Selasa, 21 Julai 2009

Sedarlah Wahai Remaja

Memang tidak dapat dinafikan pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Tanpa pendidikan mustahil sesebuah negara dapat menjulang hasrat menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi menyekolahkan anak-anak mereka. Mereka bekerja siang dan malam untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang berminda pendidikan. Pengorbanan ibu bapa seperti ini mesti dibalas dan dikenang oleh anak-anak. Terutamanya anak-anak remaja yang bersekolah di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia. Tanggung jawab mereka sebagai pelajar harus dipikul. Bukan menunjukkan rasa bongkak menunjukkan gigi taring seperti singa kelaparan apabila gurunya menegur. Tidak ada guru yang sanggup membiarkan anak didik mereka terus berada di dalam kepompong keremajaan. Satu tingkat di mana, remaja masih tercari-cari identiti diri. Satu peringkat di mana pendapat rakan sebaya menjadi lebih dominan daripada pendapat ibu bapa dan guru-guru. Pelajar-pelajar mesti menghormati mereka yang lebih tua iaitu orang tua dan guru-guru mereka. Kalau penghormatan terhadap kelompok ini tidak dapat diterbitkan daripada jiwa mereka, pasti pelajar-pelajar ini tidak entang dengan orang lain. Justeru, mereka tidak segan silu bercakap kasar dengan orang yang lebih dewasa. Mereka dengan penuh kebanggaan melakukan aksi 'wheelie' di atas jalan raya yang mereka tidak pernah membayar cukai. Kebanyakan daripada mereka tidak memiliki lesen yang sah. Lesen 'L' dianggap lesen LUMBA. Apa kata, para jurutera permotoran negara mencipta motosikal yang punyai satu tayar. Bukan apa, kalau ada tayar hadapan pun, golongan ini tidak suka menggunakan.

Yang paling memeranjatkan, ada sesetengah ibu bapa sanggup menghadiahkan sebuah motosikal kepada anak kesayangannya walaupun keputusan peperiksaan tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Anak-anak remaja ini apabila disogokkan dengan motosikal mulalah langkahnya panjang. Mulalah ibu bapa bermata merah menunggu anak yang belum balik dari gelanggang lumba motosikal. Balik rumah bagai wira negara. Dengan bangganya anak-anak ini menceritakan yang dia telah berjaya melakukan aksi superman, batman, ultraman dan bionicman dengan menggunakan hadiah yang diberi dengan penuh mesra oleh ibu bapa.

Pada tahap ini, pelajar-pelajar sudah tidak berminat lagi untuk belajar, membaca buku dan membuat ulang kaji pelajaran. Baginya, semua soalan-soalan yang ditanya di dalam peperiksaan mudah dan tidak mencabar seperti di gelanggang lumba haram. Apabila keputusan peperiksaan keluar, baru mula menitiskan air mata. Menyesal. Dan baru sedar, tanpa kelulusan sukar baginya untuk menyambungkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi. Pada masa itu baru timbul perasaan cemburu apabila melihat rakan-rakan lain yang tidak pernah melakukan aksi ranggi di atas jalan raya banyak mendapat offer dari universiti. Rakan-rakan lain sudah keluar universiti, mereka masih melakukan aksi. Apabila umur semakin meninggi, baru tahu yang hidup ini penuh kesukaran. Baru tahu, walau pandai aksi 'wheelie', gaji tidak pernah tinggi-tinggi. Kemudian timbul hasad dengki.

Mula berbual di kedai kopi membincang isu luar negeri. Anak dan isteri di rumah hanya berkuah kari tanpa isi.

Ahad, 12 Julai 2009

Suatu Masa Dahulu

Suatu masa dahulu, sewaktu penulis masih bersekolah di Sekolah Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Penulis begitu menghormati guru-guru yang mengajar di sekolah. Ibu dan bapa penulis walaupun berasal dari kampung sentiasa mengingatkan penulis untuk meletakkan guru pada tempat yang tinggi. Mesti hormat. Mesti beri salam. Mesti patuh dengan arahan guru. Rakan-rakan yang lain pasti mempunyai pengalaman yang sama. Kalau kita mengadu dihukum oleh guru, ibu bapa akan 'menambah' lagi. Ibu bapa tidak pernah memenangkan kita. Apa yang ibu bapa tahu, tugas kita ke sekolah untuk belajar dan mendapatkan ilmu pengetahuan.
Kalau kita tidak pergi ke sekolah, kita sendiri berasa malu untuk keluar dari rumah selagi sesi persekolah belum tamat. Bukan apa, masyarakat sekeliling pasti bertanya kenapa kita tidak pergi ke sekolah. Apatah lagi kalau ponteng sekolah, pasti satu kampung menangkap dan memberi syarahan berjela-jela. Syarahan tersebut bersambung lagi di rumah. Justeru, kita sebagai pelajar takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan pelajar-pelajar masa kini. Kita hormat guru dan orang yang lebih tua daripada kita. Bagaimana perkara ini boleh terlaksana. Sebabnya adalah didikan sempurna daripa ibu bapa kita dan masyarakat yang begitu prihatin dengan anak-anak bangsanya. Kita hanya perlu membuang rasa ego untuk belajar daripada ibu bapa terdahulu. Meniru gaya masyarakat suatu masa dahulu.
Sebagai ibu bapa kenapa kita tidak berupaya untuk mendidik anak-anak di rumah. Sekolah bukanlah Taman Asuhan Kanak-Kanak yang dihantar oleh ibu bapa moden untuk guru-guru menjaganya. Pelajar-pelajar hanya berada di sekolah pada pukul 7.20 pagi sehingga pukul 1.20 petang. 6 jam satu hari di sekolah. 18 jam lagi di mana pelajar-pelajar ini berada. Kenapa apabila anak-anak kita melakukan kesalahan, kita dengan sombongnya menyalahkan guru-guru. Salah kawan-kawan. Anak sendiri tidak pernah salah. Butakah mata kita apabila melihat personaliti anak-anak kita. Rambut merah. Kuku merah berkilat dan panjang. Tindik telinga berbaris-baris, di lidah dan dihidung serta pelbagai tempat. Bibir hitam hisap rokok. Anak-anak ini sepatutnya berada bersama kita dan kita sebagai ibu bapa wajib menegur dan bertindak sebagai seorang ayah dan ibu suatu masa dahulu. Bukan takut dengan anak. Bukan menjadi hamba anak. Bukan menjadi orang suruhan anak dan yang paling tidak bernilai, disepak terajang oleh anak. Pada masa itu barulah sibuk menyalahkan orang lain. Kalau guru-guru menegur rambut yang tidak mengikut peraturan, ibu bapa ini membela anak-anak. Kata mereka ini fesyen remaja, tidak boleh halang. Kalau mengadu anak-anaknya ponteng sekolah dan minta datang ke sekolah, ibu bapa menghantar datuk dan nenek anak-anak tersebut untuk berbincang dengan guru-guru. Alasannya mereka sibuk. Cari duit. Bekerjaya. Kadang-kadang kasihan juga golongan ini, hal anak-anak tidak diendahkan. Cari duit tidak pernah cukup. Bangga pula tu suruh anak cakap dengan guru-guru yang mereka ini dah kaya. Tidak payah belajar. Kalau begitu kenapa dihantar ke sekolah. Kenapa tidak hantar ke sekolah international yang yurannya mencecah ribuan ringgit. Sekolah kerajaan percuma.
Kemudian timbul cadangan-cadangan di dalam akhbar supaya diletakkan polis dan tentera untuk mengajar di sekolah menengah. Tidak ada masalah, dapatkan dahulu Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dari IPT. Kemudian dapatkan Diploma Perguruan barulah boleh mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Alasan mereka adalah untuk mendisiplinkan pelajar. Cadangan-cadangan yang melucukan ini mungkin datang daripada mereka yang tidak pernah mendapat pendidikan tinggi tetapi mempunyai idea-idea peringkat menteri.
Kesimpulannya, sama-sama kita memainkan peranan untuk mendidik generasi kini. Guru-guru teruskan usaha mendidik. Ibu bapa kembali seperti suatu masa dahulu. Masyarakat pula lakukan amali bukan sembang kosong di kedai kopi.
Sekian.

Kursus LADAP Semerbak 09

FRIM, Kepong-11 Julai 2009. Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Seri Gombak telah menganjurkan Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan di Auditorium FRIM Kepong bermula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Penulis dan sahabat penulis Azam dan Pak Yem, sudah awal-awal lagi bertemu di restoran mamak depan Selayang Mall. Bukan apa, dapat juga pekena teh tarik saiz xxxl dan roti canai baik punya. Sembang punya sembang, jam menunjukkan pukul 8.10 pagi. Melompat kami bertiga, bukan apa takut lambat daftar pula. Kami terus bergegas ke Auditorium FRIM dengan semangat yang tinggi untuk mengikuti kursus motivasi yang dirangka khusus untuk guru-guru SMK Seri Gombak. Bukan kerana guru-guru SMK Seri Gombak tidak ada motivasi cuma untuk memanaskan kembali jiwa yang kadang-kadang sejuk, kadang-kadang panas.


Tn.Hj.Ahmad Nadzri bin Mansor, Perunding Motivasi dari Alfarabi Consultant Management bertindak menjadi penceramah jemputan. Aktiviti pertama begitu menceriakan suasana pagi di dalam auditorium. "Panjang", semua keluarga Semerbak mula mendepakan tangan. "Pendek", semua keluarga Semerbak mula memendek jarak tangan. "Tinggi", semua keluarga Semerbak mula mengangkat tangan tinggi-tinggi. "Rendah", keluarga Semerbak mula menurunkan tangan. Pergerakan yang sekata menjadikannya begitu harmoni. Ini bermakna, kita sebagai keluarga Semerbak boleh bersama dan bersatu hati dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak kita yang masih dahaga dan lapar dengan ilmu pengetahuan.


Kami kemudian dibahagikan kepada 8 kumpulan iaitu Kumpulan Camar Riang, Segar Lima, Be First, Gemilang, Fabulous Four, Cerioo, Kami Kaya dan Vision. Setiap kumpulan diamanahkan untuk melantik Ketua Kumpulan, Setiausaha dan AJK. Kumpulan-kumpulan yang dibentuk terdiri daripada ahli-ahli tidak mengira darjat, genetik, saiz kereta, tabungan di bank, jumlah hutang, bilangan anak dan isteri mahupun keturunan. Guru-guru Semerbak menolak konsep "Antara Dua Darjat", mereka bekerjasama dan berbincang untuk memilih logo, motto dan trademark kumpulan masing-masing. Logo-logo yang dipamerkan begitu unik dan jarang dilihat di mana-mana kursus motivasi yang pernah di buat di serata dunia. Trademark kumpulan bagai peserta-peserta Akademi Fantasia. Kalaulah peserta-peserta Akademi Fantasia ada di dalam auditorium, mereka tanpa segan silu boleh menciplak trademark yang dicipta khusus oleh keluarga Semerbak

Kita boleh sangkal pendapat-pendapat nakal yang mengatakan kita tidak boleh bersama dan bersatu hati. Kumpulan Camar Riang yang diketuai oleh Puan Umi bertindak membentang misi kumpulan mereka. Pidatonya membuktikan bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi Yang Berhormat sekiranya diberi peluang. Kemudian kumpulan Segar lima yang dipimpin oleh Kak Sapiah yang terkenal dalam rancangan 'Talk Show Bersama Kak Piah'. Memang tidak dapat dinafikan, bakatnya sebagai penyanyi digunakan sepenuhnya untuk menjadikan pembentangan misi kumpulan lebih ceria dan menghiburkan. Seterusnya Saudara Firdaus yang mengetuai kumpulan Be First yang hebat menjelaskan misi kumpulan iaitu sentiasa menjadi nombor satu dalam segala hal baik dari segi mendapatkan sarapan sempurna, makan tengahari dan tempat pertama dalam menghidupkan enjin kereta selepas kursus. Be First juga berazam menjadi orang nombor satu dalam mendidik anak-anak Semerbak, orang nombor satu membantu rakan-rakan, orang nombor satu menghantar setiap tugasan dan orang nombor satu mengambil berat kebajikan anak-anak Semerbak. Seterusnya Kumpulan Gemilang yang begitu serius membentangkan misi kumpulan mereka. Manakan tidak, Bos kita, Pn.Rahimah juga merupakan ahli kumpulan mereka. Kita seperti mendengar Kuliah Sarjana di Universiti. Keseriusan itu akhirnya diceriakan dengan persembahan nyanyian lagu Gemilang oleh Pn.Roslina dan ahli-ahli kumpulan Gemilang. Cikgu Ruzmi menyanyi sambil mengibar-ngibarkan kertas mahjung yang terpampang logo dan misi kumpulan dan menggoyang-goyangkan badannya seperti penari profesional.
Kak Ina, Penolong Kanan Petang turut diamanahkan oleh ahli-ahli Kumpulan Fabulous Four untuk mempersembahkan hasil kerja mereka. Kak Ina yang begitu bergaya dan anggun berjaya menyampaikan misi kumpulan dengan jelas dan terang. Kebanyakan ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada guru-guru graduasi di dalam bidang Sains dan Matematik. Walaupun Menteri Pelajaran Malaysia mengumumkan PPSMI dibubarkan secara berperingkat-peringkat, ahli-ahli kumpulan ini tetap berjanji mengikut dan mematuhi dasar-dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Pak Yem yang mengetuai Kumpulan Cerioo telah menggamatkan auditorium dengan buah fikirannya yang tidak dapat dijangkau fikiran. Pak Yem mempunyai misi untuk menceriookan semua keluarga Semerbak dalam menjalankan tugas-tugas seharian. Bagi Pak Yem, kita harus ceriookan diri kita walaupun hati rasa berat dan malas. Ceriookan diri, hati akan turut cerioo. SEMERBAK akan terus cerioo. Luahan rasa Pak Yem berkenaan APC 2008 hanya sebagai gurauan. Sesiapa yang mengenali Pak Yem tahu sikap Pak Yem. Pak Yem sebenarnya tidak kisah dengan anugerah tersebut. Bagi Pak Yem, pengalaman dan amanah dalam mencurah ilmu lebih dua dekad diterima Allah S.W.T. Keluarga Semerbak semua jangan ambil hati dengan Pak Yem. Cerioooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooo.

Seterusnya, Azam yang mengetuai Kumpulan Kami Kaya berjaya menjelaskan misi mereka. Bukan bermaksud kumpulan mereka ini 'materialistik'. Bukan bermaksud, mereka ini 'giler duit'. Apa yang diimpikan oleh kumpulan ini adalah, kaya ilmu pengetahuan. Kaya ilmu mengajar. Kaya mengambil berat anak-anak Semerbak. Kaya dengan tugasan dan tanggungjawab. Kaya dengan amanah. Kaya. Aku kayoooooooooooooooooooooooooooooooo. Kamu kayoooooooooooooo. Semua kayooooooooooooooooo dan ceriooooooooooooooooooooooooo.

Kumpulan yang menutup persembahan misi ialah Kumpulan Vision. Sir Sheikh Abidin dengan wajah penuh visi membentangkan hasrat murni ahli-ahli kumpulan tersebut untuk menjadikan visi menjadi pendidik yang dihormati tinggi menjadi realiti.

Pukul 10.15 keluarga Semerbak menikmati sarapan pagi dengan dihidangkan bihun goreng Greenwood. Begitu juga dengan aroma teh tarik dan teh o yang mencengkam jiwa. Makan tengahari di lobi auditorium begitu mengujakan dengan hidangan yang mampu membuka selera sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Sodappppp.
Sehari suntuk guru-guru Semerbak mengikuti kursus yang penuh dengan suntikan semangat. Kita sebenarnya haruslah bekerja dalam suasana harmoni dan mempunyai semangat 'team-work' untuk menjadikan SMK Seri Gombak sekolah yang cermerlang dan terbilang. CERIOOOOOO SEMERBAK. KAYOOOOOOOOO SEMERBAK.
Sekian.










Ahad, 28 Jun 2009

Konvoi Ke Apartment Sri Ehsan, Kepong



Kepong, 28 Jun 2009- Apartment Sri Ehsan dikunjungi oleh Kelab Rekreasi dan Kekeluargaan SEMERBAK membuat lawatan ke rumah Yuzi yang juga merupakan ahli Kelab seumur hidup. Konvoi yang diketuai oleh Tn.Hj.Ibrahim bin Abdullah mula bergerak meninggalkan Greenwood tepat pukul 9.30am. Penulis bersama Yuzi menunggu kumpulan Kelab tersebut di hadapan Stesen Minyak BHP Tmn.Sri Ehsan. Azam, Firdaus, Am, Abe Mi, Kak Zura serta anak-anak, Roziah serta anak-anak turut memeriahkan program pada kali ini. Pelbagai program telah diatur sepanjang konvoi tersebut. Tn.Hj Ibrahim yang bertindak sebagai 'marsyal' memberi taklimat ringkas tentang keselamatan jalan raya dan mengingatkan ahli-ahli supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t sepanjang perjalanan ke Kepong. Peserta konvoi dihidangkan pemandangan indah sepanjang konvoi berjalan. Pemandangan Tasik Metropolitan, Kepong mengujakan peserta konvoi. Tambahan pula, suasana damai di Kepong membuatkan para peserta melupakan kesibukan Greenwood yang dikenali sebagai kawasan termeriah di Gombak.


Tepat pukul 10.00 am pesrta konvoi tiba dengan selamat di Stesen Minyak BHP Tmn.Sri Ehsan. Setelah memastikan tidak ada peserta yang teringgal atau terbabas ke tempat lain, Yuzi dengan wajah tersenyum-senyum, mengarahkan anggota konvoi untuk membontoti keretanya. Kami akhirnya selamat tiba di perkarangan Apartment Sri Ehsan dengan disambut oleh Pengawal Keselamatan yang begitu berkarisma. Mereka seperti pelakon tambahan yang dipukul mati oleh hero filem Hindi. Sambutan yang diterima membuatkan anggota konvoi hilang rasa penat memandu menempuh pelbagai halangan yang tidak dapat dibayangkan.


Kemudian anggota konvoi diarahkan berehat 10 minit sebelum bergerak ke Blok H Apartment Sri Ehsan. Tn.Hj. Ibrahim bin Abdullah mengarahkan kami mengadakan aktiviti tarik dan hembus nafas supaya darah di dalam badan berjalan lancar.




Selepas aktiviti tarik dan hembus nafas, kami beramai-ramai bergerak ke rumah Yuzi. Sambutan yang diterima daripada keluarga Yuzi membuatkan kami tidak sabar untuk menikmati nasi dagang Trengganu. Sambil menikmati nasi dagang, anggota konvoi dapat menggomol anak pertama Yuzi yang diletak namanya 'Alif Irfan' berumur 48 hari. Kecomelannya mengalahkan ayahnya. Ini membuatkan ayahnya tidak senang duduk dengan sikap tetamu yang tidak memperdulikan ayahnya, sebaliknya memberi perhatian kepada Yuzi Junior. Untuk menghilangkan rasa geram, Yuzi akhirnya mengambil peluang keemasan mempromosikan perniagaan 'ceramicnya'. Anggota konvoi mendengar dengan penuh gembira dan ada yang bersahaja dan mendengar selamba.

Apapun, konvoi pada kali ini berjaya. Cuma ketidakhadiran tetamu VVIP, YM Tengku Syahrul amat mengejutkan semua ahli kerana Tengku tidak pernah menolak sekiranya diajak makan nasi dagang dan teh ais kegemarannya. Tolong jawab surat tunjuk sebab kepada Tn.Hj.Ibrahim bin Abdullah pada 29.6.2009. Pada kesempatan ini juga pihak kelab mengucapakan Selamat Hari Jadi buat Ira, puteri kepada Azam yang turut menyambut hari lahirnya pada hari ini.



Sekian, wassalam.

MD RASUL BIN HARON










Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...