Di sana sini, masyarakat kita lebih teruja membicarakan tentang pembangunan fizikal. Tidak jemu-jemu bercakap tentang kemajuan sains dan teknologi, kestabilan ekonomi dan suasana politik tanah air malah melangkaui sempadan negara dan benua.
Kesusasteraan tidak lagi menjadi kebesaran, malah kian mengecil. Ada yang berpendapat kesusasteraan tidak lagi relevan dengan kehidupan kini. Akibat penghijrahan ini, khalayak sastera kian mengecil, mengkhusus, dan elitis. Hal ini terjelma daripada beberapa isyarat atau petanda, penulisan dan penerbitan karya sastera tidak lagi menjadi aktiviti yang menghasilkan pulangan ekonomi yang menggalakkan.
Sepi dan sunyinya dunia sastera kini bukan bermakna sudah mati atau lupus bakat sastera dalam kalangan masyarakat hari ini dan akan datang. Kesenyapan ini timbul disebabkan mutu hasil karya dan promosi yang masih perlu dipertingkatkan.
Masyarakat hari ini memerlukan karya sastera hidup, baharu, dan segar yang dihasilkan bukan sahaja oleh sasterawan ternama, tetapi juga oleh penulis baharu. Sudah sampai masanya, kedua-dua kelompok ini duduk semeja merangka Pelan Induk Pembangunan Kesusasteraan Malaysia 2020-2050 (PIPKM 2020-2050).
Bagi menanamkan minat generasi muda dalam bidang sastera, maka karya sastera perlu diperkenalkan lebih awal kepada pelbagai peringkat pendidikan, iaitu sejak dari prasekolah hingga peringkat universiti tanpa mengira aliran, sama ada sastera atau sains.
Selain itu, karya sastera perlu menjadi satu mata pelajaran yang wajib agar dapat dibaca oleh pelbagai kaum, bukan hanya untuk orang Melayu. Mata pelajaran Sastera perlu dijadikan sebagai satu mata pelajaran utama, bukan setakat sisipan mata pelajaran Bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan