Khamis, 19 Julai 2018

Kalau Huma Sama Ditugal

Marilah kita menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin demi memastikan bahasa ini akan terus terpelihara dan tidak ditelan masa seiring dengan pemodenan kini.

Kalau lautan sama direnangi,
Kalau lurah sama dituruni,
Kalau sampan sama berdayung,
Kalau lesung sama menumbuk,
Kalau huma sama ditugal,
Kalau masak sama dituai,
Kalau berangan sama dikutip,
Kalau padi sama dituai,
Kalau jala sama menebar,
Kalau pukat sama menarik,
Kalau rakit sama bergalah,
Kalau ruyung sama dipecahkan,
Kalau parit digali,
Kalau tebing dipanjat,
Cubit paha kiri,
Paha kanan sakit juga,
Susah sama susah, senang sama senang.

Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama semua.

Bangkitkan Sastera

Di sana sini, masyarakat kita lebih teruja membicarakan tentang pembangunan fizikal. Tidak jemu-jemu bercakap tentang kemajuan sains dan teknologi, kestabilan ekonomi dan suasana politik tanah air malah melangkaui sempadan negara dan benua.

Kesusasteraan tidak lagi menjadi kebesaran, malah kian mengecil. Ada yang berpendapat kesusasteraan tidak lagi relevan dengan kehidupan kini. Akibat penghijrahan ini, khalayak sastera kian mengecil, mengkhusus, dan elitis. Hal ini terjelma daripada beberapa isyarat atau petanda, penulisan dan penerbitan karya sastera tidak lagi menjadi aktiviti yang menghasilkan pulangan ekonomi yang menggalakkan.

Sepi dan sunyinya dunia sastera kini bukan bermakna sudah mati atau lupus bakat sastera dalam kalangan masyarakat hari ini dan akan datang. Kesenyapan ini timbul disebabkan mutu hasil karya dan promosi yang masih perlu dipertingkatkan. 

Masyarakat hari ini memerlukan karya sastera hidup, baharu, dan segar yang dihasilkan bukan sahaja oleh sasterawan ternama, tetapi juga oleh penulis baharu. Sudah sampai masanya, kedua-dua kelompok ini duduk semeja merangka Pelan Induk Pembangunan Kesusasteraan Malaysia 2020-2050  (PIPKM 2020-2050).

Bagi menanamkan minat ge­nerasi muda dalam bidang sastera, maka karya sastera perlu diperkenalkan lebih awal kepada pelbagai pe­ringkat pendidik­an, iaitu sejak dari prasekolah hingga peringkat universiti tanpa mengira aliran, sama ada sastera atau sains.
Selain itu, karya sastera perlu menjadi satu mata pelajaran yang wajib agar dapat dibaca oleh pelbagai kaum, bukan hanya untuk orang Melayu. Mata pelajaran Sastera perlu dijadikan sebagai satu mata pelajaran utama, bukan setakat sisipan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Khamis, 29 Jun 2017

Sabar

Assalamualaikum WBT dan Salam Negaraku Malaysia kepada semua,

Kesabaran amat perlu di dalam jiwa setiap manusia. Berdasarkan video yang dirakam dan terakam di dalam media baharu banyak insiden menunjukkan bahawa manusia tidak mampu mengawal rasa marah kepada manusia yang lain. Kasih sayang sesama manusia seakan-akan hilang. Insiden kecil diperbesar, suara nyaring memaki hamun seperti dia sahaja yang mengawal dunia dan menjerit sesuka hati sebagai bukti dia begitu marah dengan apa yang berlaku.

Kalau berlaku kemalangan di jalan raya umpamanya, masing-masing menegakkan kebenaran, sepatutnya laporan polis dibuat dan biar undang-undang membuat penentuan. Bukan dengan membuka mulut seluas lautan menghambur kata-kata makian. Apa faedah yang kita dapat hasil daripada pemikiran kelas ketiga ini? Lebih kritikal lagi, mereka yang terlibat dalam kemalangan ini berusaha menunjukkan kekuatan fizikal. Apa faedah yang kita dapat hasil daripada tumbukan padu pada muka manusia lain?

Marilah sama-sama kita berusaha menjadi manusia yang lebih sabar. Gunakan kekuatan kita untuk menghadapi ancaman lain yang cuba menghancurkan negara kita yang tercinta. 

Selasa, 14 Julai 2015

Hari Raya Dirai Bukan Diratapi


Assalamualaikum WBT,


Pada hari Rabu ini, 14 Julai 2015, dijangka warga kota akan mula berpusu-pusu menuju ke lebuh raya untuk pulang berhari raya. Begitu hebatnya sambutan hari raya dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada yang sudak menyolek-nyolek luaran kereta agar nampak gah di atas lebuh raya. Paip ekzos diganti agar deruman enjin dapat membingit pengguna kenderaan yang lain. Biar kereta yang tidak berapa mahal itu dapat menyaingi kereta mewah milik orang berduit. Cuba tengok di kedai-kedai aksesori kereta di dalam bulan Ramadan, kereta yang tidak berapa mahal ini dan dimiliki oleh yang seadanya seperti dirasuk entiti membelanjakan pendapatan yang tidak seberapa untuk menjenamakan semula kereta yang dimiliki. Riak muka kebanggaan jelas terpancar pada wajah-wajah ini.

Persepsi bahawa memiliki kereta sebagai barang mewah perlu dibetulkan. Budak sekolah, budak kolej, budak U, pekerja bawahan, pekerja atasan, majikan dan semua orang mampu memiliki kereta.  Kenapa kita yang ada kereta seadanya, sanggup menghabiskan duit yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan yang lebih utama daripada menyolek wajah kereta yang sudah diketahui jenamanya. Orang kampong pun kenal mana kereta ada nama dan yang tiada bernama. Soleklah setebal mana, orang kampung tidak akan membeliakkan mata memandang kita. Mereka kenal siapa kita sejak kecil hingga dewasa. Tidak perlu kita membesar ekzos membingit ketenangan kampung.

Sepatutnya duit yang seadanya digunakan untuk servis engine kereta yang sudah berusia. Tayar yang botak digantikan. Ia lebih baik daripada mencantikkan luaran. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki. Tidak perlu kita menunjuk wajah riak di atas jalan raya dengan memandu seperti melihat kelibat hantu. Raya adalah untuk dirai bukan diratapi. Meratap-ratap duit dah habis. Meratap-ratap kereta yang disolek dengan ngauman ekzos tidak dipandang dan dipuji orang kampung. Meratap-ratap kereta terbabas dan lebih meratap apabila orang yang disayangi menemui Ilahi akibat sikap kita yang suka menanam perasaan di dalam hati, “aku sahaja yang miliki kereta”.
Dijangka 1.6 juta pengguna lebuh raya akan pulang ke kampung halaman bermula pada hari esok, Rabu. Pergerakan pulang warga kota bermula Rabu dan Khamis ini iaitu tempoh 48 jam sebelum sambutan Aidilfitri.  Ini adalah senario lazim saban tahun dan kebiasaannya warga kota mula pulang dua hari sebelum Aidilfitri.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...