Rabu, 18 Januari 2012

Karnival kahwin-kahwin Kedah mulai 6 April




Karnival Kahwin-kahwin Kedah 2012, yang mengetengahkan produk-produk perkahwinan tempatan, akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti dekat sini pada 6 hingga 8 April depan. 
 
Program anjuran Seri Panglima Sdn Bhd itu antaranya akan menampilkan produk butik pengantin, butik fesyen, kesihatan dan kecantikan, produk katering, fotografi dan videografi, pakej berbulan madu dan cenderamata.



Ketua Pegawai Eksekutif Seri Panglima Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata karnival itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri bagi memberi peluang kepada bakal pengantin baru di wilayah utara untuk mendapatkan keperluan perkahwinan secukupnya.
    
Beliau berkata karnival itu adalah hasil cetusan idea Pengerusi Eksekutif syarikat itu Tunku Putri Intan Shafinaz memandangkan sebelum ini pameran perkahwinan hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja.  
   
"Karnival ini menjadi satu destinasi persinggahan dan tempat untuk pasangan yang bakal berkahwin untuk memilih serta mendapatkan produk dan perkhidmatan perkahwinan dengan mudah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
    
Beliau berkata karnival itu juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan negeri yang sekaligus dapat menarik orang ramai untuk berkunjung ke Kedah dan mempromosikan Negeri Jelapang Padi.
    
Wan Ahmad berkata di pameran itu, pengunjung akan dapat melihat replika perkahwinan Diraja Kedah serta pameran foto perkahwinan Diraja dan koleksi peribadi kerabat Diraja Kedah.
    
Beliau berkata pihaknya turut membuka peluang kepada pengusaha butik perkahwinan untuk menyertai karnival bagi mengetengahkan produk-produk mereka kepada orang ramai.
    
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang di pejabat Seri Panglima Sdn Bhd di Kompleks Perniagaan Sultan Abdul Hamid, Alor Setar atau boleh melayari lamanweb di www.seripanglima.com.my.  
    
Beliau berkata pihaknya mensasarkan lebih 15,000 pengunjung sekitar negeri ini, Perlis, Pulau Pinang dan Perak akan hadir sepanjang tiga hari itu bagi memeriahkan karnival yang diserikan dengan pelbagai program.

Antara pengisian karnival yang bermula pada jam 10 pagi dan berakhir 10 malam itu adalah persembahan artis tempatan, pertandingan fotografi, pertandingan solekan dan andaman, gerai dan pelamin tercantik, pengiring kanak-kakak, pertunjukan fesyen busana muslimah dan cabutan bertuah. Masuk adalah percuma.

- Bernama

Lelaki Inggeris dibelasah gara-gara air kencing


Gambar Hiasan



MIRI: Marah kerana kaki terkena air kencing, seorang lelaki Inggeris menerima padah dipukul dan dicederakan sekumpulan penyerang dalam kejadian awal pagi semalam. Mangsa yang berusia 30-an dari London mengalami patah pergelangan tangan kiri dan cedera di kepala akibat pergaduhan sekitar jam 1 pagi.
Sebelum kejadian, mangsa yang ditemani dua rakannya tiba dari London kelmarin sebelum mengunjungi sebuah pusat hiburan popular di sini.

Ketika hendak membuang air kecil di tandas pusat hiburan itu, mangsa tiba-tiba berang kepada salah seorang pengguna tandas kerana terkencing pada kakinya. Insiden tersebut mencetuskan perang mulut antara mereka sebelum bertukar tegang setelah mangsa diugut oleh suspek dan rakan-rakannya.Kerana takut, mangsa cuba melarikan diri namun dikejar suspek dan rakan-rakannya ketika balik ke hotel yang terletak di kawasan berhampiran.

Mangsa dipercayai dipukul menggunakan rantai besi dan batang besi menyebabkan dia patah pergelangan tangan kiri selain cedera di kepala.Mangsa yang cedera kemudian dipapah masuk ke dalam hotel sebelum membawanya ke hospital.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih dirawat di Hospital Miri dengan polis bakal mengambil keterangan berhubung serangan tersebut. Difahamkan, mangsa terpaksa membatalkan hasrat untuk balik ke London semalam kerana kecederaan yang dialaminya.

Utusan Borneo




Selasa, 17 Januari 2012

Majlis Fatwa haramkan 'bank susu ibu'




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa cadangan penubuhan bank susu ibu adalah haram.

Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” kata kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dan dipetik akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu mengakui bahawa tabung susu itu diperlukan bagi bayi pra-matang yang memerlukan rawatan dan juga bayi yang ibunya kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi.

Bagaimanapun muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Bagaimanapun menurut laporan dalam Berita Harian itu kecualian diberikan  dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan.

Muzakarah juga memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.
Sumber: malaysiakini.com

Ahad, 15 Januari 2012

SIAPA YAHUDI? SIAPA ORANG ISLAM?


Sumber:
Laman Web Rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia



SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.
Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.
Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.
Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujukhttp://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan?
Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?
Siapa mereka ini?
Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.
Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.
Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.
Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).
Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.
Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.
Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).
Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).
Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).
Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).
Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.
Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.
Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.
Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?
Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...