Sabtu, 5 November 2011

Seksualiti Merdeka: PERKASA berdemo di masjid


Sumber:
malaysiakini.com








Sekumpulan umat Islam mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur bagi menyatakan perasaan tidak senang terhadap usaha penganjuran program kontroversi "Seksualiti Merdeka".


Bagaimanapun, jumlah kehadirannya tidak memberangkangkan apabila hanya kira-kira 30 orang hadir dalam perhimpunan ringkas 10 minit di perkarangan Masjid Negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar semalam mengisytiharkan pengharaman terhadap semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka' yang dijadualkan antara 9 hingga 13 November ini.

Mereka mengangkat poster bantahan bertulis "Semua Agama Tolak Seks Sejenis", "Haramkan Sahaja Majlis Peguam" dan "Jabatan Agama Islam Perlu Bertindak Tegas".

Sementara itu, dalam ucapannya, Ketua Wira PERKASA Irwan Fahmi Ideris menyeru semua pihak menentang "kejahilan" gerakan hak asasi manusia.

"Sokongan kepada gay dan lebisan bakal merosakkan negara kita," katanya.

'Jihad nyahkan petualang'

Mengulas pendirian Majlis Peguam yang dilihat menyokong program itu, Irwan mendakwa terdapat peguam yang melanggar perundangan negara dan melakukan perkara batil.

Manakala seorang anggota PERKASA Shahbudin Embun turut tampil berucap mengajak umat Islam berjihad untuk memastikan "petualang bangsa" dinyahkan.

"Gejala Kuning, lesbian dan mungkar ini adalah hak (kita) berjuang hingga darah terakhir," katanya disambut laungan takbir.


Selesai berhimpun, kumpulan itu berjalan ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdekatan masjid itu bagi menyerahkan memorandum menggesa tindakan mahkamah diambil untuk menyekat program sebegitu daripada berulang.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Bakar kepada Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali di pejabatnya kira-kira jam 2 petang ini.

"Kami percaya pihak tuan sebagai satu badan yang dibentuk di bawah undang-undang bagi mengawal selia segala hal berkaitan dengan agama Islam dan orang Islam, mempunyai locus standi bagi membawa prosiding ke mahkamah," memorandum itu dipetik.


Pelajar PPSMI diberi pilihan teruskan dalam BI



MUHYIDDIN


Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
    
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.

"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan  berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah  melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya.
   
Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.
   
"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.
   
Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.

- Bernama    

Ahli muzik ditemui mati separuh bogel



Utusan Borneo
Berita Sabah
by WILLIE JUDE JUNAIDI. Posted on November 4, 2011, Friday


DITEMUI...Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel.

KOTA KINABALU: Seorang ahli kumpulan muzik dari Filipina yang memainkan lagu-lagu rentak 70an di salah sebuah pusat hiburan di kompleks membeli-belah 1Borneo, Jalan Sulaman dekat sini ditemui mati di parkir kompleks berkenaan selepas dipercayai terjatuh daripada kediamannya di tingkat lima kondominium bersebelahan kompleks terkemuka itu.

TINGGI...Mangsa dikatakan terjatuh
dari kediamannya di tingkat lima.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Joha Fernando, 43, ditemui mati di parkir berkenaan dalam keadaan separuh bogel oleh pengawal keselamatan yang kebetulan meronda di kawasan itu.
Difahamkan, mangsa dan ahli-ahli kumpulannya yang lain balik ke kediaman mereka kira-kira jam 4.30 pagi selepas selesai membuat persembahan di pusat hiburan berkenaan.
Bagaimanapun, menurut sumber, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mabuk telah terjatuh daripada balkoni di kediaman mereka selepas keluar daripada tandas di rumah terbabit.
Difahamkan, ketika keluar daripada tandas mangsa yang masih dalam keadaan ‘kebingungan’ telah menuju ke arah balkoni dan bukannya ke bilik tidurnya.
Rakan-rakan mangsa yang sedang nyenyak tidur sewaktu kejadian hanya mengetahui perkara itu daripada pengawal keselamatan yang datang ke kediaman mereka kira-kira jam 6 pagi.
Menurut pengawal keselamatan yang enggan namanya disiarkan itu, sebelum kejadian dia melakukan tugasnya seperti biasa iaitu membuat rondaan di sekitar kawasan kompleks membeli-belah itu.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila terlihat ada seorang lelaki yang hanya berseluar dalam terdampar dalam keadaan berlumuran darah di kawasan tempat letak kereta.
“Apabila saya menghampiri lelaki itu, saya nampak dia seperti sudah tidak bernyawa dan tanpa membuang masa saya terus memaklumkan perkara itu kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisoner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah



Suami isteri cedera ketika cuba selamat anak daripada diserang


Sumber:
Utusan Borneo
4 November 2011
Gambar Hiasan- Tidak ada kaitan dengan kes


KUCHING: Sepasang suami isteri mengalami kecederaan di kepala dan muka ketika cuba menyelamatkan anak mereka daripada diserang oleh rakan rakannya.
Insiden berlaku sekitar jam 7.30 malam di Bandar Baru Samariang apabila mereka terdengar kekecohan berlaku di dalam rumah dan mendapati anak lelaki mereka berusia 20 tahun dipukul oleh empat rakannya.
Anak lelaki mereka dan rakan rakannya pada masa itu sedang dalam sesi minum di rumah apabila pertelingkahan mula tercetus atas sebab yang tidak diketahui.
Apabila ibu bapa berkenaan cuba meleraikan dan melindungi anak mereka daripada dipukul, kumpulan itu bertukar arah kepada mereka dan mula memukul dan menyerang pasangan yang berusia 40-an itu dengan kayu.
Ekoran daripada insiden itu, tiga mangsa anak-beranak itu kemudian pergi ke Hospital Umum Sarawak di mana si suami dirawat bagi luka parah di kepala, sementara isterinya mendapat rawatan untuk luka di muka dan anak mereka lebam di muka dan badan.
Dalam kejadian berlainan seorang lelaki berusia 24 tahun mengalami luka dan lebam di bahagian badannya selepas dipukul lebih 20 orang di sebuah pusat hiburan di Batu 3.
Insiden berlaku sekitar jam 4.30 pagi semalam ketika mangsa berhasrat untuk meninggalkan premis untuk pulang ke rumahnya di Batu 9 Jalan Kuching-Serian.
Terdahulu, mangsa telah minum di pusat hiburan itu bersama empat lagi rakannya yang telah meninggalkan outlet beberapa minit sebelum dia melangkah keluar.
Mangsa berkata dia berhadapan dengan kumpulan itu, yang bertanyakan di mana rakannya yang lain dan kemudian mula memukulnya apabila mangsa memberitahu rakannya sudah meninggalkan premis.
Walaupun dia tidak tahu sebab serangan itu, namun lelaki itu mengesyaki rakan-rakannya telah menyinggung perasaan kumpulan berkenaan sebelum mereka meninggalkan premis.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.



Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...