Selasa, 13 September 2011

Urus masa pembelajaran dengan bijak di sebalik aktiviti luaran



TANDA SOKONGAN: Fatimah menyerahkan peruntukan bagi membantu membiayai penganjuran Kejohanan Futsal Terbuka Brunei kepada wakil jawatankuasa penganjur. Kelihatan sama, (dari kanan) Gregory dan Josie.


DALAT: Pelajar perlu bijak menguruskan masa untuk menelaah pelajaran di sebalik aktif dengan aktiviti kebudayaan dan sukan di luar waktu persekolahan.
Penglibatan pelajar dengan pelbagai aktiviti berfaedah di luar waktu persekolahan memang digalakkan, namun mereka tidak boleh mengabaikan pelajaran.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, pencapaian cemerlang dalam pelajaran merupakan penentu hala tuju seseorang pada masa hadapan.
“Negara memerlukan generasi muda yang cemerlang akademik, fizikal serta rohani untuk meneruskan pembangunan sekarang pada masa depan.
“Saya sangat menyokong penganjuran pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan melibatkan golongan belia terutama pelajar untuk mengisi masa luang mereka,” jelasnya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Futsal Terbuka Kampung Brunei di Stadium Perpaduan, di sini petang kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menzahirkan rasa gembira beliau dengan pelbagai prasarana sukan serta rekreasi yang ada di sini.
“Setakat ini terdapat sembilan arena futsal di sini. Gelanggang futsal yang dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan juga dibina di sini.
“Arena-arena futsal bernilai RM150,000 setiap satu yang kini boleh digunakan itu dibina di Kampung Kuala Hilir, Oya serta Medong. Satu lagi sedang dibina di Tanam,” tambahnya.
Kejohanan anjuran Biro Belia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Brunei itu disertai 32 skuad lelaki manakala 11 untuk kategori wanita.
Hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah wakil Pegawai Daerah Dalat, Josie Demei serta Penghulu Gregory Buji.
Sumber: The Borneo Post

Ahad, 11 September 2011

Sistem Baru Pendidikan Vokasional


Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan Pengetua London College of Fashion, Prof. Frances Corner di kolej berkenaan di London, semalam.


LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.
"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.
Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.
Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) tepilih berdasarkan beberapa tahap.
Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.
Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.
Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.
Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.
"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.
Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.
Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.
"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.
Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.
Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.
"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya. - utusan

PDRM boleh pikul semua tugas


Oleh:
MD RASUL BIN HARON


PENGUMUMAN lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai hari ini. Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam selepas mendapat kelulusan daripada perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemberian ini tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua anggota PDRM. Beberapa jam sebelum pengumuman tersebut, kerajaan menjelaskan bahawa tidak akan ada pelarasan gaji baru untuk kakitangan awam seperti yang tersiar di dalam blog Cuepacs. Reaksi serta merta dihamburkan di dalam ruangan komen artikel. Artikel yang mencetuskan kemarahan kakitangan awam yang lain telah di'delete' oleh admin blog Cupeacs.

1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan berasa kecil hati dengan perkembangan terbaru ini. Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara?  Diharapkan kerajaan  tidak lupa dengan kakitangan awam lain. 

Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada bulan Februari lalu. Dalam pengumuman tersebut, seramai 98, 747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat polis(ITKP) antara RM 1500 hingga RM 5000 berkuatkuasa 1 Januari 2009. 

Jelas sekali begitu tinggi pengiktirafan buat anggota PDRM oleh Perdana Menteri. Tidak mustahil, Perdana Menteri akan mengeluarkan Sasaran Kerja Tahunan(SKT) baharu untuk PDRM selain mengurangkan kadar jenayah di Malaysia, anggota PDRM mampu menjalankan tugas Doktor, Jurutera, Peguam, Arkitek, Pensyarah, Akauntan dan Guru. Anggota PDRM juga mampu untuk menjalankan tugas PTD dan operasi perkeranian di dalam Perkhidmtan dan Kewangan. Tugas PT, PAR dan PAP dan R boleh diambil alih oleh anggota PDRM.

PROSPEK beri lebih peluang naik pangkat: KPPA




2011/09/09

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang diukur panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.
Katanya, PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi. 

"Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini. 

Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. 

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. 
Abu Bakar berkata, sistem penilaian baru itu akan menilai tahap kompetensi mereka dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini. 

Katanya, antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan. 

Beliau berkata, kursus dan latihan itu adalah pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap. 

"Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi. 

"Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan. 

"Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas. 

"Justeru bagi mereka yang sudah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. 

"Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif. 

"Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya. 

Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota CUEPACS juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian. 

Katanya, JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang. - BERNAMA 

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...