Jumaat, 11 Jun 2010

Ibu Bapa Adalah Model Anak-Anak

Assalamualaikum WBT.

Seringkali kita mendengar pepatah, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Namun, bagi mengurus dan memahami anak masing-masing, ibu bapa perlu ada kemahiran dan ilmu keibubapaan.

Apa yang boleh ibu bapa lakukan:

1.   Ibu bapa sebagai model ikutan
2.   Kenali rakan anak
3.   Berhubung dengan guru
4.   Kualiti masa
5.   Kebebasan terkawal ke atas anak-anak
6.   Bersikap realistik terhadap kemampuan anak
7.   Pengurusan disiplin
8.   Beri penghargaan

MD RASUL BIN HARON
Dipetik daripada Kosmo, Jumaat 11 Jun 2010, m/s 29.

Rabu, 2 Jun 2010

Impian Murni Seorang Guru

Assalamualaikum wbt.dan salam sejahtera. Salam pembuka bicara kepada pembaca Wadah Pajak Song.

Cabaran globalisasi dan liberalisasi yang mendasari perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang melipas kudung memaksa semua guru menguasai ilmu dan skil yang tinggi untuk terus relevan dan maju. Guru-guru di seluruh Malaysia sentiasa berusaha untuk melahirkan anak murid yang bijaksana, seimbang dan bersepadu berpaksikan kepada kepatuhan dan keyakinan kepada Tuhan. Impian murni kita sebagai guru adalah untuk membentuk anak murid yang berilmu, kreatif, berfikiran kritis, berdaya saing, penyayang dan berakhlak mulia.

Sebenarnya tidak ada jalan pintas ke arah mencapai kemajuan melainkan dengan bekerja keras. Penulis percaya kesungguhan dalam menuntut ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran akan mendorong murid untuk menjadi warga sekolah yng terbilang bukan murid yang suka menindik subang. Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja didorong oleh masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tetapi merangkumi keseluruhan pembangunan diri setiap individu. Manusia yang berjaya adalah manusia yang berilmu, berakhlak mulia dan berketrampilan hasil kecerdikan akalnya, kesedaran dalaman dan kesejahteraan jasmaninya. Kita semua bertanggungjawab melahirkan generasi yang berilmu, mempunyai akhlak yang mulia dan mampu memberi sumbangan yang positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anak murid yang berada di sekolah-sekolah Malaysia harus berperanan untuk menjadi generasi terbilang. Bukan menjadi murid yang menonjolkan belang di badan. Beraksi dewasa walaupun berstatus kanak-kanak. Ada sebilangan kecil anak-anak ini menunjukkan kehebatan di depan muka guru seperti dia pula miliki pengalaman yang maha hebat berbanding guru-gurunya. Kelompok minoriti ini tidak mengambil peduli nasihat atau teguran yang dibuat oleh guru-guru. Lebih menyedihkan, kadang-kadang yang berkelakuan sedemikian rupa terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan keluarga yang taraf sosio-ekonominya rendah. Mereka melupakan keperitan hidup di rumah dan menjadikan sekolah sebagai tempat yang kondusif untuk mereka mendedahkan 'kedewasaan' itu. Tanpa segan silu, kelompok hipokrit ini merosakkan harta benda sekolah seperti kerusi, meja dan kemudahan tandas. Mereka dengan bangganya sambil menjuih mulut apabila berjaya meninggikan suara kepada guru-guru yang sedang mengajar. Salah siapa? Adakah anak-anak ini patut disalahkan sekiranya bertindak sedemikian rupa? Ibu bapa adalah cerminan anak-anak. Kedatangan anak-anak sekolah adalah bersama kredibiliti ibu dan bapa. Salah siapa jika murid-murid datang lewat ke sekolah. Adakah salah peraturan sekolah yang menetapkan semua murid mesti berada di sekolah sebelum pukul 7.20 pagi? Kalau difikirkan logik akal, sebagai anak-anak muslim dan keluarga muslim, Solat Subuh yang WAJIB dilaksanakan adalah pukul 5.39 pagi.  Kalau ibu dan bapa bangun awal pagi pada pukul 5.00 pagi dan dengan penuh tanggungjawab mengejutkan anak daripada lenanya. Selepas semua bersiap,  Solat Subuh dilaksanakan secara berjemaah. Sekitar 6.00 pagi kewajipan sudah terlaksana. Anak-anak dapat mengisi masa terluang pagi hari yang nyaman dengan membaca buku. Sekitar 6.30 pagi boleh bersiap sedia untuk ke sekolah. Tidak akan ada masalah datang lewat ke sekolah. Tidak akan ada anak murid yang diberi nasihat, peringatan dan hukuman disebabkan kelewatan.

Sebagai ibu dan bapa, kita dikurniakan Allah SWT 'gerak hati' yang membolehkan kita mengenalpasti tingkah laku anak-anak kita. Sekiranya anak-anak kita berada di sekolah pada pukul 7.00 pagi hingga 1.30 tengahari ia berda di bawah tanggungjawab guru-guru untuk mendidik. Dari pukul 1.30 petang hingga 7.00 pagi keesokannya anak-anak berada di rumah. Tidak mampukah kita menegur stail rambut anak yang tidak mengikut peraturan sekolah. Melihat cara anak-anak berpakaian yang tidak kemas, tidakkah ada rasa di hati untuk menegurnya. Meyakini anak mula berjinak-jinak dengan menyedut rokok secara perkongsian, kenapa tidak dibanteras dengan menyoal anak-anak bukan mempertikaikan peraturan larangan merokok. Tidakkah kita sebagai ibu bapa tidak tahu anak-anak membawa hand-phone ke sekolah sedangkan sudah jelas tertera pada papan tanda melarang murid-murid membawa hand-phone ke sekolah bukan mempersoalkan kenapa guru-guru membawa hand-phone. Sebagai ibu dan bapa kita harus melakukan 'mystery shopping'. Sekali sekala bukan selalu, kita memerhatikan gerak geri anak-anak kita bermula dari awal pagi hingga larut malam secara rahsia. Kadang-kadang di depan muka ibu dan bapa, anak-anak begitu berakhlak. Jalan tunduk. Suara perlahan. Pakaian kemas. Anak yang terpilih katakan.  Tidak tahukah kita? Tidak nampakkah kita? Atau sengaja buat-buat tidak nampak apabila kelihan gadis belasan tahun yang masih bersekolah membonceng sambil berpeluk manja di belakang penunggang yang masih belasan tahun yang diyakini tidak ada lesen pun. Hairannya, anak-anak itu dibelikan motosikal dan bebas ke hulu ke hilir manakala sipembonceng tadi kelihatan seperti tidak punyai keluarga yang menyayanginya. Cuba kita buat sedikit penyamaran untuk meneliti anak-anak ini sebelum terlambat. Korbankan sedikit masa. Lupakan kedai kopi seketika. Kurang-kurangkan menyalahkan orang lain. Perbetulkan yang tidak betul. Kalau lurus, Alhamdulillah. Berbahagialah kita dan sama-sama kita memohon ke hadrat Allah SWT agar anak-anak kita terus berada di atas landasan yang betul

Apa kata, kita sama-sama mengambil berat anak-anak ini, di rumah dan di sekolah. Ibu dan bapa serta guru-guru saling membantu dan memerlukan.

Sekian.

MD RASUL BIN HARON
SMK SELAYANG BHARU
BATU CAVES
SELANGOR

Jumaat, 21 Mei 2010

Letakkan 'Cikgu' Pada Martabatnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca Wadah Pajak Song.

Sambutan Hari Guru Tahun 2010 sangat bermakna terutama dalam kalangan mereka yang bergelar Cikgu. Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan tiga insentif sebagai ganjaran dan apresiasi kepada guru yang komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan kebangsaan. Insentif pertama ialah isu beban tugas sampingan yang sudah begitu lama dan boleh dianggap basi yang begitu lama diperjuangkan guru sejak pertengahan tahun 1970 an. Insentif kedua ialah kenaikan pangkat sekaligus menyediakan laluan profesion lebih baik menjadikan profesion perguruan sama kompetetif dengan penjawat-penjawat awam di dalam perkhidmatan lain. Insentif yang ketiga ialah tawaran baru iaitu ganjaran berbentuk kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran skor komposit yang ditetapkan.

Kepadatan pelajar dalam sesebuah kelas merupakan faktor yang menyumbang ke arah menambahkan beban tugas guru-guru kualiti murid-murid. Guru-guru terpaksa berdepan dengan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengahnya mencecah 45 hingga 50 murid-murid. Implikasinya, guru hilang fokus mengajar dan turut mengalami tekanan emosi dengan telatah murid-murid millenium yang sentiasa disokong ibu bapa yang serba tahu. Cadangan mengehadkan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas harus diperhalusi dan diberi perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Apabila kelas 25 murid diwujudkan, kerajaan mesti menyediakan fasiliti yang secukupnya terutama penambahan bilik darjah. Pada pandangan penulis, untuk mewujudkan kelas dengan 25 pelajar, memerlukan satu perancangan bersepadu dan memerlukan sejumlah peruntukan besar.

Berhubung kenaikan pangkat berdasarkan Time-Based , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mempercepatkan pemprosesan kenaikan pangkat Time-Based seperti daripada Gred DG 44 kepada DG 48. Harap perkara ini juga diberi perhatian oleh kerajaan. Guru-guru yang berada di dalam gred DG 41 terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk ke Gred DG 44. Bagi guru-guru yang layak terpaksa tunggu setahun dan ada yang bertahun-tahun menunggu surat kenaikan pangkat DG 44 dari JPA. Apapun, skim gaji Gred DG 41 dan DG 44 perku dikaji semula oleh kerajaan. Kerajaan terlalu sibuk mengkaji skim gaji Kakitangan Sokongan I dan II. Kononnya untuk merapatkan jurang pendapatan antara kakitangan sokongan dengan kumpulan Pengurusan dan Profesional. Bagaimanakah dengan nasib kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam Perkhidmatan Awam? Kumpulan ini termasuklah guru-guru yang berhempas pulas mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian mendapat gaji yang sama dengan penjawat awam di dalam Kumpulan Sokongan I dan II. Bagaimana kerajaan dapat memenuhi hasrat untuk meletakkan guru-guru pada martabatnya? Penulis pun hairan dengan perjuangan Kesatuan-Kesatuan Guru di Malaysia yang meminggirkan kumpulan guru-guru di dalam Gred DG 41 dan DG 44.

Bagi mengurangkan beban tugas guru, kerajaan boleh mewujudkan jawatan-jawatan baru di sekolah seperti Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DG 41, Penolong Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Peperiksaan Gred DG 41, Pembantu Penolong Pengawai Pengurusan Peperiksaan Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DG 41, Penolong Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DGA 29 seperti yang wujud di Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Guru hanya fokus kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Sekiranya seseorang ingin memegang jawatan Jurutera, dia mesti memilki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan. Jika seseorang ingin digelar doktor, dia mesti memegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan. Jika seseorang ingin digelar arkitek, dia mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Senibina. Begitu juga guru, seseorang itu mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Justeru, penulis berharap agar diwujud jawatan Pembantu Guru untuk membantu Cikgu sepertimana wujud jawatan Pembantu Jurutera untuk membantu Jurutera, Pembantu Perubatan untuk membantu Doktor, Pembantu Arkitek untuk membantu Arkitek.

Tanpa guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak murid hingga berjaya ke peringkat pengajian tinggi, mereka tidak mungkin menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa- Terima Kasih Cikgu. Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa lebih 100,000 calon memohon untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Guru seterusnya menyertai profesion paling popular ini. Begitulah hebatnya daya tarikan profesion guru di Malaysia.

Apapun insentif yang diumumkan sempena sambutan Hari Guru Tahun 2010 membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan profesionalisme perguruan dan sebagai balasan, guru perlu menunjukkan komitmen dalam memastikan negara mampu melahirkan generasi muda berilmu dan berakhlak.

Sekian,

MD RASUL BIN HARON
SMK SELAYANG BHARU
BATU CAVES
SELANGOR



Isnin, 17 Mei 2010

Sambutan Hari Guru Di SMK Selayang Bharu


Pada 17.5.1970 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Bharu, Batu Caves telah diadakan Sambutan Hari Guru 2010. Saban tahun kita menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan besar para guru. Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, kita perlu memahami bahawa guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu tugas yang mudah . Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi bukannya sedikit.
Sukar dinafikan, siapapun diri kita dan apa jua diri dan kedudukan kita, semuanya adalah berkat tunjuk ajar ada bimbingan para guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu. Justeru sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun adalah sebagai ingatan terhadap jasa dan pengorbanan guru yang seringkali menjadi seperti lilin membakar diri demi menerangi orang lain.

Pelbagai acara diatur untuk sambutan Hari Guru pada tahun ini. Pengerusi Kelab Guru dan Staf Sokongan, Encik Azuan bin Abdul Aziz melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama semua pihak baik ahli-ahli mahupun pelajar-pelajar yang terdiri daripada pengawas-pengawas sekolah dalam menjayakan program tersebut. Pendapat beliau disokong oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Tarmizy bin Hasan, Naib Pengerusi Kelab Guru dan Staf Sokongan SMK Selayang Bahru. Selain acara persembahan daripada Kumpulan Giat Budaya SMK Selayang Bharu di bawah Pengurus Seni Persembahan, Puan Nor Hafidah binti Abdul Hanit, pelajar-pelajar dan guru-guru, pertandingan 'dart', bola tampar, congkak dan ping pong  turut diadakan. Encik Joshua Hooi Chee Shing turut diberi Anugerah 'Wedding Of The Year' dan menerima cenderamata sebagai Pengantin Terbaru SMK Selayang Bharu. Ini menimbulkan semangat baru untuk Encik Ramadan bin Jamaluddin dan Encik Mohd Zul Fahmi bin Abd Rashid untuk berebut gelaran 'Wedding Of The Year' pada tahun 2010. Tokoh Guru SMK Selayang Bharu, dirangkul oleh Puan Norlilah binti Ismail, Guru Penolong Kanan HEM. Guru-guru popular pada kedua-dua sesi turut diberi penghargaan. Encik Jasmin bin Jalil dan Puan Meriam Bi Binti Sulaiman mendominasi anugerah Guru Paling Popular Sesi Pagi manakala Encik Mohd Mirashab bin Mohamad Hussein dan Cik Siti Norazwane binti Abd Rahman mendapat undian tertinggi sebagai Guru Paling Popular Sesi Petang.  Guru-guru perempuan yang melahirkan anak turut diberi cenderamata. Guru-guru yang menyambut hari lahir bermula Januari hingga Mei turut diberi cenderamata. Penulis turut bertuah kerana pada hari yang sama, turut diraikan hari lahir yang ke 40 tahun. Persembahan daripada pelajar-pelajar begitu mengkagumkan hati dan perasaan guru-guru. Lagu dendangan secara berkumpulan pengawas-pengawas sekolah membuktikan keunggulan Puan Rabiah binti Jawa memimpin kumpulan tersebut ke peringkat antarabangsa. Penulis bersama Encik Mohd Mirashab bin Mohamad Hussein mendeklamasikan sajak luahan rasa Usman Awang 'Guru O Guru'.
Pada kesempatan ini, penulis mengucapkan Selamat Hari Guru 2010  kepada semua kawan-kawan penulis di Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah Gombak, Guru-Guru SMK Seri Gombak dan Guru-Guru di SMK Selayang Bharu.Dalam era globalisasi kini kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan tidak lagi berfungsi sekadar untuk mengisi keperluan lokal tetapi memenuhi tuntutan global.








Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...