di kalangan belia dan remaja.
“Kita bimbang kelahiran bayi luar nikah ini menjadi satu trend dan budaya di Malaysia sama seperti negara-negara lain. Sehubungan itu, kerajaan perlu mempergiatkan usaha mencegah peningkatan kes ini,” ujarnya.
Tambahnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting bagi mengelakkan peningkatan kes-kes anak luar nikah termasuk memberi pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak.
“Jika kehidupan ibu bapa bebas dan tiada pegangan agama yang kukuh, maka sudah pasti anak-anak mereka juga mengikut langkah mereka seperti melakukan perbuatan tidak senonoh atau seks bebas bersama teman mereka,” ujarnya.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu mengawal anak-anak mereka daripada melayari laman-laman tidak senonoh dalam Internet kerana bimbang mereka akan meniru aksi dan mempraktikkan apa yang dilihat.
“Jangan memberi kebebasan kepada anak-anak untuk melayari laman sesawang kerana mereka mudah terdedah dengan laman-laman sesawang yang berunsur seks,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...