Khamis, 19 Januari 2012

Peluang kedua pelajar sekolah integriti penjara Sg Petani






Ungkapan 'peluang kedua' memberi makna yang sangat signifikan kepada para penghuni di sebalik tembok besi yang memisahkan kehidupan mereka dengan dunia luar.
    
Di sebalik tembok besi itu masih wujud harapan yang menggunung tinggi dalam diri pelajar-pelajar Sekolah Integriti Penjara Sungai Petani untuk menjadi individu yang lebih berakhlak serta berdaya saing menerusi peluang kedua yang diberi iaitu menuntut ilmu.
    
Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali dengan nama samaran Jimmy, 20, berkata dia berasa gembira dapat menyambung pelajaran kembali menerusi peluang kedua yang diberikan kerajaan dengan pengisian yang terdapat dalam sekolah integriti itu.
    
"Rasa seronok dapat belajar lagi sekali dengan ada peluang kedua ini sebab sebelum masuk sini saya belajar sampai darjah enam sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah integriti itu hari ini.
    
Jimmy yang telah menjalani hukuman sejak lima tahun lalu berkata guru-guru di sekolah integriti berkenaan memberikan komitmen sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
    
"Cikgu ajar sungguh-sungguh yang mana kalau saya tidak faham cikgu akan tunjuk satu persatu," kata Jimmy yang berada dalam kategori Tahanan Limpah Sultan (TLS) kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
    
Jimmy yang kini berada di kelas Pra Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata menerusi ilmu yang dia peroleh daripada sekolah integriti itu ia dapat memberikan masa depan yang cerah kepadanya untuk menghadapi dunia luar setelah dibebaskan kelak.
    
"Harapan bila dapat keluar nanti saya mahu cari duit untuk jaga bapa dan mak saya," kata Jimmy yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
    
Dia yang meminati subjek Matematik berkata dia mempunyai sasaran untuk mendapat keputusan yang baik dalam subjek Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi pada peperiksaan SPM nanti.
    
Sementara itu seorang lagi pelajar, Shamsul, 20, pula berkata dia lebih memahami erti kehidupan sebenar sepanjang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.
    
"Saya tahu erti menghargai masa, menghargai ibu bapa dan lebih berdisiplin dan kini merasakan ilmu itu penting yang wajib dituntut untuk mengetahui benda-benda yang tidak tahu," katanya yang kini berada dalam kelas SPM.
    
Shamsul yang ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sejak dua tahun lalu berkata dia akan berusaha memperbaiki kelemahan diri untuk menjadi individu yang berjaya bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang sepertinya turut mempunyai kemampuan memperoleh kehidupan yang cemerlang.
    
"Saya mahu jadi insan yang berjaya bangun daripada kekalahan dan akan buktikan kepada orang luar," katanya yang meletakkan sasaran mendapat keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan SPM.
    
Pengarah Penjara Sungai Petani Mohd Muslih Mahmud berkata pencapaian yang paling besar dicatatkan oleh sekolah integriti itu adalah pada tahun 2010 yang mana terdapat seorang pelajar SPM di situ mendapat keputusan cemerlang 7A dan 1B.
    
"Sekarang dia melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya.
    
Mohd Muslih berkata pendekatan yang digunakan oleh sekolah integriti selari dengan objektif Jabatan Penjara iaitu pemulihan selain hukuman yang dapat mengubah akhlak seseorang banduan ke arah lebih baik lagi kerana ilmu itu akan merubah mereka.
    
Katanya beliau tidak menafikan bahawa setiap pelajar di sekolah itu akan mempunyai jati diri dan disiplin yang tinggi di samping akan berasa lebih dihargai.
    
"Ya sudah pasti suasana persekitaran di sekolah integriti ini kita cuba elakkan panggil mereka banduan dengan panggil pelajar dan hubungan akan jadi lebih rapat sesama kita dan tidak tertekan," katanya yang menambah semua guru yang mengajar di sekolah itu adalah guru terlatih lepasan ijazah.
    
Sekolah Integriti Penjara Sungai Petani diwujudkan pada Jun 2008 dan kini mempunyai pelajar seramai 64 orang, yang kesemuanya lelaki berumur bawah 21 tahun.
    
Sekolah Integriti itu juga mempunyai kelas 3M untuk banduan yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira, diikuti kelas Pra Penilaian Menengah Rendah (PMR), PMR, Pra SPM dan SPM serta kelas kemahiran untuk perabot, kayu dan jahitan.
    
Sekolah itu mempunyai 11 orang tenaga pengajar dan sistem operasi sekolah sama seperti sekolah arus perdana di luar.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...