Ahad, 15 Januari 2012

Wakil guru minta dilibatkan dalam perbincangan SBPA




SHAH ALAM: Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara meminta agar dilibatkan secara menyeluruh dalam perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Pengerusinya Jemale Paiman berkata, skim itu banyak memberi kesan kepada guru terutama dalam kenaikan gaji dan laluan kerjaya.
Skim itu juga dilihat turut meminggirkan guru senior dalam perjawatan dan  tidak mementingkan faktor pengalaman dan kemahiran dalam bidang tugas serta tanggungjawab mereka, katanya.
Beliau berkata demikian kepada penmberita selepas menghadiri taklimat  mesyuarat mengenai SBPA bagi perkhidmatan pendidikan bersama presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri pemimpin dari 26 kesatuan dan persatuan guru Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu MPKPG turut menyerahkan memorandum kepada Omar berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan SBPA bagi perkhidmatan pendidikan.
“Kami melihat pelaksanaan SBPA tidak ambil kira kenaikan gaji antara 7-13 peratus untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi, dan tidak merapatkan jurang pendapatan antara kumpulan tinggi dan rendah dalam perkhidmatan awam seperti yang terdapat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum ini,”  katanya,
Jemale turut meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan satu perjumpaan khas dengan semua persatuan guru bagi berbincang mengenai penambahbaikan pelaksanaan SBPA.
Beliau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada KSN pada 21 Dis tahun lepas untuk memaklumkan hasrat mereka, tetapi sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pihak KSN.
Sementara itu, Omar berkata, pihaknya menerima baik inisiatif MPKPG merangkumkan permasalahan di peringkat perguruan untuk dibawa dalam perbincangan semakan semula SBPA.
Beliau berkata, segala cadangan berhubung penambahbaikan skim itu perlu dibuat secara persetujuan bersama dan bukan melalui individu agar keputusan muktamad tidak dipertikaikan. — Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...