12/1/12 - Washington – Dua daripada empat anggota tentera Marin Amerika Syarikat (AS) yang membuang air kecil ke atas mayat beberapa pejuang Taliban telah dikenal pasti. Menurut Kor Marin, pihak itu telah memulakan siasatan jenayah dan dalaman berhubung kejadian yang disifatkan sebagai satu penghinaan.
Walaupun pihak berkuasa tidak mendedahkan unit di mana anggota Marin berkenaan bertugas, namun terdapat laporan yang menyatakan mereka adalah dari kem tentera Lejeune, Utara Carolina. Media AS sebelum ini melaporkan anggota tentera terbabit berasal dari Unit Batalion ke-3 dan Rejimen Marin ke-2.Unit tersebut pernah dihantar ke negara bergolak sebagai petugas keamanan di Iraq, Afghanistan dan Teluk Guantanamo.
Ia juga pernah ditugaskan ke Afghanistan pada awal 2011 dan kembali semula ke AS pada bulan September dan Oktober tahun lalu.Video berkenaan boleh disaksikan melalui Youtube dan dalam rakaman berkenaan, empat lelaki berpakaian seragam tempur celoreng dilihat membuang air kecil ke atas mayat tiga pejuang Taliban, dengan salah seorang mangsa berlumuran darah.Seorang daripada mereka secara bergurau berkata, ‘selamat jalan, kawan’, manakala seorang lagi membuat jenaka lucah mengenai mandi di bawah pancuran.
Sementara itu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam perbuatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.Dalam kenyataannya, beliau menggesa mereka yang terlibat dalam perbuatan jijik itu dihukum sebagai pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan perbuatan sama.Senada dengan Hamid adalah Menteri Pertahanan Afghanistan yang menyifatkan pendedahan rakaman berkenaan sebagai mengejutkan.
Manakala Tentera Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) pula berkata, perbuatan itu tidak menepati standard yang diharapkan daripada tentera pengaman yang bertugas di Afghanistan.
Sumber: Persatuan Pengguna Muslim Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan