Sumber:
Utusan Borneo
by Abang Ismail Abang Su’ud. Posted on December 6, 2011, Tuesday
Perkelahan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang bapa lemas dalam usahanya untuk menyelamat anaknya yang juga hampir lemas di Pantai Temasya, Tanjung Batu lewat petang semalam. Begitupun usaha bapa terbabit berbaloi kerana anaknya selamat dalam kejadian itu, namun beliau sendiri terkorban. Mangsa dikenali sebagai Juli Engun dari Rumah Engun, Batu 61, Jalan Sibu-Bintulu, Sibu. Ketua Operasi Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Thomas Umpang berkata, keluarga yang dianggotai empat hingga lima orang itu sedang berkelah di pantai tersebut sebelum tragedi berlaku.
“Semasa perkelahan, tidak semena-mena mereka dikejutkan dengan kejadian anak mereka yang hampir lemas ketika mandi. Melihat keadaan itu, si bapa nekad untuk membantu menyelamat anaknya tetapi beliau sendiri gagal menyelamatkan diri.
“Anak mangsa selamat manakala mangsa lemas dalam kejadian itu,” ujarnya semasa ditemui Utusan Borneo di Pantai Temasya, Tanjung Batu lewat petang semalam.
Terdahulu, katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.10 petang dan bergegas bersama 11 anggota, sebuah jentera bomba dan kenderaan utiliti ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.
“Dalam operasi itu, kami menemui mangsa terdampar di pantai dan paramedik dari Hospital Bintulu yang turut berada di tempat kejadian memeriksa keadaan mangsa mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 6.27 petang tadi (semalam),” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar menggunakan ken- deraan polis ke rumah mayat Hospital Bintulu di sini untuk bedah siasat.
Ahli keluarga mangsa dilihat turut mengiringi mangsa.
Turut tiba di tempat kejadian dalam operasi menyelamat itu ialah anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kejadian lemas berlaku hampir setiap tahun di pantai tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan