Oleh:
MD RASUL BIN HARON
Harga barangan dan perkhidmatan di negara kita terus meningkat. Sebagai rakyat kita merasakan bahawa kerajaan tidak mempedulikan langsung tentang kesusahan rakyat. Kita selalu mendengar janji manis Menteri yang kerajaan akan mengambil tindakan tegas untuk mengawal harga barang. Sedar atau tidak, kerajaan gagal menyelami perasaan rakyat. Bawa RM 50.00 ke pasar malam pun tidak cukup. Harga makanan naik. Kuih-muih pun dah jadi barangan mewah. Rakyat tidak harus dipersalahkan dalam isu kenaikan harga barang. Janganlah nasihat rakyat untuk menghentikan pembelian panik. Siapa yang menyebabkan rakyat panik?
Sepatutnya isu harga barang naik menjadi keutamaan perdebatan di Parlimen. Bukan isu basi mempertahankan itu dan ini demi menonjolkan diri. Rakyat memerlukan pembela bukan pemaharajalela yang cakap panjang berjela. Tidak terfikirkah oleh mereka yang dipilih oleh rakyat ini bahawa, gaji atau pendapatan yang diterima kini sudah ketinggalan zaman. Tidak adakah kajian tindakan yang dibuat oleh mereka yang dipilih oleh rakyat ini bahawa pendapatan yang diterima kini tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup? Rakyat amat terasa beban perbelanjaan ini. Belalah nasib rakyat bukan mempermainkan perasaan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan