Sabtu, 5 November 2011

Suami isteri cedera ketika cuba selamat anak daripada diserang


Sumber:
Utusan Borneo
4 November 2011
Gambar Hiasan- Tidak ada kaitan dengan kes


KUCHING: Sepasang suami isteri mengalami kecederaan di kepala dan muka ketika cuba menyelamatkan anak mereka daripada diserang oleh rakan rakannya.
Insiden berlaku sekitar jam 7.30 malam di Bandar Baru Samariang apabila mereka terdengar kekecohan berlaku di dalam rumah dan mendapati anak lelaki mereka berusia 20 tahun dipukul oleh empat rakannya.
Anak lelaki mereka dan rakan rakannya pada masa itu sedang dalam sesi minum di rumah apabila pertelingkahan mula tercetus atas sebab yang tidak diketahui.
Apabila ibu bapa berkenaan cuba meleraikan dan melindungi anak mereka daripada dipukul, kumpulan itu bertukar arah kepada mereka dan mula memukul dan menyerang pasangan yang berusia 40-an itu dengan kayu.
Ekoran daripada insiden itu, tiga mangsa anak-beranak itu kemudian pergi ke Hospital Umum Sarawak di mana si suami dirawat bagi luka parah di kepala, sementara isterinya mendapat rawatan untuk luka di muka dan anak mereka lebam di muka dan badan.
Dalam kejadian berlainan seorang lelaki berusia 24 tahun mengalami luka dan lebam di bahagian badannya selepas dipukul lebih 20 orang di sebuah pusat hiburan di Batu 3.
Insiden berlaku sekitar jam 4.30 pagi semalam ketika mangsa berhasrat untuk meninggalkan premis untuk pulang ke rumahnya di Batu 9 Jalan Kuching-Serian.
Terdahulu, mangsa telah minum di pusat hiburan itu bersama empat lagi rakannya yang telah meninggalkan outlet beberapa minit sebelum dia melangkah keluar.
Mangsa berkata dia berhadapan dengan kumpulan itu, yang bertanyakan di mana rakannya yang lain dan kemudian mula memukulnya apabila mangsa memberitahu rakannya sudah meninggalkan premis.
Walaupun dia tidak tahu sebab serangan itu, namun lelaki itu mengesyaki rakan-rakannya telah menyinggung perasaan kumpulan berkenaan sebelum mereka meninggalkan premis.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...