Sabtu, 24 Disember 2011

Tarikh terima opsyen SBPA dilanjut 15 Jan










Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias.
Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
“Kami akan meneruskan SBPA, dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA. Opsyen yang kami beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia melibatkan banyak isu perundangan.
“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan Cuepacs yang diketuai oleh Presidennya Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini semalam.



Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengarahkan supaya CUEPACS dan JPA mengadakan rundingan dengan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk ‘Exit Policy’ yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.
“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.
Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.
Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan kelmarin mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama semalam merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.
Omar berkata, lima perkara yang telah dibangkitkan oleh CUEPACS ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.




Katanya, opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.
Beliau berkata, rundingan semalam turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.
“Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar,” katanya.
Mengenai ‘Exit Policy’, Omar berkata rundingan semalam mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.
Katanya, langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil CUEPACS akan hadir untuk memberi pandangan.
“Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, CUEPACS akan hadir sebagai pemerhati dan dari situ kita akan selesaikan.
“Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal,” katanya.
Omar berkata, satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara CUEPACS dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. — Bernama





Jumaat, 23 Disember 2011

Mahkamah dapati Khir Toyo bersalah tuduhan rasuah


Sumber:
malaysiakini.com
BERITA dari HAFIZ YATIM




Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Pada masa ini, Hakim Mohtaruddin sedang mendengar rayuan dari peguam Khir sebelum menjatuhkan hukuman.Khir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang. Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat. Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.


DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan. Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi., Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.



Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007. Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu. Dua puluh lima saksi pendakwa dan lima saksi pembela, termasukKhir, memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.





Khamis, 22 Disember 2011

PENGUMUMAN-Cuepacs: PM setuju tangguh pelaksanaan SBPA





Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam. Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu. Manakala Bernama pula memetik Omar sebagai berkata perdana menteri meminta satu rundingan diadakan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs esok bagi menentukan sama ada  menangguhkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau melanjutkan tarikh mengembalikan borang opsyen. Beliau memberitahu demikian mengenai hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib hari ini.

Remaja berpeleseran ‘tutup’ punca rezeki peniaga



Sumber:

http://www.theborneopost.com/2011/12/22/remaja-berpeleseran-tutup-punca-rezeki-peniaga/
Puan Sim








Remaja yang sering mabuk dan mencuri di kawasan itu.
KUCHING: Peniaga di pusat penjaja di Kampung Tabuan Foochow, Jalan Foochow No.1 menyeru polis dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap remaja yang sering mabuk dan mencuri di kawasan itu.
Menurut peniaga terbabit, aktiviti niaga mereka merosot disebabkan tindakan remajaremaja itu yang sering berkeliaran sambil minum minuman beralkohol di premis tersebut.
Bukan itu sahaja, kumpulan itu akan mencuri dan merosakkan harta benda awam yang disediakan di situ.
“Mereka mula berkumpul di situ pada sebelah petang selepas kami menutup operasi kedai dan keesokan harinya kami akan lihat banyak botol arak kosong, jarum suntikan dan beg 
plastik berisi gam yang dibuang merata-rata tempat,” kata pengusaha kedai makan dan minuman yang hanya dikenali sebagai Puan Sim.
Menurutnya, remaja-remaja itu sering merosakkan harta benda awam dan memecah masuk premis untuk mencuri apa sahaja yang dijumpai.
Katanya, dia tiba di kedainya semalam dan mendapati kedainya telah dipecah masuk dan pemeriksaan lanjut mendapati dua silinder gas miliknya hilang.
Nasib serupa dialami seorang penjual kelapa parut yang memberitahu, kedainya turut dipecah masuk semalam menyebabkan dia kerugian RM3,000 selepas pencuri melarikan mesin pemarut kelapa miliknya.
Bagaikan penyakit, seorang penjual sayur turut mendakwa sering mengalami nasib serupa apabila bekalan sayur-sayuran yang baru diterima lesap entah ke mana.
“Pembekal sering menghantar bekalan sayur-sayuran sekitar jam 4.30 pagi di kedai saya.
“Namun, setibanya saya di kedai mendapati beberapa kotak kosong yang saya percaya kehilangan bekalan baru itu ada kaitan dengan kumpulan remaja terbabit,” katanya.
Peniaga-peniaga itu menambah, mereka ada mengupah seorang pengawal keselamatan untuk memantau premis perniagaan di situ pada waktu malam namun malangnya pengawal itu jarang turun bekerja.
“Jika turun pun, keadaan tidak banyak berubah kerana dia hanya berseorangan berbanding kumpulan remaja itu yang ramai…apa yang boleh dia lakukan?” soal Puan Sim.
Bosan dan meluat dengan situasi yang kerap menghantui mereka menyebabkan peniaga-peniaga itu membuat laporan polis semalam selain memanjangkan masalah itu kepada pihak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Mereka berharap laporan tersebut diambil perhatian supaya masalah sama tidak berulang pada masa depan.



Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...