Rabu, 8 Jun 2011

Kerjasama penyelidikan Malaysia-Laos

Oleh Nik Sukry Ramli

BERITA HARIAN ONLINE

2011/06/08

KEDUTAAN Malaysia di Vientiane, Laos menjadi pemudah cara untuk meningkatkan kerjasama membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia, Datuk Than Tai Hing, berkata terdapat banyak ruang boleh diteroka bagi meningkatkan nilai tambah pelajar.
“Laos adalah negara yang sedang pesat membangun dan banyak peluang pelaburan baru boleh diceburi, terutama sektor industri dan infrastruktur.
Dalam bidang pengajian tinggi pula, kami melihat ada ruang untuk pelajar Malaysia dan Laos menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti biodiesel.

“Ini boleh menjadi pemangkin hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan peserta Ekspedisi Biodiesel Singapura-Thailand-Laos di Kedutaan Besar Malaysia di Laos, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan Laos sedang menjalankan kegiatan penanaman kelapa sawit pada skala besar bagi menampung keperluan semasa penduduknya dan penanaman itu bakal menjadi pencetus kepada kajian lebih mendalam dalam penghasilan biodiesel sebagai bahan bakar alternatif dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kebergantungan Laos terhadap bahan bakar tradisi seperti petrol yang diimport sepenuhnya mengakibatkan harga bahan api itu mencecah RM5 (LAK13,283).
“Usaha pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan ekspedisi ini diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan biodiesel dan tanggungjawab menjaga alam sekitar.

“Dengan nilai bahan api yang tinggi di Laos, saya percaya penggunaan biodiesel mampu mengurangkan bebanan rakyatnya di samping menjadi penghubung terbaik kerjasama antara IPT dalam aspek R&D,” katanya.

Peserta ekspedisi yang terdiri daripada pelajar UTM; Universitas Tanjungpura, Indonesia dan Prince of Songkhla University, Thailand sempat beramah mesra dengan kakitangan kedutaan dan rakyat Malaysia yang melabur di Laos sambil dihidangkan masakan tradisional Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...