Sabtu, 14 September 2019

Penanda Wacana Dalam Penulisan


Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah, dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, ia akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Contoh penanda wacana adalah seperti yang berikut:

Tambahan : dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping

Urutan : pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya

Penyataan semula : iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan

Contoh : contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai

Rumusan : rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata

Tempat : berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan

Waktu : apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya

Sebab dan kesan : oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu

Bandingan : seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan

Pertentangan : tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan

Pengesahan : sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya

Perenggan Pendahuluan

Dewasa ini...
Belakangan...
Kebelakangan ini...
Baru-baru ini...
Mutakhir ini...
Akhir-akhir ini...
Dalam era globalisasi...

Perenggan isi

Di samping itu...
Sehubungan dengan itu...
Jika diteliti dengan lebih mendalam...
Sehubungan...
Sebagai lanjutan daripada...
Bersangkutan dengan hal...
Berkaitan...
Bersangkutan...
Disingkapkan...
Diceritakan...
Tindakan yang diketengahkan di atas...
Walau bagaimanapun...
Bertitik tolak daripada kenyataan di atas...
Jika ditinjau daripada aspek ...pula,..

Perenggan Penutup

Hal ini demikian...
Akhirnya saya menegaskan bahawa...
Kesimpulannya...
Akhirnya...
Sebagai penutup...
Akhirulkalam...
Tegasnya...
Pendek kata...
Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa...
Menyedar hakikat di atas...
Di sini saya ingin tegaskan...

Lain-lain

Pada hakikatnya / Sesungguhnya,...
Sebenarnya, / Pada hakikatnya,...
Dengan kata lain /Dengan erti kata yang lain...
Maksudnya di sini...
Hal ini bermakna...
Oleh sebab itu/ lantaran itu...
Walhal/Oleh hal yang demikian...
Sedangkan / Pada hal...
Meskipun/Sungguhpun...
Walaupun / sekalipun...
Ekoran daripada / Akibatnya...
Rentetan daripada/ lanjutan itu...
Dalam konteks ini/Dalam hubungan ini...
Hal ini bertepatan /bersesuaian dengan...
Hal ini memang sejajar dengan...
Situasi ini seolah-olah mengambarkan...
Tidak syak lagi/ Tidak dapat tidak...
Namun begitu...
Lebih-lebih lagi...
Tambahan pula...
Oleh hal yang demikian...
Sungguhpun demikian...

Contoh penggunaan penanda wacana 

Penanda Wacana Untuk Ayat Pertama Setiap Perenggan

- Kita dapat menyaksikan betapa......
- Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana...
- Lazimnya, dalam keadaan....
- Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ....
- Pada hemat saya ......
- Pada pandangan saya ....
- Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ....
- Sebagaimana yang kita ketahui ...
- Sebagaimana yang kita maklumi ...
- Sejak awal lagi ...
- Sejak kebelakangan ini ....
- Selain itu, pada masa ini juga ...
- Seperti yang telah dinyatakan...
- Umum mengetahui bahawa...
- Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ... 

Penanda Wacana Untuk Ayat Kedua dan Seterusnya Dalam Penul

- Bagi sesetengah orang ....
- Begitu juga dengan ..
- Begitu juga halnya dengan ...
- Bertitik tolak daripada itu ...
- Bukan itu sahaja ...
- Dalam hal ini...
- Dalam konteks ini...
- Dalam zaman yang serba canggih ini...
- Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa.....
- Dengan adanya....
- Dengan berbuat demikian.....
- Dengan perkataan lain....
- Disebabkan hal itu....
- Disebabkan keistimewaan inilah kita.........
- Hal ini berlaku disebabkan.....
- Hal ini penting dalam....
- Hal ini serupa dengan....
- Hal yang serupa berlaku apabila.....
- Hal ini disebabkan.....
- Hal ini membuktikan bahawa....
- Hal ini menggambarkan bahawa.....
- Hal ini secara tidak langsung akan...
- Hal ini semua meninggalkan kesan kerana....
- Hal ini tentu sekali membuatkan....
- Jadi kita perlu.....
- Jadi kita hendaklah......
- Keadaan ini tentunya.....
- Lantaran itu sehingga kini...
- Kesemua ini menyumbang kepada....
- kita mengakui bahawa.....
- Kita sering menonton di kaca telivesyen...
- Kita sering membaca di dada-dada akhbar....
- Memandangkan keadaan yang sedemikian....
- Namun sejak kebelakangan ini....
- Oleh itu bolehlah dikatakan....
- Secara logiknya masa yang.....
- Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita....
- Keadaan ini seharusnya boleh.....
- Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini....
- Kendatipun demikian, kita masih....
- Yang paling nyata ialah...
- Yang perlu kita pastikan ialah...

Beberapa contoh penggunaan penanda wacana dalam penulisan

Penanda wacana untuk memulakan ayat pendahuluan penulisan.

  1. Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah...

  2. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat...

  3. Dasawara ini, sama ada kita sedar atau tidak,
  4. dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini…

  5. Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan…..

Penanda wacana untuk ayat terakhir pendahuluan penulisan.

  1. Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

  2. Sebagai memperkukuh lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

  3. Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

  4. Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan...

  5. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

Sabtu, 7 September 2019

Cerpen : Sidang Kedai KopiPendidik | Pendidik

Cerpen : Sidang Kedai KopiPendidik | Pendidik: Oleh : Amatara Leong! Buatkan aku, kopi," jerit Pak Su Cta. Setiap kali habis kerja di sawah, Pak Su Cha pasti bertenggek di kedai kopi Leong.Dari muda hingga salji putih membenam di kepalanya, p

Khamis, 18 Julai 2019

Cerpen Sebilah Gunting Tua

AMIRUL duduk di sisi jendela biliknya dan memandang ke luar. Pemandangan di sekitar kampus tempat dia menimba ilmu sememangnya mengasyikkan. Angin dingin mengapungkan kabus tipis pada hamparan hijau yang dilatari bukit-bukau. Kedinginan tatkala pagi itu ditambah oleh mendung yang menjanjikan hujan. Awan kelihatan rendah dan mengalirkan warna suram pada bukit-bukau. Beberapa helai daun melayang ke muka jendela.
Amirul masih duduk termenung di muka jendela. Matanya mengitari kawasan sekitar kampus itu. Kemudian, matanya singgah pada beberapa kumpulan pelajar lelaki dan perempuan yang sedang kalut memasukkan beg pakaian mereka ke dalam perut bas. Bas yang disewa khas itu akan membawa semua pelajar pulang ke destinasi kampung halaman mereka. Amirul juga begitu. Lewat tengah hari nanti, dia dan beberapa orang sekampus akan turut menyertai pelajar-pelajar lain pulang ke kampung masing-masing. Cuti semester tiga bulan itu akan dipenuhi dengan segala aktiviti bersama-sama keluarga tercinta.
“Kenapa dengan kau, Mirul?”
“Kenapa? Kenapa apa?” soal Amirul apabila rakan sebiliknya Nasmi menegur dirinya.
“Dari tadi asyik termenung saja?” soal Nasmi yang sedang lincah menyusun pakaian di dalam beg sandangnya.
Amirul tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri seperti patung cendana. Fikirannya jauh melayang mengingatkan tentang yuran pengajian yang perlu dilunaskan. Usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia ditawarkan mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Perakaunan. Sudah dua semester dia bergelut dengan kuliah dan pengajiannya. Sepanjang mengikuti pengajian di sini, segala perbelanjaannya ditanggung menggunakan pembiayaan PTPTN. Usai membayar yuran, wang lebihan dihantar pula kepada adik-adiknya di kampung. Hanya sebahagian kecil sahaja baki wang selebihnya digunakan untuk keperluan dia di sini.
Amirul sememangnya hidup berjimat cermat. Kerana dia berasal daripada keluarga hidupnya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dia sudah terbiasa hidup dilatih untuk berdikari. Dalam usia 19 tahun, dia tidak seperti rakan-rakan sebayanya yang lain. Dia lebih memikirkan tentang pengajiannya dan juga keluarganya di kampung. Pendapatan ayahnya sebagai seorang tukang gunting rambut juga tidak seberapa. Lantaran itu, dia amat memahami fitrah kehidupan keluarganya.
“Mirul, kenapa masih termenung? Lekaslah bersiap!” suara rakannya itu menyebabkan Amirul tersentak dari lamunan yang panjang. Seluruh ingatannya kembali bertaut di alam realiti.
Pandangannya dibuang jauh dari jendela seraya jendela ditutup rapat. Amirul melangkah lesu menyusun haluan yang semakin berliku-liku tanpa pengakhirannya. Tengah hari itu, dia dan beberapa kumpulan pelajar yang lainnya bergerak meninggalkan kampus dengan arah haluan yang berbeza.
PETANG yang gersang. Nafas panjang dihela beberapa detik. Keringat yang semakin merenik di wajah dibiarkan. Angin petang yang berpuput masuk melalui pintu dan angin yang berpunca daripada putaran kipas angin saling bergilir memukul muka. Beberapa helai rambutnya berjuntai dan menyentuh dahi. Amirul duduk melangut di kerusi panjang yang diletakkan di dalam kedai papan kepunyaan ayahnya. Kedai gunting rambut kepunyaan ayahnya itu adalah rentetan daripada waris yang ditinggalkan oleh datuknya dahulu. Tidak ada apa-apa perubahan yang dilakukan oleh ayahnya melainkan hanya mewarisi guntingan rambut sama seperti datuknya juga.
“Mirul, tolong tengokkan kedai. Ayah hendak balik ke rumah sekejap.” Ujar ayahnya tatkala melihat Amirul hanya duduk diam seperti seekor burung di situ.
Arahan itu hanya dijawab melalui anggukan kepala Amirul. Namun, matanya mengekori ayahnya yang sedang mengayuh basikal dan akhirnya menghilang di sebalik sebatang pokok kekabu. Amirul menghela nafas yang panjang. Kebosanan tiba-tiba sahaja menerjah sanubarinya. Petang yang panas itu membuatkan dirinya dibelenggu perasaan bosan. Dan kebosanan itu segera menyelinap masuk mencengkam urat dan darahnya.
Matanya mula mengitari seluruh isi kedai gunting itu. Ada bedak Cuticura lama di situ. Bedak Amani sebagai pasangan yang setia di situ. Kedua-dua bedak itu disusun cantik di atas rak kayu di dalam almari usang. Bedak digunakan untuk menghilangkan cebisan rambut di sekitar tengkuk agar tidak miang atau gatal. Kemudian, alatan clipper manual buatan U.S.A masih lagi digunakan oleh ayahnya. Amirul memerhatikan clipper itu sambil memegangnya. Tatkala dia menekan-nekan clipper itu, bunyi ‘klik, klik klik’ terjelma secara tiba-tiba. Dia tersengih tatkala melihat alatan lama yang masih lagi berfungsi. Ayahnya pernah memberitahu bahawa alatan clipper itu digunakan untuk mencantikkan potongan rambut.
Matanya kembali beralih kepada sejenis alatan iaitu sebilah gunting ‘zig-zag’. Gunting itu digunakan untuk menggelakkan rambut tidak ‘bertobek’ atau ‘bertakuk’. Berus berwarna gelap tergantung di tepi rak almari. Barangkali berus itu digunakan oleh ayahnya untuk membuang sisa-sisa rambut yang telah digunting. Sikat berwarna hitam turut memeriahkan keseluruhan alatan yang ada di situ. Minyak rambut Brylcreem dalam bekas hijau juga masih menjadi penunggu setia di situ.
Amirul masih lagi tersengih. Sebilah gunting tua berjenama Germany menjadi tarikannya kali ini. Barangkali gunting itu peninggalan datuknya. Sungguhpun gunting itu sudah terlalu lama, namun gunting itu masih dijaga dengan begitu baik oleh ayahnya. Warna salutannya iaitu perak langsung tidak pudar. Mata gunting masih lagi tajam dan bersilau. Amirul tercari-cari gunting lain di dalam rak almari usang tetapi langsung tidak ada. Di kedai gunting itu hanya ada sebilah sahaja gunting itupun sudah tua benar!
Barangkali kesemua peralatan menggunting rambut itu adalah khazanah yang terlalu istimewa buat ayahnya. Mata Amirul melilau mengitari sekitar kedai gunting. Ada gambar ‘The Beetles’ iaitu sebuah kumpulan yang fesyen rambutnya menjadi kegilaan ramai pada masa dahulu. Ada juga gambar lelaki yang rambutnya ala berbentuk topi keledar. Di bahagian pipi kiri dan kanan pula dilengkapi dengan side-burn yang panjang. Umpama penyanyi Elvis Presley!
Termenung Amirul seketika. Harga yang ditetapkan juga masih RM5 sahaja untuk orang dewasa. Malah, harga sebegitu jauh ketinggalan di kedai gunting kawasan bandar. Kedai gunting rambut di bandar tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Bagi golongan hipster, memotong rambut di kedai gunting rambut adalah kemestian ditambah pula keinginan untuk tampil kemas bergaya. Malahan, harga kebiasaannya sekitar RM20-RM25. Namun kerana ingin bergaya ramai lelaki muda lebih memilih guntingan seperti itu.
Hmmm...patutlah tidak ada seorang pun lelaki muda di kedai ini. Sejak dari tadi hanya ada beberapa orang penduduk kampung yang datang bergunting di kedai. Malah, mereka itu kesemuanya sudah tua dan sebaya dengan ayah. Bisik Amirul di dalam hati.
Ketika Amirul masih berteka-teki mencari jawapan, ayahnya datang sambil membawa bekal nasi kepada Amirul. Amirul mengambil bekal yang dihulur oleh ayahnya.
Lima minit kemudian, seorang lelaki muda masuk ke dalam kedai gunting. Ayahnya mempersilakan lelaki muda itu masuk ke kedai gunting dengan senyuman yang mesra.
“Pak cik saya mahu gunting rambut ala hipster. Tidak mahu fesyen lama.” Pinta lelaki muda itu sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
Ayahnya terpinga-pinga apabila mendengar permintaan itu. Sudah berpuluh-puluh kali dia diminta untuk melakukan guntingan mengikut trend terkini. Namun dia terpaksa menolak untuk berbuat demikian. Kerana kemahirannya terbatas, maka dia tidak sanggup melakukannya.
“Maaf, fesyen seperti itu pak cik tak boleh buat. Kalau yang biasa atau yang ada di gambar ini bolehlah pak cik gunting.” Jawab ayahnya terketar-ketar.
Lelaki muda itu melihat ke arah gambar yang ditunjukkan. Wajahnya sedikit berubah.
“Hmmm...tak apalah pak cik. Saya tak jadi gunting. Saya pergi kedai gunting di bandar sahajalah.” Balas lelaki muda itu lalu beredar dari kedai itu.
Amirul melihat wajah ayahnya yang hampa. Kekecewaan jelas kelihatan di raut wajah ayahnya. Ada cecair jernih yang semakin bertakung di kelopak matanya. Namun, ayahnya mengesat cecair itu dengan hujung lengan baju yang dipakainya. Dia sudah bersedia menghadapi segala-galanya. Bukan dia tidak mahu berubah tetapi kerana dia sudah tua maka dia sendiri tidak begitu mendalami guntingan moden seperti itu. Bagi dirinya, dia lebih selesa mengekalkan guntingan tradisional dan tidak pula mahu menaikkan harga guntingannya. Dia mahu berbakti sambil menderma. Itu prinsipnya!
“Ayah, kalau ayah tidak keberatan, Mirul boleh gunting seperti permintaan lelaki muda itu.” ujar Amirul sambil tersenyum.
Serta-merta wajah ayahnya berubah. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa anaknya mempunyai bakat menggunting rambut seperti dirinya. Namun kerana keegoaan yang mendalam, dia hanya mendiamkan diri sahaja.
“Semasa di asrama, Mirul mengambil upah untuk menggunting rambut rakan-rakan Mirul. Jadi, Mirul sudah belajar banyak perkara berkaitan guntingan moden ini, ayah.”
Mata ayahnya terbeliak. Wajah ayahnya tiba-tiba sahaja bertukar menjadi tidak mesra. Dari pandangan mata ayahnya, Amirul tahu sudah tentu ayahnya terpukul dengan kata-kata itu.
“Ayah hantar kau belajar. Bukannya gunting rambut!” suara ayahnya lantang secara tiba-tiba.
“Amirul hanya membantu meringankan tanggungan ayah. Malah Mirul cadangkan agar kedai gunting ini ditukar kepada yang lebih moden. Semua peralatan di kedai gunting ini sudah uzur dan terlalu lama. Langsung tidak mengikut trend sekarang. Sebab itulah tidak ada orang datang ke kedai gunting kita.” Bentak Amirul melempiaskan isi hatinya.
Wajah ayahnya segera berubah. Jika ikutkan hatinya barangkali mahu disesah mulut anaknya itu dengan cili. Biar terasa pedas seperti mana hatinya pedih tatkala mendengar kata-kata anaknya itu. Kini, yang tertancap di matanya adalah api kemarahan yang menyala-nyala.
“Kamu baru 19 tahun tetapi sudah pandai memberikan cadangan itu dan ini. Sebelum ini kita sekeluarga tidak kebulur. Apa kamu tidak ingat jasa yang diberikan oleh kedai gunting ini yang menyara kamu sehingga kamu dewasa?” lantang suara ayahnya menyuarakan ketidak puasannya kepada Amirul.
Amirul terkedu. Jika dia menjawab sudah tentu dia seolah-olah mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak terbakar. Barangkali dia akan hangus dibakar dengan tingkah lakunya yang biadab dan derhaka. Justeru, dia hanya mengumam sepi. Namun, terlintas di fikirannya tatkala dia masih kecil ayahnya adalah orang yang paling sibuk. . Dari pagi hingga ke senja, ada sahaja penduduk kampung yang menggunting rambut di kedainya. Amirul juga adalah pelanggan setia ayahnya suatu ketika dahulu. Dia tidak dapat membohongi dirinya bahawa guntingan ayahnya paling kemas dan cantik. Kerana kekemasan dan kepandaian itulah maka ayahnya menjadi sebutan. Siapa tidak kenal Azhari tukang gunting? Rata-ratanya semua kenal. Bahkan, ada orang luar yang datang menggunting rambut hanya kerana tertarik dengan potongan rambut yang dibuat oleh ayah.
Masih segar dalam galeri kenangan Amirul kedai gunting ayahnya menjadi medan utama di kampung mereka. Segala perbincangan dan juga perjumpaan penduduk kampung kerap kali diadakan di situ. Sambil berbual-bual disulami pula dengan iringan muzik dari corong kotak radio lama datuknya dan diikuti oleh lagu-lagu malar segar nyanyian seniman tersohor Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menggamit semua penduduk kampung untuk datang ke kedai gunting tersebut. Tatkala lagu ‘Oh Nonaku Azizah’ berkumandang, semuanya terdiam menghayati lirik merdu lagu itu. Ayahnya akan rancak menggunting rambut sambil kaki digoyang seolah-olah seperti sedang menari.
Bahkan, apabila tibanya musim untuk ke sekolah semula kedai gunting itu akan menjadi tumpuan para penduduk kampung. Anak-anak kecil dan juga remaja akan berderet beratur di kaki lima kedai gunting itu. Biarpun berpanas, mereka tetap menunggu dengan penuh sabar. Tidak ada yang mengeluh dan berebut-rebut untuk menggunting rambut. Adab sopan lebih diutamakan walaupun kini langsung tidak diguna pakai oleh generasi masa kini. Amirul tetap ingat dan ingatan itu tetap kukuh terpahat di dalam album ingatannya.
“Abang Mirul boleh tolong guntingkan rambut adik?” soal adiknya yang bongsu secara tiba-tiba.
Amirul tersentak. Matanya tertancap kepada wajah adiknya yang tersenyum melihat Amirul. Adiknya itu hanya berseluar pendek dan duduk di anak tangga sambil memegang sebilah gunting. Amirul tergamam seketika.
“Kalau boleh adik hendak abang gunting rambut adik dengan gaya zaman sekarang. Bolehkan abang?” pinta adik bongsunya lagi.
Amirul tidak menjawab. Dicapainya surat khabar lalu ditebuk di bahagian tengah. Kemudian dimasukkan ke arah tengkuk adiknya. Amirul menggunting rambut sambil adiknya memegang sebuah cermin kecil. Usai selesai menggunting, adiknya membelek-belek wajahnya di dalam cermin itu.
“Wah, cantiklah guntingan abang ini!” sorak adik bongsunya kuat.
Tatkala mendengar sorakan kuat itu, ayahnya keluar dari bilik. Amirul terkedu.
“Cantikkan, yah?” tanya anak bongsunya sambil menari-nari.
Ayahnya hanya tersenyum. Kemudian ayahnya menghampiri Amirul sambil memegang bahu.
“Mirul, benarlah kata-kata Mirul itu. Ayah sudah faham sekarang. Sebenarnya gunting ini adalah kepunyaan arwah datuk kamu kepada ayah. Kini, ayah berikan gunting ini kepada kamu pula. Gunting ini biar pun sudah tua dan tradisional namun tetap berupaya untuk bekerja pada masa kini.” Kata ayahnya sambil mengeluarkan sebilah gunting tua kepada Amirul.
Dan buat sekian kalinya Amirul benar-benar mengerti mengapa sebilah gunting tua itu masih tetap istimewa di hati ayahnya.

Cerpen Berikan Aku Satu Nyawa

Berikan aku satu nyawa

PAGI Sabtu. Langit cerah membiru. Tiada langsung menampakkan tompok-tompok awan hujan yang menunggu masanya untuk mencurah. Hati tenang bagai selalu. Moga ketenangan juga terus lestari dalam jiwaku.
Aku menunduk semula selepas puas mendongak ke langit. Ucapan tahmid dan syukur tidak putus-putus keluar daripada bibirku sejak mengetahui jantina anak yang dikandung oleh isteri. Sesekali terasa ingin melonjak-lonjak ke udara lantaran terlalu gembira. Segala teka-teki yang bagai terpikul di atas pundakku selama ini sudah dilepaskan. Walau natijahnya masih terlalu awal, namun aku yakin, untuk menerima satu-satunya zuriat lelaki dalam keturunanku tidak menjadi masalah. Sekuntum senyuman semanis madu kulemparkan di pinggir jendela yang ternganga luas seolah-olah menggamit semua penghuni di taman perumahan itu untuk bersama-sama meraikan peleraian resahku.
Bunyi ringtone daripada telefon pintar di atas meja makan di ruang tamu membuatkan aku tersentak. Segera aku menerpa ke arah telefon pintar itu dan ternyata ada panggilan video call daripada ibuku di kampung. Terukir rasa bahagia dalam benak hatiku. Baru sebentar tadi aku berangan-angan mahu memberitahu perkhabaran yang membahagiakan itu kepada ibuku. Namun, ibuku pantas sahaja mengetahui kegembiraan yang sedang mekar di kelopak hatiku. Benarlah, naluri seorang ibu itu mengatasi antara alam maya dan nyata!
Saat aku menekan punat pada dada telefon pintar, maka tertampang wajah ibuku yang sudah hampir memasuki usia 60 tahun. Wajah ibu masih tetap jelita meskipun ada garis dan kedutan yang semakin mengitari wajah ayu ibu. Senyuman ibu masih sama dan tetap sama seperti mana zaman aku masih bersekolah. Senyuman ibu itu yang menjadi inspirasi buatku untuk terus gagah memikul tanggungjawab sebagai seorang anak tunggal dalam kehidupan ibu dan ayahku. Sama ada manis atau pahit, sama ada madu atau racun, akulah satu-satunya zuriat peninggalan arwah ayahku kepada ibu. Dan kerana itu, aku menyayangi ibuku melebihi diriku sendiri.
Berita gembira itu aku kongsikan dengan ibuku. Wajah ibu sedikit tergamam. Kelihatan ada air jernih pada tubir kelopak matanya. Dan seketika itu juga ibu mula mengelap air jernih itu dengan jari-jemarinya. Aku terkedu.
“Alhamdulillah. Inilah doa ibu yang tidak pernah putus-putus. Ibu amat mengharapkan agar ada zuriat lelaki dalam keluarga sebelah ibu. Sham...selepas kelahiran Sham 30 tahun yang lalu, keluarga ibu langsung tidak mendapat seorang pun zuriat lelaki. Penantian selama 30 tahun ini akhirnya berakhir jua apabila mendengar perkhabaran ini. Alhamdulillah...” ujar ibu dalam sedu-sedannya.
Aku hanya seperti patung cendana tatkala mendengar kata-kata ibu. Sejujurnya aku langsung tidak mengetahui tentang hal itu. Bagi diriku, sama ada anak perempuan atau lelaki aku menerima dengan penuh rasa syukur. Anak ini adalah anak pertama buat aku dan isteri. Tidak ada sebarang keistimewaan jika anak itu lelaki atau perempuan. Kedua-duanya tetap sama tarafnya di mataku. Aku lebih memikirkan tentang keselamatan isteri dan anakku nanti.
Namun, sepurnama yang lalu tatkala membicarakan tentang jantina anakku dengan sepupuku di kampung membuatkan hatiku sedikit resah. Melalui WhatsApp yang dihantar oleh sepupuku yang bernama Rina membuatkan diriku dibalut dengan sejuta perasaan resah yang tidak berpenghujungnya.
Tahniah Sham. Tidak lama lagi kau bakal menjadi bapa. Semoga kau dan isteri kau sentiasa bahagia. Tetapi, aku sebagai sepupumu amat berharap agar anakmu nanti akan menamatkan kemarau keturunan kita nanti. Rina memberikan aku emoji dua hati yang menyala-nyala. Ah, pandai kau Rina hendak membodekku! Getusku.
Kemudian aku membalas WhatsApp Rina. Apa maksudmu Rina? Aku tidak faham. Aku membalasnya dengan tanda emoji orang sedang berfikir. Benar, aku langsung tidak faham apa yang cuba diputar belitkan oleh Rina sepupuku. Aku melihat pada skrin WhatsApp. Rina is typing... barangkali khutbah apa pula kali ini. Panjang berjela. Aku menunggu dengan penuh setia.
Kalau kau nak tahu keturunan kita langsung tidak ada lelaki. Kau sahajalah lelaki tunggal dalam semua sepupu kita di kampung. Anak-anak kami juga semua perempuan. Malah anak kakakku yang baru sahaja lahir tempoh hari juga perempuan! Balas Rina panjang lebar.
Jadi, kalau anakku perempuan bagaimana? Sama ada lelaki atau perempuan aku tidak kisah. Aku hanya mahu anakku lahir nanti dalam keadaan sempurna dan sihat. Muktamad! Balas WhatsApp seolah-olah merajuk. Barangkali juga dengan pengakuan itu aku cuba menyingkirkan perasaan resah yang semakin membenamkan naluri hatiku jauh ke dasar lurah yang paling dalam.
Aku memadam semua perbualan itu agar tidak dibaca oleh isteriku nanti. Aku tidak mahu isteriku tersinggung dengan segala apa yang telah kami bualkan. Malah, aku tidak mahu isteriku turut memikirkan tentang jantina anakku sehingga memudaratkan kesihatannya kelak. Sehingga ke saat ini meskipun Rina ada menghantar mesej meminta maaf kepada diriku namun aku hanya membiarkan mesej itu berlalu pergi tanpa mahu membalasnya. Aku benar-benar terasa hati dengan kata-kata Rina!
“Kenapa termenung? Patutnya Sham gembira. Ada apa-apa masalah, Sham?” Suara ibu menyebabkan aku tersentak daripada lamunan yang panjang.
``Tak ada apa-apalah ibu. Sham bersyukur dengan pemberian Allah ini, ibu. Ibu, boleh ibu berikan resipi rendang tok? Ira nak sangat makan rendang tok tapi susahlah Sham nak dapatkan di sini.” Aku cuba membangkitkan semula mood ceria dalam video call tanpa mahu ibuku memikirkan tentang apa yang sedang bersarang di kotak fikiranku.
“Mudah saja Sham. Cuba Sham masuk ke laman Google. Nah cari sahaja di situ! Atau paling senang dan cepat guna aplikasi YouTube. Selamat memasak Sham!” Ibu mengakhiri video call tanpa sempat aku membalasnya. Ah, ibu. Ada-ada sahaja. Omelku perlahan dalam hati.
Tanpa berlengah, aku memulakan pencarianku di laman YouTube. Benarlah kata ibu, taip sahaja perkataan rendang, semua jenis rendang ada disediakan. Malah cara memasak rendang dan bahan-bahan penyediaannya turut ditunjukkan di situ. Mujurlah ibu agak mahir dalam penggunaan aplikasi yang melibatkan ICT. Aku yang selalu menggunakan aplikasi tersebut hanya memikirkan tentang hiburan dan gosip yang disampaikan oleh ‘makcik dan pakcik bawang’ sahaja. Hanya untuk kali ini aku benar-benar ingin memikat isteriku dengan hasil air tanganku sendiri.
Aku berlari ke dapur menyiapkan bahan-bahan yang dipamerkan di YouTube. Berkelentang-kelentung jugalah aku sepanjang hari itu. Mujurlah isteriku tidak ada di rumah. Isteriku mengikut ibunya ke rumah rakan yang terletak di pinggir bandar. Justeru, aku mengambil peluang dengan memasak rendang tok yang sudah lama diidamkan oleh isteriku. Seharian aku bermandi peluh di dapur. Seharian itu jugalah aku gembira menceburi bidang masakan yang jarang-jarang aku lakukan. Aku hanya tahu menjerang air, menanak nasi dan memasak mi segera atau paling mudah menggoreng telur mata kerbau. Namun untuk memasak rendang itu jauh panggang dari api. Namun, usahaku itu membuahkan hasil apabila melihat dan merasa rendang ala-ala tok yang menjadi! Terima kasih Pakcik Google dan YouTube!
Lewat senja, isteriku dihantar pulang oleh ibu dan kakaknya. Aku yang menunggu di hadapan pintu mempelawa agar ibu dan kakak iparku masuk ke dalam rumah. Namun, mereka menolak kerana hari sudah lewat. Aku hanya tersenyum dan memerhatikan wajah isteriku yang agak sugul. Terdetik pertanyaan di tangkai hatiku tatkala itu. Apakah yang sedang berlaku? Namun, kubiarkan isteriku masuk ke dalam rumah dengan mengekorinya hingga ke ruang dapur.
Isteriku menjeling ke arah rendang tok yang terhidang di dalam pinggan. Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan rendang tok sambil air mata mula bertakung di kelopak matanya. Aku terkedu seketika. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. “Ira nak makan? Rendang ini abang yang masak tadi. Abang ambil resepi dalam YouTube.” Kataku cuba memancing situasi.
Isteriku menggeleng kepala. Aku kembali resah. “Mengapa?” soalku perlahan.
“Tadi Ira ikut mak dan kakak berjumpa doula. Kata doula anak kita songsang. Mak suruh Ira bersalin di rumah sahaja. Mak dan kakak tak mahu Ira bersalin di hospital. Kata mak, bersalin di hospital lebih sakit dan akan banyak kesannya. Kata mak, zaman sekarang jika bersalin di hospital, doktor tak akan tunggu lama. Doktor akan sarankan agar dibuat pembedahan. Ira takut... Ira rasa serba salah pada mak jika Ira tak mengikut kata mak!” Luah isteriku dengan air mata yang semakin berjuntaian di pipinya.
Aku tersentak tatkala mendengar luahan isteriku. Aku juga tidak tahu maksud doula dan bayi dalam keadaan songsang. Justeru, otakku kembali ligat cuba menyelongkar satu persatu makna yang tersirat daripada doula. Siapa doula? Soalku menggeletar di dalam hati.
Aku memujuk isteriku agar tidak terus takut dan menangis. Terjelma ketakutan dalam dirinya sehinggakan seluruh keberaniannya dihumban jauh ke dalam tasik yang warna airnya hitam dan pekat. Malah tidak ada sebutir keberanian dan kecekalan yang terbit daripada kocakan air di tasik itu. Kini, hanya diriku sahaja yang harus memberikan kekuatan kepada isteriku dengan pertolongan Yang Maha Kuasa.
Akhirnya, rendang tok langsung tidak dijamah. Malah rendang tok itu kelihatan melempiaskan perasaan kecewanya kerana tidak ada yang sudi untuk menjamahnya.
Usai isteriku tidur, aku keluar dari bilik dan duduk bersandar di atas sofa. Malam yang dingin dan membeku itu memberikan warna ketidakharuan dalam hatiku. Perasaanku kacau-bilau dan bersimpang-siur. Lantas aku mencapai komputer riba dan menekan punat ‘on’. Tatkala layar skrin terang-benderang, aku mencari laman web Google dan mula menaip perkataan doula. Seketika kemudian, terpampang maksud tentang doula.
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada ibu yang hamil, akan bersalin atau telah bersalin. Namun tatkala aku membaca ayat seterusnya mengenai doula benar-benar merunsingkan diriku. Seorang doktor ada berkongsi tentang isu doula di Malaysia: “Hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.”
Aku masih keliru. Kemudian aku membaca dalam blog mengenai doula. Dalam blog seorang wanita yang tidak bernama dia menerangkan tentang kes-kes kematian yang disebabkan oleh doula. Aku masih lagi keliru. Melalui paparan di YouTube aku menonton isu perbincangan yang berkaitan dengan doula. Isu perdebatan itu membuatkan mataku terbeliak tatkala mendengar keterangan daripada doula. Aku juga turut mengutarakan masalah yang sama di laman Facebook. Di situ aku tanyakan pendapat rakan-rakan alam mayaku mengenai khidmat doula dan risiko jika bersalin di rumah. Akhirnya, aku mendapat pelbagai jawapan yang kesemuanya adalah tidak menyokong sama sekali dengan khidmat yang diberikan oleh doula. Aku tergumam dan kaku seperti patung cendana. Aku berbaring sambil memikirkan tentang perkara itu.
“Abang!” jerit suatu suara secara tiba-tiba. Bingkas aku bangun. Mataku melilau mencari dari mana datang suara itu. Beberapa minit kemudian aku melihat isteriku dibaringkan di atas sebuah katil besi. Isteriku dikelilingi oleh seorang perempuan yang tidak kukenali. Barangkali itu adalah doula. Di tangan doula itu terdapat sebilah gunting dan perkakasan untuk bersalin. Aku melihat isteriku meraung dan menjerit memanggil namaku. Aku berlari menerpa ke arah isteriku namun seperti ada sesuatu yang menahanku, aku gagal untuk membantu isteriku. Dalam samar-samar cahaya, aku melihat banyak darah merah dan pekat mengalir di atas simen. Situasi isteriku pada waktu itu sangat genting. Isteriku tercungap-cungap dan meronta-ronta. Beberapa saat kemudian aku melihat seorang bayi ditarik keluar dari perut isteriku.
Namun, bayi itu langsung tidak menangis. Pada waktu itu doula menggeleng kepalanya berulang kali. Dan dalam sekelip mata aku melihat jasad isteri dan anakku diselimuti dengan kain putih. Aku meraung seperti orang gila.
Dalam esak tangisku aku menjerit sekuat hati. Tiba-tiba bahuku dicuit orang. Aku tersentak. Mataku masih lagi pekat dengan jernihan air mata. Tatkala aku menoleh ke sisiku, kulihat isteriku terpinga-pinga melihatkan keadaanku. Beberapa kali juga aku beristighfar dengan nada yang kuat. Sesungguhnya aku benar-benar diberikan gambaran ngeri tentang doula.
“Mengapa abang?” tanya isteriku curiga.
Tanpa menjawab pertanyaan itu, aku terus mencapai telefon pintarku. Aku menekan punat-punat nombor ibu mentuaku dan di situ aku temui suaranya. Dalam nada tegas aku menyampaikan hasratku.
“Mak, saya tak izinkan isteri saya bersalin di rumah. Saya tak izinkan isteri saya dibantu oleh doula! Saya tak mahu merayu untuk memberikan satu nyawa untuk anak saya kepada doula!”
Tatkala mendengar kata-kata itu membuatkan mulut isteriku ternganga luas.

Selasa, 4 Jun 2019

Kesantunan Berbahasa Kian Sirna

Oleh:

Munsyi Md Rasul bin Haron
(AMATARA)

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Berapa ramaikah di antara kita peduli bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang utama di rantau kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahajadiungkapkan oleh jutaan penduduk di rantau ini malah bahasa ini juga pernah mengalami sejarah hidup yang panjang sejak kelahirannya puluhan abad yang lalu.

Harus diingati bahawa sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13
hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Lebih-lebih lagi dalam usia emas kemerdekaan Negaraku Malaysia, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaa negara yang penting melalui tiga peranan besar iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Pada masa yang sama, martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya
dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

Percampuran ragam bahasa basahan dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Perkara ini tidak harus dibiarkan berlarutan. Bahasa basahan ini ialah bahasa pertuturan
sehari-hari. Bahasa ini tidak mementingkan unsur tatabahasa kerana yang dipentingkan ialah kefahaman antara penutur dan pendengar. Oleh hal yang demikian, ia tidak digunakan dalam
tulisan atau ucapan rasmi. Bentuknya pula sering dipengaruhi oleh dialek dan slanga daerah.

Begitu juga dengan dunia internet dan dunia media sosial yang dimeriahkan dengan bahasa santai. Walaupun masyarakat kita sedang mengalami migrasi ke masyarakat maya, bahasa
Melayu perlu diletakkan di tempatnya. Penggunaan bahasa Melayu yang baku mengalami penyempitan maka terjelmalah bahasa Melayu baharu yang diungkap secara sambalewa.

Masalahnya kini ialah, masyarakat tidak lagi memikirkan aspek kesantunan berbahasa Melayu ketika berkomunikasi walaupun pemimpin negara yang begitu ringan mulut di Parlimen. Nilai-nilai murni ketika berbahasa Melayu telah dilupakan. Situasi ini amat membimbangkan kerana ditakuti generasi pada masa kini melupakan nilai-nilai murni dan kesantunan ketika berkomunikasi. Penggunaan ujaran yang tidak santun ini secara tidak langsung menunjukkan gambaran keperibadian masyarakat Malaysia kerana berita yang disiarkan secara dalam talian ini boleh diakses oleh seluruh dunia.

Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar. Menurut Amat Juhairi Moain (1992) pula kesantunan merujuk kepada kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama
ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang sopan mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej. Kesantunan bahasa ini dapat memperkukuh lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara kita. Dengan adanya definisi daripada ilmuan-ilmuan ini maka terbuktilah bahawa kesopanan ini terbahagi kepada banyak aspek antaranya ialah dari aspek pertuturan, pengunaan bahasa dalam komunikasi.

Sejajar dengan itu, penggunaan bahasa Melayu tidak sekadar mengungkapkan kata-kata yang jelas bermakna iaitu dapat difahami oleh semua, melainkan juga belajar mengungkapkan kata-kata sesuai dengan situasi dan dengan kesopanan masyarakat. Dalam situasi tertentu ada
kata-kata yang tidak patut diucapkan, walaupun makna perkataan tersebut sesuai dengan maksud si pengucap. Dalam kalangan tertentu ada kata-kata yang tabu diucapkan walaupun kita beranggapan kata itulah yang paling tepat untuk menyampaikan maksud kita.

Kata tabu merupakan penggunaan kosa kata yang tidak santun diungkapkan oleh setiap individu yang hidup bermasyarakat. Kosa kata tersebut merupakan makian dan ungkapan kotor yang diungkapkan mengikut sekehendak hati.

Sehubungan dengan itu, marilah kita mendenyutkan cinta yang sama untuk memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan bahasa kelima paling banyak dituturkan di dunia ini ditempatnya. Sikap individu yang membusung dada meminggirkan bahasa Melayu dan tidak
menggunakannya secara bersungguh-sungguh amat dikesali. Dasar yang telah diputuskan melalui Perlembagaan, akta serta peraturan perlu diperkasakan secara berterusan dan bukannya merendahkan martabat bahasa Melayu. Sesudah mencapai kemerdekaan, negara
kita telah membangun dengan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasinya, seperti yangdigunakan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran.

Ikat jerami muat ke kandar,
Selepas makan mandi di telaga;
Ungkap difahami wasangka terhindar,
Bahasa Melayu penyatu warga.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...