Sabtu, 7 Januari 2012

Kes bunuh ngeri selesai

Sumber:
Utusan Borneo
http://www.theborneopost.com/2012/01/07/kes-bunuh-ngeri-selesai/ 



Remaja lelaki dan ibunya ditahan untuk bantu siasatan kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di Sibu







Suspek turut ditangkap bersama ibunya yang berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
SIBU: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam ke atas empat sekeluarga pada 3 Januari lalu selepas tertangkapnya seorang suspek remaja lelaki berusia 17 tahun, lewat malam kelmarin (Khamis).
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak Datuk Law Hong Soon, suspek turut ditangkap bersama ibunya yang berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
“Suspek merupakan seorang kelindan lori di sebuah syarikat di sini dan tinggal dekat sahaja dengan rumah mangsa yang mati dibunuh tempoh hari.
“Kami turut memberkas ibu suspek yang merupakan suri rumah, sejurus selepas itu bagi membantu siasatan.
“Kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam),” ujarnya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di sini, petang semalam.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail serta para pegawainya yang lain.
Suspek merupakan anak kacukan Iban dan Cina di mana ibunya yang ditahan itu adalah berbangsa Iban.
Dengan tertangkapnya suspek terbabit, Law memberitahu bahawa ibu tiri mangsa iaitu Li Xiao Lan, 28, rakyat negara China yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh mahkamah pada petang semalam.
“Berdasarkan siasatan, kami mendapati Li tidak mempunyai rekod jenayah serta mendapat keputusan negatif pada ujian air kencing yang kami jalankan tempoh hari bermakna Li bebas daripada dadah. Kami menahannya sebelum ini adalah untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, setelah menjalankan siasatan terperinci ke atas saksi-saksi yang tinggal berdekatan termasuk jiran-jiran, polis berjaya menghidu suspek sehingga tertangkapnya suspek terbabit atas maklumat mereka yang berkaitan.
“Soal macam mana suspek masuk ke rumah terbabit sehingga berjaya membunuh empat orang mangsa berkenaan, semua itu masih dalam siasatan kami.
“Sekarang pihak kami sudah memberkas suspek terbabit dan sekarang kami sedang menjalankan siasatan untuk menyelesaikan kes sebelum mengetahui apakah tindakan selanjutnya bagi suspek selepas ini,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu, pihaknya mempunyai cukup bukti untuk menahan kedua-dua suspek terbabit berdasarkan maklumat dan siasatan pihaknya.
Ditanya apakah motif pembunuhan, Law lantas menjawab: “Ia masih dalam siasatan dan pihak kami belum dapat memberi gambaran yang tepat untuk jawapan anda (wartawan).
“Tunggu pihak kami selesai menjalankan siasatan dahulu, oleh itu jangan buat sebarang spekulasi dan andaian mengenai kes ini,” tegasnya.
Menyentuh mengenai seorang lagi mangsa kejadian terbabit iaitu Kelvin Ling Chei You, 8, yang cedera teruk dalam kejadian itu, Law memberitahu keadaan mangsa kini masih serius tetapi stabil setelah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis di sini yang diketuai oleh ACP Shafie Ismail serta anggotanya dan Jabatan Forensik dari Bukit Aman kerana telah bekerjasama dan bertungkus-lumus untuk menyelesaikan kes ini dalam masa tiga hari sahaja.
“Terima kasih kepada semua termasuk orang awam dan masyarakat yang turut memberikan kerjasama dengan pihak polis. Saya memberitahu di sini bahawa kes ini sudah selesai,” tambah beliau.
Pada Selasa lalu, empat ahli keluarga dari keturunan Cina yang tinggal di sebuah rumah di Jalan RTM 13, Lorong 1B di sini ditemui mati dipercayai dibunuh.
Manakala seorang ahli keluarganya, Kelvin Ling dirujuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak di Kuching manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.
Mangsa-mangsa yang terbunuh ialah Leong Nyuk Lan, 76, Ling Tong Hock, 36, serta dua orang anaknya iaitu David Ling Chei Qi, 10 dan Amy Ling Zi Jiun, 7.
Sementara isteri kepada Tong Hock, Li Xiao Lan, 28, berjaya menyelamatkan diri daripada dibunuh dalam kejadian terbabit selepas mendengar bunyi bising dan pergelutan di bahagian tingkat bawah rumah.
Dia kemudiannya menggunakan tingkap di bahagian tingkat atas rumah untuk keluar memberitahu jiran-jirannya.


Ari Software 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...