Ahad, 23 Oktober 2011

Kenaikan gaji guru setimpal beban tugas: NUTP






KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam terutama guru pada pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan baru-baru ini adalah selaras dengan bebanan kerja dihadapi warga pendidik kini. 
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.
“Memang pengumuman Bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali ini menyaksikan kenaikan gaji kakitangan awam yang mana guru mendapat sedikit kelebihan, namun, bagi saya ia bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab guru kini.
“Jika kita lihat negara maju, Jepun, Sweden dan Korea, gaji warga pendidik mereka adalah tinggi. Begitu juga dengan negara jiran kita Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Pengumuman bajet itu menyaksikan golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). 
Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA. 
Sementara itu, Hashim turut menggesa pihak pentadbiran sekolah agar tidak menyekat warga pendidik berusia 47 tahun ke bawah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. 
Kementerian Pelajaran katanya, sudah mengeluarkan pekeliling September lalu dengan membuka peluang kepada warga pendidik lepas diploma untuk menyambung pengajian. 

PTPTN sepatutnya bantu, bukan bebankan pelajar


Harakahdaily.net
Mohamad Iqbal Ab Wahab   


Isu pendidikan harus menjadi prioriti utama oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai daya intelek yang mampu menterjemahkan aplikasi pengetahuan dalam bentuk yang praktikal bagi mewujudkan sebuah kebudayaan yang beretika serta peningkatan dan pengembangan dalam aspek pembangunan fizikal.
Namun, bagi melaburkan modal insan sebagai pelaburan mutlak dalam masyarakat, peruntukan dana melalui subsidi pendidikan mahupun pinjaman merupakan salah satu usaha yang realistik bagi mencapai tujuan pendidikan.
Antara isu yang berkaitan dengan pinjaman dalam pendidikan adalah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Asasnya, PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 berobjektifkan untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.
Berdasarkan kepada asas yang diutarakan, seharusnya usaha murni kerajaan bagi menyediakan pinjaman kepada para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi harus disambut baik, namun, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dinilai secara terperinci dalam usaha untuk menjadikan institusi ini benar-benar bersifat membantu, bukan membebankan.
Antara isu yang diutarakan berkenaan dengan PTPTN adalah isu pemberhentian pinjaman kepada pelajar yang tidak melepasi gred 2.0. Suatu perkara yang harus diperhatikan adalah para pelajar yang tidak mencapai gred yang sepatutnya, apabila pinjaman mereka diberhentikan, kesan yang akan diterima adalah, pemberhentian daripada melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan atau menerima tekanan untuk mencari dana sendiri sekiranya ingin terus melanjutkan pelajaran.
Secara dasarnya, peluang harus diberikan kepada pelajar ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui penyaluran pinjaman PTPTN. Perkara ini seharusnya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.
Begitu juga, seorang pelajar yang diisytihar muflis, secara automatik, pembiayaan yang diterima akan diberhentikan secara serta merta.
Logiknya, seorang pelajar meminjam kerana tidak berkemampuan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka dari peringkat mentaliti bawah kepada mentaliti yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kemahiran melalui pelajaran. Pelaburan dalam pendidikan inilah yang menjadi modal yang mahal untuk pelaburan masa hadapan.
Namun, apabila pelajar yang diisytiharkan muflis diberhentikan terus pinjaman, maka, potensi yang dimiliki oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk dikembangkan.
Isu ini seharusnya dibezakan dengan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan kepada peminjam muflis, atau peluang kedua kepada golongan yang telah disenaraihitamkan daripada institusi kewangan.
Penggunaan dana untuk pendidikan lebih bersifat membantu pelajar tersebut melaburkan dirinya sebagai modal, manakala pinjaman daripada institusi kewangan kepada peminjam muflis yang bertujuan untuk perbelanjaan kemewahan adalah bersifat pembaziran dan memerlukan kawalan kewangan.
Selain itu, isu pembayaran balik pinjaman PTPTN juga seringkali dibincang dan diperdebatkan. Telah dinyatakan bahawa tempoh mula bayaran balik pinjaman adalah bermula enam bulan selepas tamat pengajian atau pembiayaan pendidikan.
Dalam hal ini, sekiranya dilihat dari sudut tempoh masa, seharusnya para peminjam perlu membayar semula pinjaman tersebut bermula sahaja enam bulan selepas berakhirnya pembiayaan mahupun tamat pengajian sama ada telah ataupun belum mendapatkan pengajian.
Namun, ada kondisi yang lebih lunak kepada peminjam yang belum mendapatkan pekerjaan, maksimum penangguhan yang diberikan adalah selama 24 bulan dari tarikh mula bayar balik pembiayaan pendidikan. Walaupun penangguhan diberikan, kadar cas 1% yang bersifat tahunan akan terus dikenakan menyebabkan peminjam perlu membayar lebih daripada kadar yang sepatutnya.
Pokoknya, hutang mesti dibayar.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab untuk setiap peminjam mencari jalan keluar bagi menjelaskan hutang tersebut dengan mencari pekerjaan. Namun, perlu diperhatikan juga, dalam mencari pekerjaan, mereka terpaksa bersaing dengan golongan yang tidak melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi serta graduan yang masih lagi mencari pekerjaan. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran yang tidak dapat dielakkan yang diterjemahkan melalui graf, anggaran kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 3%.
Kesannya, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mahupun menganggur akan terus menanggung hutang PTPTN selain cas tahunan yang dikenakan serta perbelanjaan kehidupan seharian. Akibatnya juga, tidak hairan sekiranya, ramai yang menjadi papa dalam usia yang muda.
Di samping tanggungjawab membayar hutang itu dilaksanakan, platform untuk mencari kewangan harus disediakan dari pihak kerajaan. Pengumuman pakej rangsangan ekonomi bagi memacu pertumbuhan ekonomi mapan tidak seharusnya bertujuan untuk menilai Keluaran Dalam Negara Kasar yang tinggi serta Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita yang mana secara realitinya tidak mempamerkan distribusi yang sekata serta jurang yang rapat antara golongan kaya dan miskin. Data pengangguran daripada para siswazah harus dititikberatkan dalam usaha untuk memastikan golongan ini sekurang-kurangnya mempunyai pekerjaan tetap.
Oleh itu, isu berkenaan dengan PTPTN tidak seharusnya meletakkan kesalahan itu kepada peminjam, sebaliknya perlu dilakukan analisis secara kritikal terhadap pelaksanaan serta instrumen pembayaran tersebut iaitu melalui penyediaan platform bagi penciptaan peluang pekerjaan kepada golongan ini. Penyediaan kepada pinjaman itu adalah merupakan usaha murni, namun, penciptaan kepada pekerjaan, hasil daripada peluang pendidikan yang dinikmati itu merupakan usaha yang lebih murni, di samping mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang utuh. Hasrat kewujudan tenaga kerja yang ramai selaras dengan matlamat wawasan 2020 perlu diselaraskan dengan kewujudan peluang pekerjaan.
Penulis adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM

Ada tanda gunung berapi Anak Krakatau mungkin meletup



Aktiviti aktif gunung berapi Anak Krakatau melalui kekerapan gempa volkanik dan kebocoran gas belerang di tubuh gunung sejak akhir-akhir ini, memberi tanda-tanda kemungkinan ia akan meletus lebih besar daripada kejadian pada tahun 2007.    Bagaimanapun pihak berkuasa meminta masyarakat tidak cemas kerana letusan yang dijangka itu tidak akan sekuat yang berlaku pada tahun 1883, yang turut menghancurkan tubuh gunung berapi Krakatau.    Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Surono yang menjelaskan kemungkinan letusan lebih besar oleh Anak Krakatau itu, berkata pada masa ini sekitar lima kali gempa volkanik dicatat setiap minit dan sehari boleh berlaku lebih 5,000 kali.    


Kebocoran gas belerang di tubuh Anak Krakatau pula menyebabkan gunung berapi itu diliputi lapisan belerang putih kekuningan dan ia adalah suatu fenomena yang belum pernah berlaku sebelumnya, kata beliau seperti yang dipetik akhbar harian Kompas, Sabtu.    Kejadian gempa volkanik sehingga ribuan kali adalah perkara baru di Anak Krakatau, sedangkan gunung berapi lain yang status amarannya di peringkat siaga, hanya mencatat puluhan hingga ratusan gempa volkanik sehari, kata laporan itu.    Surono bagaimanapun meminta masyarakat supaya tidak cemas dengan keadaan itu kerana magma Anak Krakatau itu bersifat cair dan kurang gas, tidak seperti sifat makma kental pada ibunya dulu iaitu gunung berapi Krakatau yang meletus besar pada tahun 1883.  




 Justeru walaupun ada kemungkinan Anak Krakatau akan meletus lebih besar daripada kejadian pada tahun 2007, ia tidak boleh menghancurkan tubuh gunung berapi itu sebagaimana dalam kejadian letusan Krakatau pada tahun 1883.    Pada masa ini pihak berkuasa, yang meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke peringkat waspada sejak 30 Sept lepas, telah menasihatkan masyarakat menjauhi Anak Krakatau dengan menetapkan zon bahaya pada radius 2km dari kawahnya.    Harian itu juga memetik ahli geologi dari Muzium Geologi, Inyo Pratomo sebagai berkata bahawa letusan Krakatau pada 1883 telah mengakibatkan 36,000 orang terbunuh terkena awan panas abu volkanik serta bencana tsunami yang melanda wilayah Lampung dan Banten.    Bagaimanapun Anak Krakatau belum memperlihatkan tanda-tanda kebangkitan tenaganya sebagaimana yang dimiliki oleh Krakatau sebelum ini kerana ia masih dalam tahap membangun, kata laporan itu.
    
- Bernama

Bantuan RM100 kepada pelajar di Sarawak mungkin secara tunai




KUCHING: Mekanisme pengagihan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada para pelajar di Sarawak mungkin akan diberikan secara tunai.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata beliau telah mencadangkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini kerana, kata beliau mekanisme pengagihan yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran iaitu menggunakan Bank Simpanan Nasional (BSN) adalah tidak sesuai bagi Sarawak terutama melibatkan kawasan luar bandar.
“Kawasan luar bandar, rumah panjang malah di daerah-daerah negeri ini tidak terdapat kemudahan BSN.
“Maka, mekanisme pengagihan melalui BSN kepada pelajar di Sarawak adalah tidak sesuai,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, kelmarin.
Jelas Fatimah yang juga ADUN Dalat, sekiranya mekanisme menggunakan BSN dilaksanakan di negeri ini, ia akan memberikan bebanan kepada ibu bapa pelajar selain merugikan.
“Misalnya di kawasan pedalaman, mereka perlu menggunakan bot serta pengangkutan lain dengan menanggung kos melebihi RM100 untuk pergi ke bandar bagi mengeluarkan bantuan tersebut.
“Maka, ini amat tidak sesuai dan perlu diubah berdasarkan keadaan kita di Sarawak,” katanya sambil menambah, mekanisme pengagihan paling sesuai ialah secara tunai.
Sehubungan itu, katanya cadangan yang beliau nyatakan itu telah mendapat persetujuan Muhyiddin dan ia mungkin akan dilaksanakan.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...