Penting bagi kita sebelum melangkah lebih jauh, untuk merujuk kembali kepada apa yang telah dipelajari semasa kursus rumahtangga dahulu iaitu perancangan kewangan. Apa yang dinamakan sebagai priority, needs & wants atau keperluan dan kehendak. Kita perlu menyusun semua perbelanjaan dan menetapkan gaya hidup yang bersesuaian dengan pendapatan kita sekeluarga.
Sebagai langkah pertama, baik sekiranya kita dapat mencatit semula ke mana wang-wang gaji dihabiskan. Dengan mengambil langkah pro aktif bagi menganggarkan perbelanjaan suami dan isteri untuk mengesan pengaliran wang. Sebaiknya langkah ini dilakukan bukan bagi mencari kesalahan di antara kedua pihak tetapi lebih kepada mencari jalan keluar agar suami dan isteri lebih jimat merancang perbelanjaan.
10 peratus daripada gaji mesti disimpan setiap bulan. Sebagai manusia yang lemah kita perlu menentang nafsu menunjuk-nunjuk kepada sesama manusia. Orang lain pakai pakaian yang mahal berjenama, kita pun terangsang ingin milikinya. Orang lain berkereta mewah, kita pun sanggup mendapatkannya. Sedangkan hampir 3/4 gaji kita digunakan untuk memenuhi nafsu untuk memiliki jentera yang bergerak dari A ke B. Simpanan pendidikan untuk anak-anak adalah mandatori. Simpanan 'emergency' sekiranya berlaku kemerosotan kesihatan dalam kalangan keluarga juga adalah mandatori.
Adakah berbaloi seorang suami atau bapa melaram kereta berharga RM 100.000 tetapi masih belum memiliki rumah sendiri? Adakah kita menjadi bapa yang bertanggung jawab apabila anak memerlukan wang untuk pendidikan, kita jawab tidak mempunyai wang sedangkan di tangan kanan menjawab pertanyaan anak dengan memegang gajet berharga ribuan ringgit. Tidak salah untuk kita bergaya dan berjenama, asalkan kita berusaha mencari dan menambah pendapatan.
Jangan kita bergantung kepada kad kredit kerana ia tetap dipanggil hutang. Jangan kita memaniskan mulut meminjam daripada kawan. Keseronokan mendapat wang sebegitu hanya lah sementara. Tidak ada usaha. Ia bukan lagi gaya tetapi bala. Ia berpunca daripada sikap kita yang suka menonjolkan kehebatan diri. Sepatutnya semangat suka menunjuk-nunjuk ini digunakan secara positif, lanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Guna pelabagai kaedah pembelajaran, online, PJJ, Executive Mode dan bermacam-macam lagi. Dengan peningkatan akademik, kerjaya dapat ditingkatkan dan pendapatan turut meningkat. Kita jangan asyik menyalahkan takdir tentang ketidakcukupan pendapatan. Kalau tidak berminat cara sebegitu, cari pendapatan kedua. Direct selling, agen insurans dan macam-macam lagi kerja yang dapat menyuntik pendapatan.
Kita mempunyai pilihan di dalam hidup kita. Rumah sendiri atau kereta? Pendidikan anak-anak atau untuk kehebatan diri? Terus dibebani masalah kewangan atau ingin keluar daripadanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan