Sabtu, 21 Januari 2012

Prestasi cemerlang beri imej baik kepada sekolah




Prestasi cemerlang beri imej baik kepada sekolah

SARIKEI: Prestasi cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum akan memberi imej yang baik kepada sesebuah sekolah, kata Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing.
Menurut beliau, imej institusi yang memberangsangkan bakal menjadikannya pilihan utama dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan.
Justeru, katanya, dalam usaha mencapai matlamat tersebut, komitmen dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan segala yang telah dirancang mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
“Adalah tidak mustahil bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei untuk mencapai tahap tersebut, berdasarkan prestasi selama ini yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Rangsangan ini bukan hanya kita tujukan kepada sekolah ini sahaja, tetapi juga kepada semua sekolah di Parlimen Sarikei agar semua pihak berusaha lebih keras untuk mencapai tahap pendidikan berkualiti.
“Ini sekali gus dapat merealisasikan impian negara melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing, beretika serta berwawasan tinggi,” kata Ding.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pesta Angpau anjuran SMK Tinggi Sarikei, semalam.
Pada majlis tersebut, turut diadakan pertunjukan tarian singa oleh para pelajar sekolah terbabit dan pertandingan menulis kaligrafi.
Ding menambah, aktiviti berasaskan kesenian dan kebudayaan sejak dari zaman dahulu lagi merupakan salah satu bidang yang paling mendapat tempat di hati kalangan semua peringkat, khususnya golongan muda atau para pelajar.
“Melalui apa yang telah dipersembahkan kepada kita sepanjang program ini berlangsung, kita dapat lihat setiap persembahan itu mempunyai kualiti dan mutu yang sangat tinggi.
“Dengan penganjuran seperti ini kita dapat melahirkan bakat bakat seni yang terpendam di samping menyemai beberapa kesan positif seperti mengukuhkan perpaduan kaum, mendisiplinkan diri pelajar, melahirkan kerjasama berpasukan, mendidik pelajar tentang ketepatan masa dan sikap berdaya saing dalam bentuk yang sihat,” tegasnya.
Menurut beliau, kecemerlangan tidak akan dapat dicapai jika tiada dorongan daripada guru-guru yang memberi tunjuk ajar kepada para pelajar.
“Di samping itu, ia adalah satu usaha untuk menyemai kebudayaan tarian dan kesenian yang ada di negara kita agar ia tidak luput ditelan zaman dan secara tidak langsung mampu dijadikan sebagai pemangkin dalam usaha untuk mengelakkan golongan muda daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah,” kata Ding lagi.
Majlis yang berlangsung di Dewan SMK Tinggi Sarikei turut dihadiri Pengetua SMK Tinggi Sarikei Vincent Leong, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tinggi, Sarikei Simon Seo dan sekitar 1,000 hadirin.
Sumber: 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...