Memartabatkan Bahasa Melayu
Bil.7/2022 BMKPM
Munsyi Md Rasul bin Haron
Perkataan ialah dan adalah
merupakan dua perkataan yang amat lumrah digunakan dalam penulisan hari ini.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan agak sukar untuk menemukan tulisan yang
tidak menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Kedua-dua perkataan ini dikatakan
telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Melayu belakangan ini. Hal ini akan
menjadi jelas jika diteliti buku klasik Melayu Sejarah Melayu kerana
dalamnya kita tidak akan bersua dengan perkataan ialah ataupun adalah.
Demikian juga dalam Hikayat Hang Tuah, tidak ada penggunaan kedua-dua
perkataan ini. Menurut Asmah Hj Omar (1994), perkataan ialah terbentuk
daripada perkataan ia dan lah manakala adalah pula masuk
ke dalam bahasa Melayu dari bahasa Indonesia. Perkataan ini digunakan sebagai
padanan bagi kopula yang wujud dalam bahasa Belanda.
Walaupun perkataan-perkataan ini sudah begitu lazim
di kalangan pengguna bahasa Melayu, namun terdapat kekhilafan di kalangan
pengguna dalam hal penggunaannya yang betul dan mengikut aturan nahu Melayu.
Menurut Tatabahasa Dewan (1994), kedua-dua perkataan ini termasuk kelompok kata
prafrasa atau perkataan-perkatan yang diletakkan di awal atau di depan frasa.
Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu
sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif (Nik Safiah Karim et al.
1994:245). Dan, kedua-dua perkataan adalah dan ialah merupakan
jenis kata pemeri. Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau
perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat (Nik Safiah
Karim et al. 1994:250).
Walaupun kedua-dua kata pemeri boleh digunakan
untuk memerihal dan merangkaikan subjek dengan frasa, namun ada aturan untuk
menggunakannya. Penggunaannya bukanlah secara sewenang-wenangnya. Sebenarnya,
ada dua cara pemerihalan itu dapat dilakukan, iaitu secara persamaan atau
secara huraian.
Untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif,
kata pemeri ialah digunakan. Perhatikan beberapa contoh penggunaan jenis
ini di bawah:
- Yang berbeza ialah bentuk dan sifatnya.
- Bukti jelas ialah kita masih mempunyai program membantu
rakyat yang termiskin.
- Lokasi yang sering diberi tumpuan ialah kawasan perumahan,
pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai.
Dalam ayat-ayat di atas, kata pemeri ialah
diletakkan di hadapan frasa nama bentuk dan sifatnya, kita, dan kawasan
perumahan, pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai. Kesemua frasa ini
ialah frasa nama; oleh hal itu, perlulah disusuli kata pemeri ialah.
Sekarang kita perhatikan pula beberapa penggunaan
kata pemeri adalah di bawah ini. Perkataan adalah digunakan untuk
memerihalkan secara huraian atau kualitatif. Perhatikan beberapa contoh
penggunaan di bawah:
- Rumah yang dijual adalah terlalu kecil.
- Tujuan projek itu adalah untuk mendapatkan sumber kewangan
bagi persatuan itu.
Seperti yang diperhatikan dalam ayat-ayat di atas,
kata pemeri adalah diletakkan di hadapan frasa adjektif seperti terlalu
kecil dan frasa sendi nama untuk mendapatkan sumber sumber kewangan.
Dengan yang demikian, yang menjadi jelas kepada kita bahawa kata pemeri ialah
hadir di hadapan frasa nama sahaja, manakala kata pemeri adalah hadir di
hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Hal ini juga bermakna adalah
tidak boleh hadir di hadapan frasa nama dan frasa kerja, dan demikian juga ialah
tidak boleh diletakkan di hadapan frasa kerja atau frasa adjektif ataupun di
hadapan frasa sendi nama. Walaupun sudah ada aturan penggunaan sedemikian,
namun kita sering bersua juga dengan ayat-ayat yang menggunakannya dengan
salah, dan adakalanya digunakan secara tukar ganti, iaitu secara
sewenang-wenangnya, seolah-olah kedua-dua kata pemeri itu bersifat sinomim.
Sekarang marilah kita perhatikan beberapa contoh
penggunaan kata pemeri yang tidak betul dan pembetulannya di bawah: Mula-mula
kita lihat kekhilafan penggunaan kata pemeri ialah.
- *Tujuan projek ialah untuk mendapatkan wang sebanyak RM4
juta. (Sepatutnya: Tujuan projek adalah untuk mendapatkan wang sebanyak
RM4 juta).
- *Objektif DPKL membina rumah kos rendah antaranya ialah
untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah.
(Sepatutnya: Objektif DPKL membina rumah kos rendah antaranya adalah
untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah).
Kini, kita perhatikan pula penggunaan kata pemeri adalah
yang tidak tepat dalam contoh-contoh yang berikut:
- *Peningkatan kos ini adalah akibat kenaikan harga bahan
binaan. (Sepatutnya: Peningkatan kos ini ialah akibat kenaikan
harga bahan binaan).
- *Pelajar adalah aset penting negara dan bakal pemimpin pada
masa hadapan. (Sepatutnya: Pelajar ialah aset penting negara dan
bakal pemimpin pada masa hadapan).
- *Kebanyakannya adalah pertubuhan dan badan-badan bukan
kerajaan yang gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat. (Sepatutnya:
Kebanyakannya ialah pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang
gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat).
- *Cadangan untuk mewujudkan program kerahan tenaga adalah
suatu langkah yang positif. (Sepatutnya: Cadangan untuk mewujudkan program
kerahan tenaga ialah suatu langkah yang positif).
Yang jelas daripada contoh-contoh yang dipaparkan
di atas, masih terdapat kekhilafan di kalangan pengguna bahasa Melayu dalam hal
menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Yang menjadi menarik di sini ialah
sebahagian besar contoh dalam makalah ini dipetik daripada salah sebuah majalah
popular, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka! Seperti yang kita ketahui,
bahasa yang baik ialah yang tertakluk kepada aturan dalam bahasa tersebut. Jika
pengguaannya mengikut kelaziman, kesewenangan, dan ketidakaturan, sudah tentunya
akan menjadi kucar-kacir bahasa tersebut.
Daripada huraian di atas, jelas juga kepada kita
bahawa adalah dan ialah tidak boleh diletakkan sebelum frasa
kerja. Amalan meletakkan kata pemeri di hadapan frasa kerja memang menyalahi
nahu Melayu. Oleh itu, kita perlu mengelakkan membina ayat-ayat seperti yang
berikut:
- *Hampir kesemua filem Barat adalah berorientasikan komersil
(Sepatutnya: Hampir kesemua filem Barat berorientasikan komersil).
- *Perjuangan sebelum merdeka ialah menuntut kemerdekaan dalam
segala bidang, iaitu ekonomi, politik, dan sosial. (Sepatutnya: Perjuangan
selepas kemerdekaan adalah untuk menuntut kemerdekaan ekonomi,
politik, dan sosial).
- *Sebelum merdeka perjuangan masyarakat jelas ialah menuntut
kemerdekaan dalam semua bidang. (Sepatutnya:Sebelum merdeka perjuangan
masyarakat jelas adalah menuntut kemerdekaan dalam semua bidang).
- *Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di Malaysia
ialah menyediakan perumahan yang murah untuk keperluan rakyat.
(Sepatutnya: Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di
Malaysia adalah untuk menyediakan perumahan yang murah untuk
keperluan rakyat).
- *Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua
hari sempena Hari Raya Puasa. (Sepatutnya: Dengan ini dimaklumkan
bahawa sekolah akan tutup selama dua hari … atau Pelajar-pelajar
dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari…).
- *Kejayaan wanita dalam pendidikan mereka adalah disebabkan
oleh kesedaran mereka sendiri. (Sepatutnya: Kejayaan wanita dalam pendidikan
mereka disebabkan oleh kesedaran mereka sendiri).
Dalam hal penggunaan kata pemeri, terdapat suatu
lagi amalan yang tidak betul. Amalan itu ialah penggunaannya yang bersifat
kelewahan. Dengan erti kata yang lain, penggunaannya tidak diperlukan, tetapi
digunakan dalam penulisan. Kita perhatikan contoh penggunaan seumpama itu di
bawah:
1. *Dia ialah guru. (Sepatutnya:
Dia guru).
- *Masalah itu adalah merupakan masalah besar. Sepatutnya:
Masalah itu merupakan masalah besar).
- *Tindakan yang berterusan gejala maksiat. (Sepatutnya: Tindakan
yang berterusan perlu bagi menutup semua gejala maksiat).adalah
perlu bagi menutup semua
- *Persembahan penyanyi itu adalah sungguh hebat.
(Sepatutunya: Persembahan penyanyi itu sungguh hebat).
Seperti yang dipaparkan dalam contoh-contoh di
atas, penggunaan adalah dan ialah tidak diperlu atau tidak wajib
digunakan dalam ayat-ayat di atas. Dalam ayat 21, misalnya, sudah memadailah
jika ayat tersebut dibina dengan dua frasa, iaitu ‘persembahan penyanyi itu’ +
‘sungguh hebat’ kerana ayat ini dibina berdasarkan pola FN + FA. Ayat ini tidak
perlu kata pemeri adalah untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif dalam
frasa tersebut. Dalam ayat ini, persembahan penyanyi itu ialah frasa
nama, manakala frasa adjektifnya adalah sungguh hebat. Dalam hal ini,
pernah pelajar-pelajar saya berhujah bahawa meninggalkan kopula ialah
dan adalah dalam ayat mencacatkannya, dan ada juga yang rasa janggal
jika ayat tidak ada kopula. Nyata pandangan mereka itu tidak tepat kerana dalam
bahasa tidak tertakluk kepada rasa janggal atau kepada rasa sedap atau tidak
sedap. Rasa janggal dan tidak sedap itu timbul kerana pelajar-pelajar tidak
biasa dengan 4 pola ayat dalam bahasa Melayu.
Mungkin gejala tersebut terjadi kerana pengaruh
bahasa Inggeris. Oleh sebab wujud kata gerund seperti am, is, are,
was, dan were dalam semua ayat bahasa Inggeris, maka pengguna
bahasa Melayu pula mencuba memadankan kata-kata itu dengan kata pemeri adalah
dan ialah. Sebenarnya, amalan memadankan gerund dengan adalah
atau ialah dalam bahasa Melayu tidaklah tepat. Kata pemeri dalam
bahasa Melayu digunakan untuk memenuhi fungsi-fungsi yang tertentu seperti yang
dinyatakan pada awal makalah ini. Tidak wajar untuk memasukkan unsur yang tidak
menjadi milik bahasa Melayu ke dalamnya.
Mudah-mudahan makalah ini sedikit sebanyak dapat
membantu para pengguna bahasa Melayu menjadi lebih peka kepada aturan
menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Dalam hal ini, penggunaannya berdasarkan
aturan dan bukannya secara sewenang-wenangnya perlu ditegaskan oleh para
pendidik kita kepada pelajar-pelajar terutamanya supaya kekhilafan ini dapat
diperbetul. Marilah kita bersama-sama memantapkan bahasa Melayu, bahasa
kebangsaan kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan