Khamis, 23 Ogos 2012

Keluarga Guru Diserang



FARAH SHAZWANI ALI
23 Ogos 2012
SINAR HARIAN



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan


KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila ditahan sebelum diserang sekumpulan lelaki yang tidak dikenali, dalam satu kejadian di Jalan Sultan Mahmud di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang juga seorang guru berumur 46 tahun bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara 16 hingga 20 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari arah Chendering menghala ke pusat bandar untuk menikmati makan malam di bandaraya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu bermula apabila kereta Honda yang dinaiki keluarga itu dihimpit sebuah Perodua MyVi berwarna putih, dinaiki lima lelaki.

Berdasarkan laporan awal, salah seorang daripada mereka dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada keluarga berkenaan ketika berada di lampu isyarat Pantai Batu Buruk.

“Keluarga berkenaan bagaimanapun tidak menghiraukan perbuatan itu, sebaliknya meneruskan perjalanan. Tetapi sebaik mangsa tiba di sebuah bank di Jalan Sultan Mahmud, mereka dihampiri sebuah kereta Nissan Navara berwarna hitam yang cuba menghalang perjalanan.

“Pada masa sama, Perodua MyVi yang menghimpit mereka sebelum ini tiba di lokasi kejadian dan sekali lagi bertindak menghimpit kenderaan mangsa, menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Jelas Manoharan, pihaknya percaya ia melibatkan lapan lelaki iaitu lima lelaki yang menaiki Perodua MyVi manakala tiga lagi menaiki Nissan Navara.
Mereka kemudiannya menarik anak lelaki mangsa yang berusia 20 tahun, lalu memukulnya menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkannya cedera pada muka, kepala dan badan.
Bimbang anaknya teruk diapa-apakan, mangsa kemudiannya cuba meleraikan namun turut ditumbuk sehingga cedera di muka dan badan, manakala isterinya jatuh kerana ditolak ketika cuba membantu meleraikannya.

“Kesemua suspek berusia 28 tahun ke atas itu, turut bertindak merosakkan kereta mangsa, sehingga menyebabkan cermin depan dan sisi pecah selain kemek, sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurut Manoharan, pihaknya masih menyiasat motif serangan kerana mangsa dan anaknya yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi itu mendakwa, tidak tahu punca sebenar mereka diserang.

Bagaimanapun katanya, pihak polis sudah mengenal pasti salah seorang suspek yang juga pemilik kereta MyVi itu dan tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.

“Kita masih menyiasat sama ada kejadian ini disebabkan perselisihan faham atau masalah jalan raya. Jadi saya harapkan semua suspek untuk menyerah diri, sebelum polis sendiri menahan mereka di rumah.

“Jika keluarga mereka tahu mengenai kejadian ini, saya harap dapat menasihatkan anak mereka untuk menyerah diri di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Rabu, 22 Ogos 2012

Daging babi bertabur di taman tumpuan Muslim



Sumber:
GLOBAL
SINAR HARIAN
22 OGOS 2012




Cebisan yang dipercayai daging babi.

NEW YORK - Polis  New York giat melakukan siasatan terhadap penemuan cebisan dipercayai daging babi di sebuah taman di New York yang menjadi lokasi pertemuan saudara Islam di bandar terbabit.

Jurucakap Majlis Hubungan Amerika-Islam New York, Cyrus McGoldrick berkata, kawasan New Diro Beach Park, Pulau Staten itu sering dikunjungi kira-kira 1, 500 umat Islam termasuk mengadakan majlis muzakarah.

“Polis masih melakukan siasatan dan berharap tiada spekulasi berhubung kejadian yang dianggap sebagai Islamofobia,” katanya.

Dipercayai kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan pengharaman penjualan daging babi di beberapa pasaran secara terbuka terutama di kawasan penduduk umat Islam.
Insiden ini adalah yang terbaru dalam peristiwa sentimen anti-Islam sejak beberapa minggu lalu, selepas sebuah masjid di Missouri dibakar diikuti sebuah sekolah swasta Islam di luar Chicago dibaling dengan molotov cocktail.

Manakala bulan lalu, beberapa kaki babi digantung di sebuah masjid di bandar selatan California sehingga mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan polis tempatan.

Selasa, 21 Ogos 2012

Mendapat hidayah semasa 'mati'

SUMBER

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
21 Ogos 2012
Sinar Harian



Mohd Fadhil menceritakan kisah ‘luar biasa’ yang membawa kepada pengislamannya sejak 12 tahun lalu.

KUANTAN - “Saya benar-benar terkejut apabila ahli keluarga memberitahu bahawa saya ‘sudah mati’ malah rekod perubatan tertera pengesahan itu,” kata Chow King Kong atau Mohd Fadil Chow Abdullah, 38, salah seorang mangsa kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini, 14 tahun lalu.
Katanya, ALLAH Maha Berkuasa, ketika persiapanmenuntut dan membawa pulang mayatnya sudah dilakukan keluarga, tiba-tiba mereka dikejutkan kejadian luar biasa apabila mayat terbaring kaku itu kembali bernyawa.
“Saya disahkan ‘kembali sedar’ dan ambil masa kira-kira lima tahun untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran Yayasan Pahang bersama Persatuan Cina Muslim Pahang (MACMA) dan Pusat Perkembangan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di sini, kelmarin.
Mohd Fadhil berkata, dia bersyukur kerana mendapat peluang kedua bagi membolehkan dia memperbetulkan perjalanan hidupnya.
“Ternyata ada rahmat di sebalik kemalangan yang ‘meragut’ nyawa saya itu kerana di sebalik dugaan itulah ALLAH memilih King Kong menerima hidayah-Nya,” kata bapa kepada empat anak ini.
Mohd Fadhil mengakui, di saat nyawanya berada di penghujung, seorang lelaki berjubah dan bersongkok putih dengan bau harum mendampinginya sambil perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran di telinga.
“Kehadiran ‘lelaki’ itu beri satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana saya bukan Islam dan peristiwa itu berlaku ketika saya 'koma',” katanya.
Menurutnya, kejadian itu buka pintu hatinya memahami Islam dan seterusnya ambil keputusan ‘berhijrah’ sebagai Islam dua tahun selepas peristiwa itu pada usia 26 tahun.
“Selepas memeluk Islam, jiwa dan hati saya semakin tenteram. Saya banyak belajar daripada isteri, Salamah Mahmud, 32, yang sentiasa beri perangsang dan nasihat bagi bina semula  kekuatan.

Seluk Poket, Tanya Diri



Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan harta dan barangan yang mereka miliki.
 
Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat kerana mahu menampakkan kemewahan dengan mendapatkan semua yang baru, meskipun yang lama masih elok dan barangkali hanya baru dipakai sekali dua sahaja. Istilah biar papa asal bergaya nampaknya makin menular dalam masyarakat dewasa ini.
 
Perasan atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap dalam fenomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap sebagai sihat oleh mereka. Amat pilu dan menyedihkan lagi, yang terlibat dalam fenomena ini juga adalah orang melayu yang Islam merupakan akidah dan pegangan mereka.
 
Hari demi hari keadaan ini makin memilukan apabila aktiviti berhutang telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat dewasa ini. Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama perlu juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.
 

Kekayaan bukan maksudnya berapa banyak pendapatan kita, tetapi, berapa banyak kita boleh simpan. Ada yang berpendapatan tinggi, tapi, belanja pun turut tinggi. Malah sebahagian pula berbelanja lebih daripada pendapatan.
Prinsip ini dikenali sebagai Parkinson’s Law. Bermaksud, lagi tinggi pendapatan kita, secara psikologinya lagi tinggi kehendak kita dan lagi tinggi perbelanjaan kita. Last-last, sama juga, masih kita tak dapat menyimpan.
Cara mengelakkan masalah kewangan adalah dengan sengaja kita melawan Parkinson’s Law ni, dengan will power yang ada dalam diri kita sendiri. Ukur baju pada badan sendiri. Kalau kita size M, takkan beli baju size XXL pula… jangan ikut seperti Biar papa asal bergaya. Konsep untuk tidak terjerumus dalam masalah kewangan sememangnya mudah. Iaitu, jangan biarkan perbelanjaan lebih daripada pendapatan. Kalau kita boleh lakukan ini, maka, kita telah melawan Parkinson’s Law.

Tip Mengukuhkan Kewangan.
Ramai yang ingin belajar berjimat atau berjimat. Namun, keinginan mereka itu seperti disekat kerana tidak mampu menahan nafsu membeli atau tidak tidak tahu bagaimana hendak bermula. Jika setiap hari anda membazir, ia pasti susah untuk mengubah tabiat tersebut dengan segara. 
Tip pertama : Jangan belanja lebih dari pendapatan bulanan anda.
Prinsip yang perlu ada dalam diri untuk berjimat adalah jangan sesekali berbelanja melebihi gaji atau pendapatan bulanan anda. Latih diri anda untuk hanya belanja separuh atau kurang dari pendapatan bulanan pada setiap bulan. Jika anda ingin guna wang lebih dari pendapatan anda, anda perlu cari cara untuk cari duit lebih. Samada kerja part time atau buat pelaburan melalui duit simpanan anda. Jika anda malas, anda  cuma ada satu pilihan iaitu guna kurang dari pendapatan anda. Peraturannya senang sahaja, jika mahu belanja lebih, anda perlu cari wang lebih pada setiap bulan.
Tip kedua : Tetapkan kadar simpanan tetap pada setiap bulan.
Tetapkan jumlah wang untuk di simpan pada setiap bulan. TIndakan ini akan menyelamatkan anda dari membazir semua wang yang anda peroleh. Lagipun, menyimpan wang adalah langkah pertama untuk belajar berjimat.
Tip ketiga : Elakkan hutang dan jangan pinjam wang.
Elakkan dari berhutang kerana anda akan hilang kawalan terhadap penggunaan wang. Berhutang bermakna memperoleh wang tanpa usaha. Jadi, anda akan rasa tidak bersalah untuk menggunakannya secara membabi buta. Akibatnya, anda akan rasa liat untuk membayar hutang. Akhirnya, anda akan berada dalam tekanan. Elakkan juga meminjam wang kecuali keadaan benar – benar memaksa. Jika mahu wang, anda perlu belajar berusaha mendapatkannya. Jangan belanja wang yang bukan milik anda.

Masalah tidak cukup atau perbelanjaan melebihi pendapatan disebabkan tiada perancangan kewangan untuk mengawal aliran wang. Kelemahan ini boleh menyebabkan timbulnya masalah termasuk perselisihan suami isteri dalam rumah tangga.  Justeru, bagi mengelak masalah ‘bajet lari’, ekonomi diri serta keluarga perlu ditadbir dengan betul. Perbelanjaan perlu melihat kepada keutamaan kerana keperluan sampingan masih boleh ditangguhkan menunggu jika ada wang lebihan.  Ibarat pepatah Melayu, ‘ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. Sebaik-baiknya berhemah dalam perbelanjaan dan jangan terburu nafsu kerana kita tidak tahu apa menanti di hadapan dan keadaan semakin sukar jika dalam keadaan mendesak, tiada wang simpanan untuk digunakan. 
Kehendak dan Keperluan

Selain itu, sentiasa bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah kerana orang yang bersyukur tidak terpengaruh dengan dorongan nafsu yang boleh menyebabkan kita membuat keputusan di luar kemampuan iaitu berbelanja besar sedangkan kedudukan kewangan tidak mengizinkan.  Bila diberi pilihan kehendak dan keperluan, rasa-rasa yang mana satu patut kita dahulukan? Bagi mereka yang ada banyak duit boleh la penuhi kedua-kedua kehendak dan keperluan. Bagi yang bekerja dengan gaji biasa-biasa je, tak payah layan sangat la kehendak hati tu. Pilih perkara atau benda yang betul-betul diperlukan je, baru la tak timbul masalah gaji tak cukup. Tak rugi apa-apa pun kalau kita korban kehendak tu untuk penuhi keperluan kita. Jangan jadikan kehendak sebagai keperluan dah la. Nanti hidup jadi kucar kacir.

Sikap suka berhutang hendaklah dielakkan sebaliknya amalkan sifat qanaah iaitu bersyukur dan reda apa yang ada dengan memastikan keperluan tidak melebihi kemampuan sehingga terikat dengan hutang. Sebaik-baiknya sebelum berhutang, buatlah pertimbangan yang wajar sama ada sesuatu itu kepentingan mendesak atau sekadar keinginan untuk berlagak kerana hutang yang tidak mampu dibayar akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari. 

Setiap yang dinamakan hutang wajib dibayar walau sekecil mana pun dan dengan siapa pun ia berhutang termasuklah orang kafir. Malah dikira berdosa bagi orang yang berniat tidak mahu membayar hutangnya.  Membebaskan hutang orang yang susah atau mengurangkannya adalah satu perbuatan terpuji dan ganjarannya amat besar di sisi Allah.


Jangan tepuk dada tanya selera tetapi seluk poket dan tanya diri, cukupkah untuk belanja sementara menunggu gaji akan datang?

Sekian. Wassalam.

Isnin, 20 Ogos 2012

TPM: Subjek Kesusasteraan BI diperkenal


Sumber:
Sinar Harian(20 Ogos 2012)
Muhyiddin dan isterinya, Norainee bersalaman dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan rumah terbukanya di Kompleks Pekembar, Pagoh, semalam.

MUAR – Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan mata pelajaran tambahan iaitu Kesusasteraan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional (KSSPN) dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh pelaksanaannya akan diteliti kerana kita perlu memilih masa yang benar-benar sesuai.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian tersebut melibatkan tiga fasa dan setiap fasa akan berlaku perubahan.
“Kita memerlukan masa yang panjang antara 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh ini, sistem pendidikan negara dijangka boleh menandingi dengan negara termaju di dunia.
“Tetapi kita tidak perlu tunggu sehingga 15 tahun. Kita lihat dalam fasa pertama, apa yang kita boleh lakukan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Pekembar Pagoh, hari ini.
 
Beliau berkata, dalam fasa pertama terdapat perkara mudah yang boleh dilakukan dahulu yang tidak melibatkan perubahan besar dari segi infrastruktur dan kewangan, akan dilaksanakan terlebih dahulu.

Muhyiddin menjelaskan, tiga suku proses KSSPN sudah dilakukan dan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalankan lebih tiga bulan lalu juga telah selesai.
“Hasil dialog ini, kita berjaya memperolehi ratusan cadangan yang diserahkan kepada kementerian oleh Pengerusi Dialog Nasional, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin.
“Cadangan yang memberi impak besar akan dijelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa melancarkan 'blue print' (rangka tindakan) pendidikan, 11 September depan,” katanya.
Beliau berkata, selepas pelancaran itu, dalam tempoh beberapa bulan, kementerian akan mempamerkan beberapa cadangan supaya  pihak yang berminta boleh memberi pandangan bernas.
“Akhirnya, kementerian akan membuat kesimpulan pada kajian terakhir sebelum perkara ini  dibawa ke Kabinet pada akhir tahun,” katanya.

Ahad, 19 Ogos 2012

MURTABAK TELUR NAJIS


Info Pengguna
Sumber:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Hukum asal makan roti canai telur dan murtabak adalah harus . Apa yang menimbulkan masalah ialah apabila penebar roti canai atau murtabak, tidak membasuh telur yang digunakan. Ini kerana tempurung telur yang tidak dibasuh mengandungi najis (bercampur tahi ayam). Apabila penebar roti canai tadi memegang telur yang tidak dibasuh tadi, menyebabkan tangan penebar tadi bernajis, dan terus menggaulkan dengan tepung, dan secara langsung telah menggaul najis dalam roti canai ataupun murtabak.
Dinasihatkan juga kepada ibu tukang masak dan sesiapa sahaja, apabila hendak menggunakan telur dalam masakan, hendaklah membasuh telur terlebih dahulu. Perkara ini sangat penting kerana makanan akan menjadi darah daging kita, jika darah daging kita dari sumber yang haram maka menyebabkan hati jadi gelap, malas buat ibadah, anak-anak menjadi nakal, mudah melakukan perkara yang dilarang agama, doa tidak diterima dan banyak lagi kesan makan dari sumber yang haram.

Dalam sebuah kisah yang terkenal. Suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah,
“Ya Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul doanya.”
Rasulullah menjawab: Hai Sa’ad! Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah orang yang) diperkenankan permintaan, dan demi (Allah) yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke perutnya, tiada diterima Allah amalannya empat puluh hari (Riwayat Tobroni).
Dalam hadis yang lain Rasulullah saw telah bersabda: “setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka nerakalah yang lebih layak baginya (Riwayat Tirmizi)”. Pastikan makanan kita bersih dan suci.
Banyak juga kedai yang menyediakan roti canai telah basuh telur tersebut. Kita boleh lihat telur yang diletak di tepi tempat buat roti canai kelihatan bersih dan tidak diletak dalam sarung telur. Jika telur masih berada dalam sarung telur, kemungkinan besar telur tersebut belum dibasuh.Jika sudah basuh tetapi diletak kembali dalam bekas telur, pasti kotor kembali telur tersebut kerana bekas telur tersebut bukannya bersih!

Biasanya terus yang dimasukkan ke sarang diambil terus dari ladang telur. Memang ada yang masih terlekat dengan sisa-sisa najis ayam.


Wallahu a’lam

Sabtu, 18 Ogos 2012

NUR ALERT: HEBAHAN KANAK-KANAK HILANG


Remaja perempuan dibakar kekasih masih kritikal



Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Shahrizat Jalil (dua,kiri) menenangkan ibu kepada Nurul Firzannah Mat Zin, remaja yang di simbah petrol, Nor Liyati Hamid (kiri) 

SUMBER:
Sinar Harian-17 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Nurul Firzanah Mat Zaki, gadis berusia 16 tahun yang dipercayai dibakar kekasihnya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah, yang 25 peratus terbakar dan masih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.
"Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.
Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar, dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.
Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dan tangan.
Mat Zaki berkata selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.  
"Sebagai bapa, saya tidak dapat memaafkan perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
Beliau berkata, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara Nurul Firzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidak menyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.
Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu.
Terdahulu, Nurul Firzanah menerima sumbangan RM2,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

Air Kosong Penawar Pelbagai Penyakit


Sumber:

Laman Web Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Kajian para saintis mendapati amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai banyak manfaat. Japanese Medical Society misalnya berjaya membuktikan dalam kes-kes tertentu, amalan ini mampu memulihkan penyakit termasuk yang serius.

Diantara penyakit yang termasuk dalam penyelidikan persatuan perubatan di negara matahari terbit itu ialah sakit kepala, sakit-sakit badan, sistem jantung, artritis, degupan jantung yang pantas, epilepsi, lemak berlebihan, bronkitis, tibi, meningitis, buah pinggang dan jangkitan pada air kencing.



Bagaimanapun amalan minum air kosong sebaik jaga dari tidur ini perlu mengikut beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya.

• Minum empat gelas air (160 ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum memberus gigi.
• Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan atau minum apa-apa untuk 45 minit.
• Selepas 45 minit anda boleh makan dan minum seperti biasa.
• Selepas 15 minit mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam jangan makan atau minum untuk tempoh dua jam.
• Bagi pesakit yang lanjut usia dan tidak larat minum empat gelas air sekali gus diperingkat permulaan, mereka boleh memulakan kaedah rawatan ini dengan meminum air secara berperingkat sehingga mampu mencapai empat gelas sehari.
• Kaedah rawatan dipercayai mampu merawat pelbagai penyakit dalam tempoh tertentu.

1. Tekanan darah tinggi – 30 hari
2. Gastrik - 10 hari
3. Diabetes – 30 hari
4. Sembelit – 10 hari
5. Kanser – 180 hari
6. Tibi – 90 hari.

Pesakit artritis hanya perlu mengikuti rawatan tersebut untuk tiga hari. Rawatan ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan kecuali diperingkat awal pesakit mungkin kerap buang air kecil.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...