Jumaat, 8 April 2022

Kesalahan Penggunaan Perkataan

 

Memartabatkan Bahasa Melayu

Bil.6/2022 BMKPM

Munsyi Md Rasul bin Haron

1.1       Pengenalan

Kesalahan penggunaan perkataan berpunca daripada kekurangan pemahaman mengenai makna, konteks penggunaan dan fungsi sesuatu perkataan. Kesalahan yang paling sering dilakukan ialah penggunaan kata sendi nama, kata ganti nama dan kata soal. Misalnya, penggunaan kata ganti nama orang pertama dan orang kedua mempunyai konteks sosial yang amat kuat. Kata soal pula sering digunakan dalam ayat penyata walaupun penggunaannya terhad untuk tujuan menyoal dan dalam situasi ketidakpastian.

1.2       Kata Sendi Nama

Kesalahan jenis ini adalah antara yang paling banyak dilakukan oleh pengguna bahasa. Puncanya adalah kerana kekurangan pengetahuan mengenai fungsi sesetengah kata sendi nama. Kesalahan tersebut ialah menggunakan kata sendi nama “di“, khususnya dalam frasa “di kalangan“ dan “di hari“; menggunakan kata sendi “ke“ dan “dari“ pada posisi hadapan frasa nama waktu, dan tidak dapat membezakan penggunaan kata sendi nama “dalam“ dengan frasa sendi nama “di dalam“ dan “antara“ dengan “di antara“.

1.2.1 “Di kalangan“ dan “Di hari“

Kata sendi ‘di’ mengisi dua posisi sahaja, iaitu di hadapan frasa nama tempat (1a-c) dan frasa nama arah (2a-c).

(1)

a. di pejabat

b. di Universiti Sains Malaysia

c. di Pulau Pinang

(2)

a. di atas

b. di hadapan

c. di sebelah

Penggunaan kata sendi “di“ selain daripada dua posisi ini dianggap tidak gramatis. Oleh itu, penggunaan “di“ di hadapan frasa nama bukan tempat dan arah, misalnya frasa nama abstrak (3a) dan masa (3b-d) adalah tidak gramatis.

(3)

a. *di kalangan

b. *di hari

c. *di zaman

d. *di era

“Kalangan“ dalam (3a) sama erti dengan “golongan“ atau “kumpulan“. Oleh itu, kata sendi yang boleh hadir di hadapannya ialah “dalam“. “Hari“ (3b), “zaman“ (3c) dan “era“ (3d) ialah frasa nama masa. Oleh itu, kata sendi yang boleh hadir di hadapannya ialah “pada“.

(3)

a. dalam kalangan

b. pada hari

c. pada zaman

d. pada era

Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperti (4a-d) yang berikut:

(4)

a. Dia yang terpintar dalam kalangan pelajar kelas ini.

b. Kelas bahasa Malaysia diadakan pada hari Rabu.

c. Pada zaman batu, manusia dipercayai hidup di dalam gua.

d. Kehidupan manusia pada era teknologi maklumat dan komunikasi ini sepatutnya lebih mudah.

1.2.2 “Di dalam“ dan “Dalam“

Frasa “di dalam“ ialah kombinasa kata sendi nama “di“ dan kata nama arah “dalam“. Frasa ini mengisi posisi hadapan frasa nama konkrit (5a-c). Secara bersendirian, “dalam“ boleh berfungsi sebagai kata sendi nama. Dalam fungsi ini, ia mengisi posisi hadapan frasa nama abstrak (6a-c).

(5)

a. di dalam kotak

b. di dalam kereta

c. di dalam rumah

(6)

a. dalam hal ini

b. dalam masalah ini

c. dalam situasi ini

Dalam (5a-c), “kotak“, “kereta“ dan “rumah“ ialah frasa nama konkrit. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “di“ dan arah “dalam“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, kata sendi “dalam“ tidak boleh digunakan secara bersendirian.

(5)

a. *dalam kotak

b. *dalam kereta


c. *dalam rumah

Dalam (6a-c) pula, “hal ini“, “masalah ini“ dan “situasi ini“ ialah frasa nama abstrak. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “dalam“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, penggunaan kata sendi “di“ adalah tidak gramatis.

(6)

a. *di dalam hal ini

b. *di dalam masalah ini

c. *di dalam situasi ini

Khamis, 7 April 2022

Perbezaan antara `baru’ dengan `baharu’

 


Memartabatkan Bahasa Melayu Bil.5/2022

 

BMKPM

 

Munsyi Md Rasul bin Haron

 

 

'Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud just, manakala 'baharu' pula membawa maksud new . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i.     Mereka baru sahaja berkenalan

ii.    Dia baru tiba dari Pulau Pinang

iii.   Mesyuarat itu baru sahaja selesai

 

Manakala 'baharu' (new) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi Hadiah Sastera Remaja. Manakala kata 'baharu' boleh menerima awalan teR- menjadi 'terbaharu', awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui'.

 

Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang 'baharu' juga dipendekkan menjadi 'baru' dalam pengunaan harian. Bagaimanapun, hal ini tidak digalakkan.

 

Pengunaan kata 'pun'....

 

Memartabatkan Bahasa Melayu Bil.4/2022
 
BMKPM
 

Munsyi Md Rasul bin Haron

 

 

"Menurut para menteri ekonomi ASEAN, langkah-langkah konkrit telahpun diambil oleh beberapa pihak..."

 

Perhatikan penggunaan telahpun.  Perkataan tersebut hendaklah ditulis terpisah menjadi 'telah pun'.

 

Penggunaan 'pun' yang ditulis bergabung dengan perkataan sebelumnya merupakan golongan kata pangkal ayat, kata hubung, dan sebagainya.  

 

Terdapat sejumlah perkataan yang berbentuk demikian seperti 'adapun', 'ataupun', 'andaipun', 'bagaimanapun', 'biarpun', 'kendatipun', 'kalaupun', 'lagipun', 'mahupun', 'meskipun', 'sekalipun', 'sungguhpun', dan 'walaupun'.

 

Penggunaan 'pun' yang ditulis terpisah pula membawa maksud 'juga', 'bahkan', serta 'biar' dan membentuk perkataan yang tergolong dalam kata penegas, atau disebut partikel.  Perkataan-perkataan lain ialah 'sudah pun', 'apa pun', 'apa-apa pun', 'dia pun', 'mereka pun' dan sebagainya.

 

Perhatikan dua ayat berikut :

 

1)  Adapun istana raja itu terletak di puncak Bukit Seguntang.
2)  Kedua-dua adik-beradik kembar itu ada pun di majlis itu.  

 

'Pun' dalam ayat (1) merupakan kata pangkal ayat dan 'pun' dalam ayat (2) ditulis terpisah kerana bermaksud 'juga'.

 

Tatabahasa-penggunaan Imbuhan Me...kan dan Me...i


 Memartabatkan Bahasa Melayu Bil.3/2022

BMKPM

Munsyi Md Rasul bin Haron

Secara umumnya, kita masih kurang cekap menggunakan imbuhan me…kan dan me…i dalam ayat. Perhatikan penggunaannya.

 

Rumus:
me-…-kan  ( mesti diikuti oleh   Objek Bergerak)
me-….-i      ( mesti diikuti oleh  Objek Tidak Bergerak)

1.    Huraian:
Apitan men-…-kan dan men-…-i yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya diikuti oleh objek bergerak dan objek tidak bergerak. Dalam situasi ini, apitan men-…kan diikuti oleh objek bergerak, manakala apitan men-…-i diikuti oleh objek yang tidak bergerak.

 

2.     Contoh:
1. Dia menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu.(Kain batik ialah objek   

    bergerak)


2. Dia menghadiahi ibu sehelai kain batik. (Ibu ialah objek tidak bergerak)


Latihan :
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]

(1) Nenek membekalkan Najwa pisang goreng. [  ]
(2) Nenek membekali pisang goreng kepada Najwa.[  ]
(3) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman mati. [  ]
(4) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah itu. [  ]
(5) Guru menghadiahkan Salima sebuah buku rujukan. [  ]
(6) Guru menghadiahi sebuah buku rujukan kepada Salima. [  ]
(7) Cikgu Zamilah mengajarkan kami mata pelajaran Matematik. [  ]
(8) Cikgu Zamilah mengajar mata pelajaran Matematik kepada kami. [  ]
(9) Saya memberi anak-anak yatim wang sebanyak RM5.00. [  ]
(10) Saya memberikan wang kepada anak-anak yatim sebanyak RM 5.00. [  ]

(Dipetik daripada Md Rasul bin Haron dan Faridah Mohamad Saad, 2010, Buku Teks & Rujukan Lengkap Bahasa Malayu, Arah Pendidikan Sdn.Bhd.: Petaling Jaya)

 Pasangan apitan me---kan dan awalan me- ….


Rumus:
Me---kan           -->      (mesti diikuti oleh Objek Bernyawa)
Me-…                -->      (mesti diikuti oleh Objek Tidak Bernyawa)


Huraian:
Apitan me----kan dan awalan me- yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek sahaja kebanyakannya diikuti oleh objek bernyawa dan objek tidak bernyawa.

Dalam situasi ini, apitan men-…-kan diikuti oleh objek bernyawa dan awalan me- .. diikuti oleh objek tidak bernyawa.

Contoh:
Ibu menjahitkan adik sehelai baju kurung. (Adik ialah objek yang bernyawa).
Ibu menjahit sehelai baju kurung untuk adik. (Baju kurung ialah objek yang tidak  

 bernyawa)

Latihan:
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]
(1) Kakak membuatkan secawan kopi untuk ayah. [  ]
(2) Kakak membuat ayah secawan kopi. [  ]
(3) Ibu memasakkan ayah sup kambing. [  ]
(4) Ibu memasak sup kambing untuk ayat. [  ]
(5) Pelayan itu mengambilkan saya makanan. [  ]
(6) Pelayan itu mengambil makanan untuk saya. [  ]
(7) Reza menuliskan sepucuk surat untuk neneknya.  [ ]
(8) Reza menulis neneknya sepucuk surat. [  ]
(9) Mereka akan membelikan kami cenderamata. [  ]
(10) Mereka akan membeli cenderamata untuk kami. [  ]

(Dipetik daripada Md Rasul bin Haron, 2007, Buku Pentaksiran Kendiri Topikal  Bahasa Malayu Menengah, Pearson- Longman Sdn.Bhd.: Petaling Jaya)

 

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...