Khamis, 18 Julai 2013

Lagak Semenyih, Miliki Texas

Assalamualaikum WBT,



Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat walau di mana berada.  Hari ini dah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Dan menyaksikan juga jalan-jalan keluar KL dan Putrajaya padat dengan pelbagai kenderaan. Ini adalah pemandangan rutin setiap kali tibanya bulan yang mulia ini. Kepada pengguna-pengguna jalan raya, banyakkan bersabar. Alangkah begitu harmoni, puasa diiringi kesabaran.
 
Ada segelintir pemandu berdesap-desup menyelinap di celahan kereta-kereta yang sabar berbaris.
 
Nilai-nilai ini boleh dilihat di mana-mana lebuh raya. Bagi saya yang bertugas di Putrajaya dan  berulang alik ke Semenyih,  Saya perlu lebih berhati-hati mengemudikan kenderaan. Bukan apa, kelihatan di atas jalan ada manusia lain yang menunjukkan mimik muka yang tidak sabar-sabar orangnya. Kelihatan rakus dan ghairah memandu jentera yang diubahsuai ekzosnya. Jentera yang mengelirukan dari segi keluaran. Sekali pandang jentera itu seperti dikeluarkan dari Texas, pandang kali kedua, baru tahu ia dibeli di Semenyih. Pengemudi melakukan aksi menggerakkan jentera selaju-lajunya. Meninggalkan Texas jauh ke belakang. Kelihatan di muka terpapar wajah membusung dada. Bangga memiliki kereta di bawah harga. Lagak di jalan melebihi tokoh korporat berjaya. Kenapa semangat memandu melulu tidak digunakan dalam diri untuk memiliki semangat merubah kehidupan. Gunakan semangat itu untuk cari kejayaan dan kekayaan. Biar kita lagak Semenyih, tetapi miliki Texas. Berhati-hati di jalanraya. Banyakkan bersabar. Biar keluarga dapat berbuka puasa bersama kita bukan bergegas menjaga kita dek kemalangan yang menimpa.

Jumaat, 12 Julai 2013

Iklan Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2014/2015


03 July 2013
Sukacita dimaklumkan, permohonan ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2014/2015 akan bermula pada 1 Julai sehingga 10 Oktober 2013.

Sabtu, 20 April 2013

Bendera punya hal, nasi pun tiada

Suasana Perang Bendera
Pada 5 Mei 2013, menyaksikan sekali lagi Malaysia akan mengadakan pilihanraya kali ke 13. Pada hari ini pula Hari Penamaan Calon. Alhamdulillah tiada insiden menjejaskan keselamatan negara. Yang penting biarlah pilihanraya pada kali ini tidak berlaku kekecohan. Malu, sebagai rakyat berbudaya konteks tinggi, tidak sepatutnya kita memaki hamun dan menghambur kata-kata kesat. Apatah lagi kita sebangsa dan seagama. 
Pada zaman yang memerlukan mentaliti kelas pertama, kekuatan tenaga beradu siapa kuat menggunakan lengan dan tumbukan tidak harus berlaku. Kekuatan akal adalah tunjang kepada kemajuan. Sepanjang memandu di atas jalan raya dari Semenyih ke Gombak hari ini, saya merasakan kemeriahan pilihanraya. Bendera parti dipasang di sepanjang jalan dan persimpangan jalan. Pendek kata, pantang ada ruang dan tempat untuk paparan bendera pasti tidak dilepaskan. Selepas ini pula poster calon pula memberi pemandangan baharu di sepanjang jalan. 
Sebagai rakyat kita mengharapkan wakil yang berkhidmat untuk rakyat bukan pemimpin yang menghampiri mesra dengan kita sewaktu kempen pilihanrya sahaja. Selepas pilihanraya, batang hidung pun tak nampak. Petugas-petugas pilihanraya yang pada masa kempen masih di takuk lama. Yang berkapcai masih dengan kapcainya. Masih berkira-berkira duit yang berbaki tidak seberapa. Laungan suara semangat pilihanraya pun dan tiada kedengaran. Sudah tidak sekuat sebelum ini. Manakan tidak, semasa kempen, makan 6 kali sehari. Selepas calon dipilih, makan seperti dahulu, 6 hari sekali. Tenaga pun berbeza. Timbangan kalori makanan pun berbeza. 
Kepada petugas-petugas sukarela pilihanraya, jangan lupa bahawa anda juga ada tanggungjawab hakiki. Kepada yang bekerja, jangan bermalasan bangun pagi untuk ke tempat kerja dek bersengkang mata memacak dan memasang poster sana-sini. Kepada yang punya keluarga, jangan terlupa tengok anak-anak kita. Kita keluar malam sampai pagi, anak pun hilang dari malam sampai pagi. Dek terleka, kita tak sedar anak ambil peluang tak belajar dan mengaji. Dek semangat menggunung tinggi, kita terlupa di rumah tiada nasi. 

Sekian, wassalam.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...