MD RASUL BIN HARON
Dunia kini dilanda pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja. Buang anak. Buli anak orang. Mencuri. Bertumbuk. Berdansa liar. Mabuk todi. Merempit. Macam-macam lagi. Ibu dan bapa kepada remaja yang terbabit memiliki tabie untuk menyalahkan guru. Kata, "Cikgu tak tau ajar". Persoalannya, adakah guru di sekolah mengajar anak-anak remaja itu cara menunggang motosikal dengan teknik meniarap? Di mana keupayaan ibu bapa yang pandai bercakap ini untuk mengawal tingkah laku anak-anak mereka? Sekiranya ditangkap oleh polis, dicercanya polis. Sekiranya anak cedera parah kemalangan, dihamunnya pemandu kereta yang dilanggar oleh anak. Sekiranya doktor yang merawat anaknya gagal memulihkan cedera yang telah parah, disalahkan pula doktor yang merawat. Sekiranya tidak mendapat tuntutan insurans akibat kemalangan, dikatakan syarikat insurans tidak bertanggung jawab. Ibu bapa ini tidak pernah menyalahkan diri sendiri yang galak membenarkan anak menunggang motosikal. Malah dengan bangga mencanangkan pada rakan taulan yang dia telah membeli motosikal untuk anaknya.
Kadang-kadang remaja yang mendapat pembelaan istimewa daripada ibu bapa yang sangat istimewa ini telah diracuni mindanya. Mereka tidak segan silu bercakap kasar dengan guru. Mereka bangga melihat titisan air mata guru wanita mereka. Bukan apa, di rumah sudah menjadi kebiasaan untuk mereka menitiskan air mata ibu mereka. Bapa yang pandai bercakap pula tunduk membisu takut diherdik dan ditengking anak kesayangan yang akan mewarisinya perwatakan. Generasi sebegini akan berterusan. Salah di sana, salah di situ. Orang lain semuanya salah. Hiduplah mereka ini dalam acuan sendiri. Bangga sendiri. Gembira sendiri. Semuanya sendiri.
Sama-samalah kita renungkan diri. Anak adalah anugerah Allah SWT. Kita sebagai ibu bapa bertanggung jawab mencorakkannya. Kita kagum dengan ibu bapa yang berjaya melahirkan remaja yang terbilang. Disayangi rakan dan taulan serta guru-guru. Ibu bapa ini tidak pernah salahkan guru dan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan