Sumber:
Utusan Borneo
by Kepu Sidi. Posted on November 5, 2011, Saturday
Guru profesional harus menambah baik kualiti, pastikan anak didik menjadi modal insan lengkap
JASAMU DIKENANG: Chung menerima cenderamata kenangan daripada Raymond sambil disaksikan oleh Mat Kamal (dua kiri) pada majlis tersebut. |
BINTANGOR: Kejayaan dalam bidang pendidikan amat penting bagi memastikan misi negara untuk melahirkan modal insan berkualiti tercapai, di samping membentuk negara maju serta lengkap dari semua aspek.
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Raymond Gai Panting@Gaie berkata, pendidik yang berjaya adalah pendidik yang berketerampilan, berkeyakinan, bertanggungjawab serta mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat dalam usaha melahirkan generasi berkualiti.
“Sebagai guru profesional, sikap tidak mengenal jemu dan penat lelah dalam memberikan pendidikan kepada anak bangsa harus kukuh dalam sanubari.
“Guru profesional juga perlu menggunakan kebijaksanaan sendiri melalui kelebihan yang ada di persekitaran sebagai daya tarikan dalam menggiatkan aktiviti pembelajaran agar ia menarik minat pelajar untuk menerima pembelajaran pada tahap maksimum.
“Usaha untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa bukan hanya tertakluk kepada apa yang sudah diperolehi semasa di institut pendidikan tetapi berusahalah untuk menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan prestasi setiap sekolah serta merapatkan jurang pencapaian murid tanpa mengira lokasi dan wilayah untuk ditugaskan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Selaut Kenangan, Segunung Harapan di sebuah hotel di sini, semalam.
Raymond berkata, pembelajaran regulasi kendiri, organisasi pembelajaran, pembangunan akademik berasaskan bukti, pembelajaran tepat pada masa, persekitaran pembelajaran teragih, pembelajaran berasaskan individu dan kemahiran abad ke-21 harus dipraktikkan sebaiknya dalam usaha menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang disampaikan.
Sehubungan itu, beliau berharap para pelajar dan kakitangan IPG meneruskan usaha mencapai kecemerlangan dan mempertahankan kejayaan yang telah diperolehi bersama sepanjang tahun 2011 pada masa akan datang.
“Menjadi juara adalah satu perkara yang boleh dilakukan oleh semua tetapi apa yang paling payah sekali ialah untuk mengekalkannya… maka untuk memastikan ia terus kekal menjadi milik kita, prestasi perlu dipertingkatkan, sentiasa berusaha membuat pembaharuan yang boleh diterima ramai dan kekalkan kerjasama di antara semua pihak.
“Fenomena globalisasi, teknologi digital, anjakan ekonomi pembuatan kepada ekonomi perkhidmatan, anjakan daripada daya upaya mesin kepada daya upaya minda, kreativiti kepada imaginasi, invensi kepada inovasi adalah elemen-elemen penting ke arah menjuarai segala persaingan dan menguasai medan kehidupan pada abad ini,” tegas Raymond.
Terdahulu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mat Kamal Abang Majid dalam ucapan alu-aluannya berkata, program itu bertujuan untuk meraikan pelajar IPG yang telah menamatkan pengajian mereka di institut terbabit dan dua kakitangan IPG yang bersara.
“Kita berharap pelajar yang keluar dari IPG ini akan menjadi seorang warga pendidik berkualiti serta berkemampuan menunaikan segala matlamat dan misi yang termaktub dalam piagam pendidikan,” kata Mat Kamal.
Dua kakitangan yang bersara semalam ialah Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan, Dr Lau Hieng Soon dan Pensyarah Matematik IPG Kampus Rajang, Chiong Yew Kai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan