Jumaat, 9 Disember 2011

Buaya tasik Taman Bulatan Miri akhirnya tumpas


Sumber
Utusan Borneo
Posted on December 8, 2011, Thursday



BERJAYA DITANGKAP: Buaya yang di-tangkap semalam sebelum dihantar ke Taman Buaya Miri

MIRI: Buaya yang berada di tasik buatan Taman Bulatan Miri berjaya ditangkap pagi semalam setelah usaha untuk menangkap reptilia berkenaan tidak berhasil sebelum ini.
Dengan tertangkapnya buaya berkenaan, ia sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk Miri dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang bimbang dengan kehadiran buaya tersebut yang dilihat muncul di tasik terbabit beberapa bulan lalu.
Buaya tersebut ditangkap pada kira-kira jam 9.30 pagi semalam selepas seorang pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang mengawasi tasik berkenaan memeriksa umpan yang diletak-kan di situ.
Selain SFC, usaha menangkap reptilia tersebut turut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Pengurus Besar SFC, Wilfred Landong ketika dihubungi semalam berkata, buaya terbabit dihantar ke Taman Buaya Miri di Kuala Baram dekat sini.
“Kita percaya bahawa buaya tersebut telah memakan umpan yang diletakkan di tasik berkenaan pada malam semalam (kelmarin). Reptilia tersebut terkail di umpan sekitar jam 9.30 pagi dan dikesan oleh pegawai kita yang sentiasa mengawasi tasik,” katanya.
Menurut Wilfred, buaya terbabit dipercayai berusia tiga tahun dengan panjang 1.3 meter, dan dipercayai buaya liar yang tersesat.
“Buaya berkenaan mungkin dari mana-mana sungai berdekatan yang tidak jauh dari Taman Bulatan Miri. Setakat ini, kita hanya mendapat laporan mengatakan bahawa hanya ada seekor buaya di tasik itu,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik Taman Buaya Miri Chai Kuen Ming berkata, beliau menerima serahan buaya di taman terbabit oleh pihak SFC sekitar jam 11.30 pagi semalam.
“Reptilia tersebut merupakan spesies buaya porosus atau buaya air masin yang biasanya ditemui di sungai Batu Niah, Bekenu, Bakong, Sibuti dan Sri Aman di negeri ini,” katanya ketika ditemui semalam sambil menambah, buaya berkenaan juga jenis pemakan manusia.
Katanya lagi, buaya tersebut akan ditempatkan di Taman Buaya Miri disebabkan ia merupakan bahan bualan orang ramai selepas kelibatnya dilihat beberapa bulan lalu.
“Saya percaya ramai yang ingin melihat buaya itu nanti,” katanya.
Datuk Bandar Miri Lawrence Lai pula mengalu-alukan orang awam untuk menamakan buaya tersebut setelah reptilia itu menjadi perhatian masyarakat setempat.
“Saya berasa lega dan gembira kerana akhirnya buaya yang menjadi bualan dan kerisauan penduduk Miri sebelum ini berjaya ditangkap. Kehadiran buaya itu telah membimbangkan keselamatan orang awam memandangkan Taman Bulatan Miri adalah tempat untuk berekreasi dan aktiviti sukan,” tambahnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...