Ahad, 14 Ogos 2011

Sambutan Hari Malaysia janjikan keunikan





Acara di Dataran Perbarisan DUN, Tebingan Kuching sesuatu yang baru: Abang Johari
KUCHING: Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semalam memberi jaminan sambutan Hari Malaysia, 16 September tahun ini bakal menampilkan gimik persembahan yang unik dan istimewa.
Beliau yang enggan mendedahkan gimik persembahan dengan lanjut bagaimanapun berkata apa yang pasti acara berkenaan berkaitan dengan sungai.
Jelasnya acara yang diadakan pada sebelah malam 16 September itu diadakan di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri baru dan sebahagian daripada Tebingan Kuching (di Square Tower).
“Ia merupakan salah satu acara formal dengan persembahan unik di Sungai Sarawak dan merupakan sebahagian daripada promosi pelancongan kita.
“Kita menjanjikan ia satu persembahan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan melibatkan pelbagai gimik menarik dan unik,” katanya pada sidang media yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Ngusie dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang.
Beliau menjelaskan gimik persembahan yang diadakan mungkin mengambil masa 20 hingga 30 minit sebelum acara kemuncak.
Menurut Abang Johari, acara pada malam berkenaan akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai tetamu.
Malahan kata beliau, persembahan yang diadakan juga merupakan sebahagian daripada acara Regata Sarawak yang diadakan pada 15 hingga 17 September 2011.
“Kita berharap rakyat seluruh negeri datang beramai-ramai menyaksikan acara yang amat penting ini begitu juga sektor swasta dan awam agar bersama-sama meriahkan acara dengan mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera negeri sebagai tanda kesetiaan kepada negara,” tegasnya.
Tahun ini genap 48 tahun terbentuknya negara Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Semenanjung Malaysia pada 16 September 1963.
Justeru itu, kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia bagi menerapkan dan meningkatkan semangat serta nilai perpaduang di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...