Oleh:
MD RASUL BIN HARON
mrasulharon@yahoo.com
Dipetik daripada Buku Pelan Pengajaran Hak Asasi Manusia Untuk Sekolah-Sekolah Asia Tenggara, halaman 96.
Santi berbadan kecil bagi kanak-kanak berusia 10 tahun. Dia kelihatan tidak begitu sihat dan selekeh. Kulitnya melepuh dan berpenyakit. Katanya bapanya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Ibunya menyara tujuh orang adik beradiknya sendirian dan mendapat rezeki dengan menjual rokok di pasar. Kini kakak-kakaknya telah bekerja di wilayah lain. Santi tidak dapat mengenal pasti asal-usulnya kerana dia masih terlalu kecil semasa meninggalkan rumah.
Kata Santi dia datang ke bandaraya dengan seorang 'nenek', orang yang kelihatannya tidak ada tali persaudaraan langsung dengannnya. Menurutnya, seorang lelaki berkereta mengambil mereka di kampung dan membawa mereka terus ke bandar.
'Neneknya' memaksa Santi meminta sedekah dari subuh hingga tengah malam. Dia telah dibawa ke merata tempat untuk meminta sedekah oleh mereka yang tidak dikenalinya. Dia terpaksa mendapat jumlah wang yang tertentu setiap hari, jika tidak dia akan dipukul oleh 'neneknya'. Kata Santi, 'neneknya' menghabiskan semua wang tersebut dengan berjudi.
"Saya benci padanya kerana dia selalu memukul saya. Kadang-kadang saya cuba menyembunyikan duit syiling dalam baju saya, tapi dia menjumpainya dan mendera saya dengan teruk. Saya mahu lari daripadanya tapi saya tak tahu ke mana hendak pergi. Saya nak balik ke rumah untuk tinggal dengan keluarga saya, tapi saya tak tahu bagaimana," kata Santi.
Santi pernah ditangkap bersama-sama 'neneknya' dan ditahan di balai polis selama sepuluh hari. Mereka dihantar pulang ke kampung mereka. Namun, tidak lama kemudian 'neneknya' membawanya balik ke bandar dan perkara yang sama berulang.
Situasi Santi
1. Dipaksa meminta sedekah
2. Didera secara fizikal
3. Keadaan fizikal yang teruk
4. Terdedah kepada matahari sepanjang masa
5. Tidak pergi ke sekolah
Keperluan Asas yang Tidak Diperoleh oleh Santi
1. Peluang untuk bermain atau menghabiskan masa dengan cara berguna atau kreatif
2. Keselamatan fizikal
3. Pemakanan, sokongan perubatan yang cukup
4. Perlindungan daripada unsur berbahaya seperti pancaran matahari atau gas ekzos kenderaan
5. Pendidikan
Kesimpulannya, hakikat kemiskinan bagi kanak-kanak yang bekerja untuk manfaat keluarga atau dirinya tidak dapat dielakkan. Kanak-kanak tidak sepatutnya dieksploitasikan untuk maksud ekonomi. Bantuan mereka dalam aktiviti ekonomi keluarga mungkin diperlukan tetapi bukanlah sehingga meletakkan mereka dalam situasi yang membahayakan mereka. Kanak-kanak mempunyai hak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan fizikal dan riadah atau bermain. Penulis menggesa sokongan ibu bapa, penjaga sah, institusi, kerajaan mahupun masyarakat antarabangsa dalam menyelesaikan isu yang sukar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan