Sumber:
malaysiakini.com
Abdul Rahim Sabri
7:44PM Dis 8, 2011
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menjelaskan buku bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going masih belum diharamkan.
Sebaliknya, buku yang merupakan koleksi temubual beliau dan diterbitkan Januari lalu itu, masih dalam peringkat kajian jabatan berkenaan, kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.
"Buku tersebut masih di peringkat kajian Jakim," kata Othman dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini.
"Pengharaman sesuatu buku dibuat oleh jawatankuasa penapisan
buku yang dipengerusikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani yang mana ia bercanggah dengan garispanduan yang telah disediakan oleh Jakim," tambahnya.
Sementara itu, sumber Jakim memberitahu Malaysiakini bahawa perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dilaporkan buku berkenaan didakwa menggesa agar Muslim republik itu tidak terlalu “ketat” dalam mengamalkan Islam.
Lee yang juga pengasas republik itu dilapor memohon maaf dan mengakui silap atas kenyataan kontroversi berhubung integrasi Melayu dan Islam di negara itu dalam buku tersebut.
Pada 9 Februari lalu, bekas ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam reaksinya berkata Lee "sememangnya seorang negarawan yang hebat kerana berjaya memajukan Singapura".
"Malangnya, dia kurang berjaya dalam membangunkan minda keseluruhan rakyat kerana masih terpengaruh dengan landskap 1960-an yang penuh dengan prejudis dan prasangka terhadap penganut Islam.
"Di samping itu, zaman menyimpan perasaan cemburu tidak berasas kepada negara jiran sudahpun berlalu dan tidak perlu dibangkitkan kerana zaman Lee Kuan Yew juga sudah menjadi sejarah. Sisa usia yang berbaki elok dimanfaatkan untuk mewujudkan rantau yang harmoni," kata Wan Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan