Rabu, 28 September 2011

Empat elemen jadikan penggabungan Semenanjung, Sabah, Sarawak begitu unik






PENGGABUNGAN Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di bawah nama Malaysia bukan sekadar memberi impak dalam pembentukan sebuah negara baru, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak faedah kepada rakyat yang kini mampu hidup dalam kepelbagaian budaya dan masyarakat penuh keunikan.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, berkata ada empat elemen utama yang dilihat menjadikan pembentukan Malaysia begitu istimewa iaitu berlakunya pinjam-meminjam budaya yang membolehkan masyarakat berkongsi keunikan budaya daripada pelbagai etnik lain.
“Paling unik dalam penggabungan ini ialah kemampuan masyarakat di negara ini menerima budaya dan cara hidup kumpulan etnik lain yang sekali gus membolehkan sebarang kemelut dan masalah sesama kaum mampu diselesaikan dalam rundingan.
Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan. - Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM
“Paling tidak pun, sekadar bertikam lidah, menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi tidak sampai berparang dan berperang.

“Konsep penerimaan ini bukan senang diperoleh semua negara, apatah lagi dalam Malaysia yang mempunyai puluhan etnik berbeza agama dan bahasa. Lebih unik lagi ialah berlakunya asimilasi yang jelas dapat dilihat di Sabah dan Sarawak. 

“Di sana, tidak ada masalah dalam satu keluarga ada orang Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup sebumbung dan bebas mengamalkan kepercayaan beragama masing-masing.

“Keunikan itu mustahil dapat kita lihat jika bukan kerana pembentukan Malaysia”. 
Keempat ialah berlakunya percantuman etnik. Kahwin campur sesama etnik lain mewujudkan pelbagai keturunan yang lebih unik menjadikan negara ini begitu istimewa. 

Hubungan sosial yang amat kuat ini berlaku sejak Malaysia ditubuhkan dan inilah tiang seri yang merungkaikan keutuhan negara ini.

“Di Sabah dan Sarawak banyak berlaku asimilasi, manakala di Semenanjung pula berlaku banyak penerimaan. 

“Orang Melayu, menerima cara hidup orang India dan Cina, begitu jugalah sebaliknya. Kepelbagaian masyarakat ini sebenarnya sudah ada sebelum merdeka, tetapi dengan pembentukan Malaysia, ia lebih dipelbagaikan,” katanya.

Beliau juga mengajak masyarakat menyorot kebanyakan peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia yang semuanya berlaku secara aman menerusi perbincangan. Cara penggabungan atas dasar perundingan menjadi dasar perbezaan dan kepelbagaian dalam negara ditangani secara aman.

Kepelbagaian sosial dalam negara ini yang berlaku secara aman membolehkan apa saja pertentangan dan perbalahan diselesaikan di meja rundingan. 

Bagi Shamsul, suara yang lantang mempertikaikan itu ini perlu diteruskan kerana itulah kekuatan Malaysia, tidak menyimpan dalam hati yang mungkin boleh buruk akibatnya jika meletus satu hari nanti.

“Bertikam lidah adalah perkara biasa. Yang penting tidak berlaku keganasan. Melepaskan perasaan dan menyuarakan pendapat mewakili etnik masing-masing juga adalah perkara biasa yang menunjukkan sebenarnya rakyat kita cukup matang, tidak mahukan keganasan apatah lagi kita pernah berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969.

“Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja.

“Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan,” katanya. 

Selasa, 27 September 2011

Literasi penting untuk pembangunan





KUALA LUMPUR — Bagi meningkatkan literasi, seseorang perlu turut meningkatkan kemahiran membaca, kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar.
Beliau berkata, literasi adalah penting bagi membasmi kemiskinan, mengurangkan kadar kematian kanak-kanak semasa dilahirkan dan memastikan pembangunan mapan.
"Asas pendidikan yang baik melengkapkan masyarakat dengan kemahiran literasi untuk terus memperolehi peluang pembelajaran dan mampu menghadapi pembangunan,” katanya semasa melancarkan Hari Literasi 2011 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Beliau berkata, menurut Institut Statistik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2009, kadar literasi di negara ini ialah 91.9 peratus.
Raslin juga berkata sikap suka membaca di kalangan rakyat di negara ini didapati semakin meningkat.
Dari kajian yang dilakukan PNM tahun lepas, rakyat Malaysia membaca antara lapan hingga 12 buah buku setahun, katanya. — Bernama

Isnin, 26 September 2011

Seni ekspresif tangani gejala disiplin


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my


Remaja terutamanya para pelajar merupakan golongan yang paling sukar untuk diberi nasihat berbeza dengan kanak-kanak atau orang dewasa kerana kelompok ini masih berada dalam satu tahap perkembangan.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Rusnani Abd Kadir berkata, golongan remaja ini mampu dinasihati melalui kaedah tertentu yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
"Di peringkat usia dari 12 hingg 21 tahun, remaja kebiasaannya gemar berada dan melakukan sesuatu perkara secara berkumpulan.
"Mereka belajar secara berkumpulan di sekolah, bersukan dan bermain dalam kumpulan serta menghabiskan masa terluang melakukan aktiviti-aktiviti lain juga secara berkumpulan.
"Oleh yang demikian, golongan ini lebih mudah untuk didekati dan dinasihati dengan pendekatan seni ekspresif seperti terapi berkelompok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Pembangunan Profesional Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan di UPM Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Rusnani, terapi kelompok adalah salah satu pilihan ideal kerana ia merupakan pendekatan yang selamat dan biasa digunakan.
"Pendekatan secara berkumpulan ini menyediakan ruang yang selamat untuk remaja belajar dan berlatih tentang sosial atau kemahiran diri seperti bekerjasama, mengikut giliran dan pengurusan rasa marah," jelasnya.
Katanya lagi, dalam mewujudkan sesebuah kumpulan remaja, ahli terapi perlu menimbangkan keperluan, keupayaan dan diagnosis potensi seseorang ahli.
"Kumpulan yang diwujudkan berdasarkan sesuatu isu lebih cepat mendapat kefahaman sesama mereka berbanding kumpulan yang diwujudkan berdasarkan umur," ujarnya.
Rusnani menjelaskan, tidak seperti orang dewasa, remaja memerlukan lebih banyak cara inovatif dalam menyuarakan perasaan selain menggunakan pendekatan terapi pertuturan.
"Kumpulan terapi seni ekspresif ialah satu cara yang sempurna bagi membolehkan golongan remaja berkomunikasi tentang idea-idea dan perasaan sukar melalui pelbagai medium artistik.
"Terapi seni membantu golongan ini menyelesaikan masalah, meningkatkan harga diri, membina kemahiran sosial dan pengurusan tingkah laku," terang beliau.
Rusnani memberitahu, kumpulan-kumpulan terapi seni memerlukan lebih persediaan daripada kumpulan terapi perbualan.
Hal ini kerana, katanya, ketua kumpulan bertanggungjawab untuk merancang topik sesi, mendapatkan bahan-bahan perlu dan menstrukturkan sesi supaya ahli-ahli boleh menyiapkan kerja seni mereka serta mempunyai masa untuk perbincangan.
"Sesi terapi seni ekspresif biasanya diadakan selama satu setengah hingga dua jam dan 12 hingga 30 minit pertama merupakan gerakan memanaskan badan.
"Manakala 20 hingga 45 minit pula ditumpukan kepada kegiatan seni dan diakhiri dengan perbincangan lanjutan," jelasnya.
Pada penghujung setiap sesi, ujarnya, ahli-ahli boleh berkongsi ciptaan mereka, membincangkan perasaan tentang kegiatan itu dan memperbaiki kekurangan jika perlu sebelum mereka kembali ke dunia sebenar.

Ahad, 25 September 2011

KAKITANGAN AWAM DIRAMAL NAIK GAJI LAGI


Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
2011/09/24


Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.

BAJET 2012: NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM


Malaysia Insider
Oleh Jahabar Sadiq
Editor
September 22, 2011






KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.
The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.
Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.
Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.
“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepadaThe Malaysian Insider.
Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.
Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.
Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.
Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.
“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hidup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.
Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

Malaysia juga boleh ditimpa serpihan dari langit




KUALA LUMPUR – Insiden satelit milik Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bumi akibat tarikan graviti tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena serpihan objek seumpama itu yang jatuh dari langit.
Ketua Makmal Satelit, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Renuganth Varatharajoo (gambar) berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh merupakan lokasi yang berpotensi menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar.
“Walaupun objek yang jatuh itu bersaiz 10 sentimeter panjang, kelajuannya tetap memberi impak sangat kuat,” kata beliau lagi.
Beliau mengulas insiden Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) yang jatuh ke bumi awal pagi semalam dengan dipercayai bertaburan di Lautan Pasifik.
Satelit itu dilancarkan ke orbit pada tahun 1991 untuk kajian lapisan ozon sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2005.
Menurut Renuganth, satelit seperti UARS akan meluncur selaju 28,000 kilometer sejam sebaik sahaja memasuki atmosfera bumi sebelum terbakar dan berkecai.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bajet 2012 rangsang ekonomi



Oleh HAMDEN RAMLI dan ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my



NAJIB Tun Razak bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) bersalaman dengan masyarakat Orang Asli pada pelancaran Program Jalinan Murni Masyarakat Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Kampung Bawong, Sungai Siput, semalam.



KAMPAR 24 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini mesti memberi keyakinan dalam merangsangkan kegiatan ekonomi dalaman dan mampu membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut Perdana Menteri, dalam persekitaran ekonomi global yang lemah dan tidak menentu, negara perlu bersandar kepada permintaan dalaman.
''Jadi Bajet 2012 mesti merangsang pelaburan, mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus berbelanja secara berhemah supaya ekonomi dalaman terus berpaksi pada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan atau permintaan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang sempena program turun padang ke negeri ini di sini hari ini.
Najib berkata, selain itu, Bajet 2012 juga akan melihat pendekatan bagi membantu dan melindungi rakyat daripada kesan-kesan negatif kelembapan ekonomi walaupun penurunan itu bersifat global.
''Kita menyedari ancaman itu dan dalam soal kebajikan rakyat, perlu dicari pendekatan yang sewajarnya," kata beliau.
Ditanya sama ada Bajet 2012 akan menyentuh mengenai bonus kakitangan awam, Najib berkata, apa-apa maklumat yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan.
''Prinsip kita, kalau mampu, kita buat. Kalau kita tidak mampu, kita tidak buat," katanya.

FAHAMI POLA POLITIK ORANG MUDA





Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia merupakan 43 peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia. Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 belia yang berusia 21 tahun ke atas telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan. Ini menjadi golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.
Imam al-Ghazali pernah menyatakan: "Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang". Secara tidak langsung kelompok belia bukan sahaja boleh menjadi rakan pembangunan negara tetapi juga sebaliknya.
Orang muda tentunya membawa pola dan tingkahlaku politik yang berbeza. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu saluran orang muda dikatakan penyebab tsunami politik di lima negeri. Walaupun trend tersebut dikatakan berubah dalam siri-siri pilihan raya kecil kebelakangan ini namun dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, tingkahlaku politik orang muda berbeza mengikut geopolitik kawasan.
Terdapat dua aspek utama yang membentuk pola politik pengundi muda. Pertama tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial. Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun sebelum mereka mengundi. Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.S
Sehubungan itu pendidikan telah mengasah ketajaman daya fikir mereka. Kebanjiran maklumat menerusi Internet dan televisyen menyebabkan mereka mudah membuat perbandingan apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan golongan muda. Keterbukaan dan pendedahan kepada maklumat sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.

Pengaruh media sosial seperti blog, Facebook dan twitter juga telah mempengaruhi persepsi golongan muda. Media sosial biar pun tidak bersemuka namun atas sifatnya yang segera, kos murah, tanpa tapisan dan kepayahan pendakwaan undang-undang menyebabkan maklumat masuk ke gajet elektronik bertali arus dan akhirnya berupaya membina pengaruh. Siapa yang lebih kerap menghantar maklumat akan lebih berpeluang untuk mempengaruhi golongan ini.
Sesuatu perkara jika diasak berkali-kali akan diyakini benar. Realitinya apakah keperluan kehidupan anak muda? Jika diamati isu golongan ini berkait rapat dengan '4P' - Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan.
Bermula dengan pendidikan mereka akan mencari inisiatif melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum. Selepas memiliki pendidikan yang sempurna terfikir pula mengenai peluang pekerjaan untuk mereka. Dengan memiliki pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan memiliki status sosial.Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita daripada RM21,000 kepada RM45,000 tentunya perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan. Atas alasan itu, apa jua dasar, polisi dan pelan pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan mestilah dirasai oleh anak muda dari Perlis sampailah ke Sabah.
Ini kerana pandangan anak muda tentang politik adalah lebih terbuka. Ia diadun antara politik keperluan dan idealisme. Pada mereka isu '4P' yang berkaitan dengan kelangsungan hidup perlu diambil berat oleh pihak kerajaan. Mereka juga mahu urus tadbir negara dilakukan dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebab itu, dasar semata-mata tidak menjamin sokongan mereka kepada kerajaan. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, ia tidak cukup dengan sekadar inisiatif.
Apa yang lebih penting adalah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar. Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan mengurus isu berkaitan anak muda melalui pelbagai dasar, polisi dan inisiatif. Bagaimanapun, yang paling penting anak-anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.

JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN PUTRAJAYA - SEPTEMBER 2011



JAWATAN:
- ARKITEK
- JURUTERA
- PEGAWAI UNDANG-UNDANG
- PEGAWAI PERTANIAN
- PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT
- AHLI MUZIK
- PEREKA
- PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT
- PEMBANTU KESIHATAN AWAM
- JURUTEKNIK (AWAM)
- PEREKA GRED
- PEMBANTU PERTANIAN
- PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN
- PEKERJA RENDAH AWAM 

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://static.jobsmalaysia.gov.my/html/jcs-resources/iklan_ppj.pdf

CARA MEMOHON
http://static.jobsmalaysia.gov.my/html/jcs-resources/caramohon_ppj.pdf

Tarikh Tutup : 3 Oktober 2011

Sabtu, 24 September 2011

Rumah tempat pelajar ponteng, ‘dating’ ranap





MIRI: Dua buah rumah kosong di Lutong yang dikatakan pernah menjadi tempat persembunyian pelajar-pelajar untuk ponteng sekolah dan ‘berdating’ ranap dijilat api pagi semalam.
Rumah kayu itu yang merupakan bekas kuarters kakitangan kerajaan dilaporkan terbakar sekitar jam 10.30 pagi.
Ia terletak berdekatan dengan bangunan pejabat Petronas dan Balai Polis Lutong, 15  minit perjalanan dari pusat bandar raya Miri.
Menurut cerita beberapa penduduk, lebih 10 tahun lalu, deretan kediaman berkenaan merupakan pusat lepak popular untuk pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah-sekolah berdekatan.
“Dulu memang rumah-rumah kosong itu pernah menjadi tempat lepak pelajar-pelajar yang mahu ponteng sekolah.
“Setelah kegiatan mereka diketahui pihak sekolah,  mereka tidak lagi mengunjungi rumah berkenaan,” cerita salah seorang penduduk (tidak mahu namanya disiarkan).
Selain tempat untuk ponteng ia turut dijadikan sebagai tempat pertemuan untuk pelajar yang berpasangan untuk berkasih-kasihan.
Dua rumah itu merupakan antara lebih 10 rumah yang ada antaranya telah dirobohkan sementara yang lain dibiarkan kosong.
Kejadian semalam ternyata mengejutkan penduduk dan pengunjung pasar Lutong, pelajar serta kakitangan Petronas yang terlihat asap tebal dari api yang marak.
Dua jentera pemadam membawa bersama 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
Ketua Balai Bomba Lopeng Mohd Ayob Hassan memberitahu, api yang marak berjaya dipadamkan dalam  tempoh beberapa minit sahaja.
Tindakan pantas bomba juga berjaya mengelakkan api daripada terus marak dan membakar kediaman kosong lain.
“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa tiada kecederaan dilaporkan berlaku dari kejadian berkenaan.
“Setelah kegiatan mereka diketahui pihak sekolah,  mereka tidak lagi mengunjungi rumah berkenaan,” cerita salah seorang penduduk.
Selain tempat untuk ponteng ia turut dijadikan sebagai tempat pertemuan untuk pelajar yang berpasangan untuk berkasih-kasihan.
Dua rumah itu merupakan antara lebih 10 rumah yang ada antaranya telah dirobohkan sementara yang lain dibiarkan kosong.
Kejadian semalam ternyata mengejutkan penduduk dan pengunjung pasar Lutong, pelajar serta kakitangan Petronas yang terlihat asap tebal dari api yang marak.
Dua jentera pemadam membawa bersama 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Jangan politik penyelarasan gaji




by Saibi Gi. Posted on September 24, 2011, Saturday (UTUSAN BORNEO)

Penyelarasan bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam

KUCHING: Jika kerajaan melaksanakan penyelarasan gaji sektor awam dalam Bajet 2012 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober ia tidak wajar dikaitkan dengan politik.
Sebaliknya Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak Ahmad Malie berkata, ia merupakan bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan serta masalah dihadapi para penjawat awam.
“Sekiranya perkara ini diumumkan kelak, CUEPACS Sarawak berpendapat, tindakan tersebut bukanlah tindakan popular kerajaan yang akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Dalam keadaan sekarang ini (kenaikan kos sara hidup) ditambah lagi penyelarasan gaji sudah lama tidak disemak, CUEPACS Sarawak melihat kewajaran perkara ini diumumkan oleh PM (Najib) merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan bajet nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai spekulasi dan dakwaan kerajaan akan menaikkan gaji sektor awam bagi membantu meraih sokongan di kalangan mereka yang terbabit dalam menghadapi PRU kelak.
Ahmad berkata lagi, kenaikan gaji juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi.
“Jika kerajaan mengumumkan penyelarasan gaji dalam pembentangan Bajet 2012 nanti ia memperlihatkan kerajaan telah mengambil tindakan yang bijak, sesuai dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya.
Menurutnya, walaupun perkara ini masih menjadi rahsia kerajaan, namun CUEPACS Sarawak mengharapkan ia menjadi kenyataan.
Ini kerana para penjawat awam menunggu penuh harapan pembentangan Bajet 2012.
Sementara itu, CUEPACS Sarawak turut berharap bajet itu nanti akan mengambil kira keadaan rakyat yang tidak berpendapatan tetap.
“CUEPACS Sarawak tidak mahu melihat golongan ini akan terbeban ekoran sekiranya kerajaan bersedia untuk mengumumkan penyelarasan kenaikan gaji dalam Bajet 2012,” katanya.

Selasa, 13 September 2011

Urus masa pembelajaran dengan bijak di sebalik aktiviti luaran



TANDA SOKONGAN: Fatimah menyerahkan peruntukan bagi membantu membiayai penganjuran Kejohanan Futsal Terbuka Brunei kepada wakil jawatankuasa penganjur. Kelihatan sama, (dari kanan) Gregory dan Josie.


DALAT: Pelajar perlu bijak menguruskan masa untuk menelaah pelajaran di sebalik aktif dengan aktiviti kebudayaan dan sukan di luar waktu persekolahan.
Penglibatan pelajar dengan pelbagai aktiviti berfaedah di luar waktu persekolahan memang digalakkan, namun mereka tidak boleh mengabaikan pelajaran.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, pencapaian cemerlang dalam pelajaran merupakan penentu hala tuju seseorang pada masa hadapan.
“Negara memerlukan generasi muda yang cemerlang akademik, fizikal serta rohani untuk meneruskan pembangunan sekarang pada masa depan.
“Saya sangat menyokong penganjuran pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan melibatkan golongan belia terutama pelajar untuk mengisi masa luang mereka,” jelasnya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Futsal Terbuka Kampung Brunei di Stadium Perpaduan, di sini petang kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menzahirkan rasa gembira beliau dengan pelbagai prasarana sukan serta rekreasi yang ada di sini.
“Setakat ini terdapat sembilan arena futsal di sini. Gelanggang futsal yang dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan juga dibina di sini.
“Arena-arena futsal bernilai RM150,000 setiap satu yang kini boleh digunakan itu dibina di Kampung Kuala Hilir, Oya serta Medong. Satu lagi sedang dibina di Tanam,” tambahnya.
Kejohanan anjuran Biro Belia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Brunei itu disertai 32 skuad lelaki manakala 11 untuk kategori wanita.
Hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah wakil Pegawai Daerah Dalat, Josie Demei serta Penghulu Gregory Buji.
Sumber: The Borneo Post

Ahad, 11 September 2011

Sistem Baru Pendidikan Vokasional


Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan Pengetua London College of Fashion, Prof. Frances Corner di kolej berkenaan di London, semalam.


LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.
"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.
Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.
Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) tepilih berdasarkan beberapa tahap.
Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.
Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.
Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.
Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.
"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.
Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.
Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.
"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.
Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.
Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.
"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya. - utusan

PDRM boleh pikul semua tugas


Oleh:
MD RASUL BIN HARON


PENGUMUMAN lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai hari ini. Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam selepas mendapat kelulusan daripada perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemberian ini tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua anggota PDRM. Beberapa jam sebelum pengumuman tersebut, kerajaan menjelaskan bahawa tidak akan ada pelarasan gaji baru untuk kakitangan awam seperti yang tersiar di dalam blog Cuepacs. Reaksi serta merta dihamburkan di dalam ruangan komen artikel. Artikel yang mencetuskan kemarahan kakitangan awam yang lain telah di'delete' oleh admin blog Cupeacs.

1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan berasa kecil hati dengan perkembangan terbaru ini. Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara?  Diharapkan kerajaan  tidak lupa dengan kakitangan awam lain. 

Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada bulan Februari lalu. Dalam pengumuman tersebut, seramai 98, 747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat polis(ITKP) antara RM 1500 hingga RM 5000 berkuatkuasa 1 Januari 2009. 

Jelas sekali begitu tinggi pengiktirafan buat anggota PDRM oleh Perdana Menteri. Tidak mustahil, Perdana Menteri akan mengeluarkan Sasaran Kerja Tahunan(SKT) baharu untuk PDRM selain mengurangkan kadar jenayah di Malaysia, anggota PDRM mampu menjalankan tugas Doktor, Jurutera, Peguam, Arkitek, Pensyarah, Akauntan dan Guru. Anggota PDRM juga mampu untuk menjalankan tugas PTD dan operasi perkeranian di dalam Perkhidmtan dan Kewangan. Tugas PT, PAR dan PAP dan R boleh diambil alih oleh anggota PDRM.

PROSPEK beri lebih peluang naik pangkat: KPPA




2011/09/09

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang diukur panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.
Katanya, PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi. 

"Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini. 

Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. 

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. 
Abu Bakar berkata, sistem penilaian baru itu akan menilai tahap kompetensi mereka dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini. 

Katanya, antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan. 

Beliau berkata, kursus dan latihan itu adalah pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap. 

"Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi. 

"Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan. 

"Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas. 

"Justeru bagi mereka yang sudah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. 

"Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif. 

"Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya. 

Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota CUEPACS juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian. 

Katanya, JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang. - BERNAMA 

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...