Rabu, 9 November 2011

Semuanya kerana laman sosial



Sumber:
Utusan Borneo

by Henrietta Liza dan Jessica Jawing. Posted on November 9, 2011, Wednesday



MANA MAK?: Adrian (kiri) dan Ralph merenung gambar-gambar ibu mereka, Beatrice bersama Pauline semalam.
KUCHING: Beatrice mengenali warga Nigeria melalui Facebook sebelum menjadi ‘keldai dadah’. Bapa mangsa ‘keldai dadah,’ Beatrice Laus menyalah-kan laman sosial yang mempertemukan anaknya dengan warga asing yang telah memperguna-kannya sehingga ditahan di Melbourne, Australia.

Laus Johie, 49, ketika ditemui di kediamannya di sini semalam berkata, beliau percaya anaknya telah berkawan dengan seorang lelaki warganegara Nigeria yang hanya dikenali sebagai ‘Anthony’ melalui Facebook sebelum bersetuju untuk menjadi penghantar beg yang disyaki mengandungi dadah dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Ahad lepas.
“Ketika anak saya keluar dari rumah untuk kerja syif tengah hari, 3 November lalu dia turun kerja seperti biasa dan tidak berpesan apa-apa pun kepada saya,” kata ibunya, Pauline Durid.
Pauline menambah, anak saudaranya yang bernama Madeline, 24, yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur pernah beberapa kali menghubunginya dan mengadu tentang Beatrice berkawan dengan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, katanya, belum pun beliau sempat berbuat apa-apa, beliau dimaklumkan bahawa Beatrice sudah ditahan di Australia.
“Waktu itu jam 3.45 tengah hari, saya dan bapanya ke rumah kakak di Kampung Mundai atas urusan keluarga, bila menerima panggilan daripada Duta Australia (Konsul Besar Malaysia di Melbourne) saya terus kelu tidak terkata, kecewa rasanya,” katanya.
Menurut Pauline lagi, Beatrice, 27, merupakan seorang anak yang bijak dan bekerja sebagai pembantu wad di sebuah hospital perubatan swasta di sini.
Katanya, Beatrice dipercayai mengenali ‘Anthony’ yang berada di Kuala Lumpur melalui Facebook.
Beatrice mempunyai tiga orang anak iaitu Ralph, 8, Constance, 6, dan Adrian, 2. Adrian dan Ralph dijaga sepenuhnya oleh ibu bapa-nya di Kampung Seratau, manakala Constance tinggal bersama bekas mentuanya.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata golongan wanita perlu menaruh ‘ele-men waswas’ terhadap kenalan yang mereka baharu kenali bagi mengelakkan diri menjadi ‘keldai dadah.’
Ia terutamanya kenalan baharu yang hanya dikenali dalam masa tempoh terdekat sama ada melalui Internet, laman sosial atau sebagainya, ujarnya.
Menurutnya, antara situasi yang sering berlaku dalam kes ‘keldai dadah’ ialah mangsa sepatutnya membuat perjalanan bersama di kenalan terbabit, tetapi tiba-tiba berlaku sebaliknya.
“Jadi, perkara sebegini seharusnya menjadi kesangsian kepada kita. Sentiasa berikan ruang dalam diri kita elemen meragukan atau ikut naluri hati kerana penghujungnya ia akan menyelamatkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Wilayah Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini, semalam.
Beliau menegaskan jika perkara sebegini disyaki berlaku ia harus dielakkan dengan tidak memilih untuk meneruskan perjalanan atau membawa apa sahaja barang yang diberikan.
“Pada penghujungnya nanti anda akan menanggung semuanya, tidak kira kawan atau tidak kerana apa yang berlaku anda yang ditangkap kerana membawa barangan berkenaan,” jelasnya.
Fatimah turut menasihatkan golongan wanita supaya tidak mudah tergoda dengan tawaran lumayan baik dari segi jumlah atau apa sahaja bentuk.
Kata beliau, ia merupakan sesuatu yang ganjil jika ada individu menjanjikan sesuatu yang kadang kala memerlukan usaha gigih untuk mendapatkannya.
Sehubungan itu, kata Fatimah, ia seharusnya menjadi iktibar kerana sudah banyak kali kes sedemikian berlaku, yang turut melibatkan individu berpelajaran tinggi.
“Sekali lagi saya ingin menasihatkan khasnya wanita, simpan rasa ragu-ragu atau sangsi terhadap mereka yang anda baru kenali,” kata Fatimah.
Bernama semalam dipetik sebagai berkata seorang wanita Malaysia berasal dari Kuching dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne semalam kerana dituduh cuba menyeludup masuk 1.5 kilogram heroin menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada Ahad lepas.
Beatrice Laus, 27, seorang jururawat, diperintah ditahan sehingga sebutan semula kes pada 9 Jan tahun depan. Johie diberkas selepas pegawai-pegawai kastam menemui serbuk disyaki heroin dalam lapisan beg yang dibawanya dalam penerbangan dari Kuala Lumpur.
Konsul Besar Malaysia di Melbourne, Dr Mohd Rameez Yahaya, memberitahu Bernama bahawa beliau telah menghubungi Johie dan diberitahu oleh wanita itu bahawa dia tidak tahu menahu mengenai dadah yang terdapat dalam begnya itu.
Katanya, Beatrice mendakwa kononnya dadah itu milik seorang kenalan yang sepatutnya mengiringi beliau tetapi menarik diri di saat-saat akhir dengan alasan dia menghadapi masalah visa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...