Ahad, 11 September 2011

Empat pelajar ditahan kerana serang guru




SANTUBONG: Empat pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini ditahan awal pagi semalam berhubung serangan ke atas seorang guru lelaki.
Kesemua pelajar Tingkatan Lima terbabit ditahan di kediaman mereka sekitar jam 1 pagi oleh anggota Unit Jenayah Berat dari ibu pejabat polis negeri.
Bagaimanapun dua pelajar lain dipercayai turut terlibat dalam serangan itu berjaya mengelak daripada pasukan penahan.
Sumber memberitahu serangan itu berlaku di sekolah pada pagi Khamis ketika enam pelajar menghampiri seorang guru lelaki berusia 30-an, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal disiplin lalu menyerangnya dengan topi keledar.
Motif serangan dikatakan sebagai salah faham antara guru terbabit dengan pelajarnya yang berlaku sebelum kejadian.
Guru terbabit yang mengalami lebam di kepala membuat laporan polis selepas kejadian itu. Kesemua pelajar terbabit kini dalam tahanan reman sementara siasatan lanjut dijalankan.
Sumber: The Borneo Post

Sabtu, 10 September 2011

SMK Bakai hasilkan bendera sepanjang 300 meter


ARKIB: 5/9/2011
Utusan Malaysia Online
PARA pelajar SMK Bakai berbangga selepas menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 300 meter yang dipasang di pagar sekolah berkenaan di Baling, baru-baru ini.


BALING 4 Sept. - Semangat cintakan negara jelas tersemat dalam kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai dekat sini, apabila berjaya menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 300 meter sebagai bukti kesungguhan mereka.
Suntikan semangat kemerdekaan yang dihayati oleh 700 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat sekolah berkenaan itu dibantu oleh guru, penduduk tempatan dan sebuah syarikat swasta mampu merealisasikan hasrat itu.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Azizan Abu Bakar berkata, usaha membuat Jalur Gemilang itu yang pertama kali dilakukan oleh sekolah tersebut, membuktikan semangat cintakan negara bermula dari bangku sekolah.
Katanya, pelajar diberi peralatan dan kelengkapan untuk menyiapkan Jalur Gemilang pada waktu sekolah ketika sesi pembelajaran mata pelajaran Sivik dan Seni yang sesuai dengan projek itu.
"Pelajar mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan keseluruhan mengecat kain, melukis dan memasang di sepanjang pagar sekolah bagi membuktikan kesungguhan mereka menyambut kemerdekaan negara," ujarnya di sini baru-baru ini.
Tambah Azizan, semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh para pelajar untuk menyiapkan Jalur Gemilang itu melalui kerja secara berpasukan dan hasil kerja mereka diiktiraf oleh guru-guru.
"Kita terap penghayatan kemerdekaan melalui Jalur Gemilang kerana pelajar ada semangat dalam diri dengan menyemai hasil kerja tangan sendiri, sekali gus dapat melahirkan generasi yang faham erti sejarah kemerdekaan," jelasnya.
Menurut beliau, pihak sekolah berhasrat mahu menjadikan projek itu acara tahunan setiap kali menjelang 31 Ogos.

Jumaat, 9 September 2011

Bina istana batang aiskrim uji kreativiti murid


ARKIB: 5/9/2011
Utusan Malaysia Online

Pasukan SK Seri Bintang Selatan meraikan kejayaan sebagai juara pertandingan Paddle Pop Kingdom Quest di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Seri Bintang Selatan diumumkan juara pertandingan Paddle Pop Kingdom Quest di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pasukan ini mengalahkan 31 pasukan yang merangkumi lebih 100 pelajar dari 12 sekolah rendah pada peringkat akhir dan telah menerima hadiah utama berupa RM3,000 serta sijil penyertaan.
Istana agam pasukan yang terdiri daripada empat pelajar ini dikawal oleh empat menara di setiap penjuru dibina menggunakan batang aiskrim Paddle Pop sebagai bahan asas serta dilengkapi dengan elemen alam semula jadi yang mendamaikan seperti sebuah sungai yang dibarisi pokok dan sebuah jambatan.
Pengurus Pemasaran Jenama Aiskrim Wall's, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd, Chan Meng Yang berkata, Paddle Pop Kingdom Quest adalah satu program sekolah berunsur pendidikan untuk mencetuskan kreativiti dan kepintaran kanak-kanak.
"Terdapat pelbagai cara kreativiti boleh dipupuk di luar bilik darjah dan kami berasa gembira dapat memberikan kanak-kanak ini peluang untuk mengekspresikan daya kreativiti mereka," katanya.
Setiap pasukan diberi tempoh masa selama tiga bulan untuk menyiapkan kraf mereka sejak Mei lalu menggunakan daya kreativiti dan kerjasama berpasukan bagi menghasilkan karya seni yang layak memenangi hadiah utama.
Naib johan disandang SK Sementa dari Klang, manakala SK Bukit Jelutong memenangi tempat ketiga, masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000. Setiap ahli pasukan yang memenangi pertandingan ini turut menerima sijil penyertaan dan hadiah eksklusif Paddle Pop.
Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, Unilever (Malaysia) Holdings akan melanjutkan pertandingan ini ke 50 buah sekolah di Pulau Pinang pada bulan ini.
Pelajar yang berminat boleh menghubungi pihak pengurusan sekolah mereka atau talian Khidmat Pelanggan Unilever.



Khamis, 8 September 2011

Format baharu pentaksiran SPM Sejarah


ARKIB : 29/08/2011
Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my



Mulai 2013, mata pelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus sebagai syarat untuk layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mata pelajaran Bahasa Melayu.
Subjek Sejarah akan mula diperkenalkan dalam SPM Ulangan mulai tahun 2014.
Format pentaksiran mata pelajaran Sejarah akan menggunakan sukatan pelajaran sedia ada bermula dari tahun 2013 sehingga 2017. Bermula SPM 2018, ia akan menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Mengikut format pentaksiran yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat pada April lalu, subjek Sejarah akan diuji dalam tiga kertas yang melibatkan soalan aneka pilihan, struktur dan esei serta tugasan.
Kertas 1 mengandungi 40 soalan objektif yang perlu dijawab oleh calon dalam tempoh satu jam. Ia menyumbang 30 peratus daripada markah keseluruhan.
Manakala Kertas 2 pula merupakan soalan subjektif yang dibahagikan kepada Bahagian A untuk soalan berbentuk struktur dan Bahagian B untuk esei.
Semua calon wajib menjawab empat soalan yang terdapat dalam Bahagian A. Sepuluh markah untuk setiap soalan.
Bahagian B mengandungi tujuh soalan dan calon hanya perlu menjawab tiga soalan sahaja. Dua puluh markah untuk setiap soalan.
Jumlah markah ialah 100 tetapi secara keseluruhan Kertas 2 menyumbang sebanyak 50 peratus. Tempoh ujian untuk Kertas 2 ialah selama dua jam setengah.
Kertas 3 yang merupakan soalan berbentuk tugasan menyumbang sebanyak 20 peratus daripada markah keseluruhan. Ujian bagi kertas ini dijalankan dalam tempoh tiga jam tetapi calon akan diberi tema atau tajuk umum sebulan lebih awal dari tarikh peperiksaan.
Tajuk tugasan dan panduan menjawab Kertas 3 akan diberi pada hari peperiksaan.
Dari segi aras kesukaran soalan, ia digubal sesuai dengan tahap pembelajaran Sejarah pelajar pada hujung tingkatan lima.
Semua soalan dibina mengikut sukatan pelajaran tingkatan empat dan lima.
Konstruk untuk setiap soalan berbeza mengikut Kertas. Bagi Kertas 1, soalan menjurus kepada keupayaan mengingat, memahami dan menganalisis.
Kertas 2 pula memerlukan pelajar mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan menjana idea.
Tugasan dalam Kertas 3 pula bertujuan memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai, menjana idea dan nilai.


Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...