Sabtu, 28 Julai 2018

Aku Kian Layu di Bumi Sendiri

Asal usul aku adalah daripada filum Austris. Filum Austris terpecah dua, iaitu rumpun Austroasia dan Austronesia atau dahulunya aku dikenali sebagai Melayu-Polinesia. Ada beberapa pendapat tentang salasilah aku. Namun demikian, kesemua mengatakan dan mengakui bahawa orang-orang Melayu ialah pengguna asli aku ini.

Aku menjadi sebutan berbanding dengan keluargaku yang lain seperti Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Aku ditutur juga di pantai timur Pulau Sumatera dari Aceh Timur hingga ke Sumatera Selatan. Terdapat dialek aku seperti Temiang, Deli, Serdang, Langkat Asahan, Panai, Riau, Jambi, Kuantan, Palembang, Siak, Bengkulu, Bangka dan Belitung. Dialek aku ada yang terpecah kepada subdialek. Antaranya dialek Riau yang melahirkan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu kuno yang selepas itu bahasa Melayu klasik. Aku terus berkembang dan menjadi insan penting. Begitu panjang sejarah hidup aku.

Kini, aku kian layu di bumi sendiri. Apakah usaha dan sumbangan memperjuangkan kelangsungan hidup aku yang semakin tenat ini? Adakah dengan hanya menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri boleh menyihatkan semula aku ini?

Aku bukan hak eksklusif milik satu bangsa sahaja, tetapi aku adalah milik semua. 

Hatiku terluka apabila ada anak Malaysia tidak yakin dengan kehebatan aku. Mereka tanpa rasa silu di hati, membandingkan aku dengan bahasa lain termasuk bahasa penjajah.

Aku semakin sakit apabila terdapat  sebilangan pemimpin tidak tahu untuk menggunakan aku. Dalam persidangan di Parlimen tidak kira di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Negara, akan ada pemimpin menggunakan aku secara lintang-pukang.

Aku didakwa atas alasan tidak lengkap untuk urusan meningkatkan ilmu pengetahuan disebabkan kekurangan aku dari segi istilah. Aku dianggap tidak sesuai hidup dalam kecanggihan sains dan teknologi. Apakah wajar aku diperlekehkan kerana alasan-alasan ini? Tidakkah sedar orang luar menilai ketinggian dan keunikan aku?

Tanggapan bahawa aku hanya dimiliki oleh orang Melayu dan bukannya teras kepada pembangunan negara bangsa antara faktor kenapa bahasa kebangsaan masih gagal dimartabatkan dan dihormati pada kedudukan sewajarnya termasuk dalam kalangan rakyat asing yang berada di negara ini.

Sehingga kini ramai rakyat negara ini memahami istilah bangsa sebagai merujuk kepada kaum masing-masing iaitu sama ada Melayu, Cina, India serta kaum minoriti lain dan bukannya melihat ia sebagai penduduk yang tinggal di Malaysia.

Aku sebagai bahasa kebangsaan yang juga teras perpaduan negara bangsa bagi semua rakyat Malaysia tidak menonjol. Ia akhirnya meninggalkan kesan psikologi bahawa aku hanya dimiliki dan dipertuturkan oleh orang Melayu saja sehingga lupa kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan teras negara Malaysia.

Hakikatnya sekarang semakin ramai generasi muda bukan Melayu terutama Cina dan India yang fasih bertutur bahasa Melayu. Mari kita pecahkan tembok pemisah bahawa aku untuk orang Melayu sahaja agar aku akan dituturi dan dihormati dengan lebih meluas.

Usaha untuk memartabatkan aku  sebenarnya terletak pada kesungguhan rakyat negara ini sendiri dan mereka juga perlu mengubah persepsi bahawa hanya yang fasih berbahasa Inggeris saja mempunyai status sosial lebih tinggi.

Jumaat, 27 Julai 2018

Bulu Roma Mencanak Tegak Sehingga Tidak Mampu Turun


Assalamualaikum WBT.

Pada petang semalam, penulis dapat bertemu dan berbual dengan kawan penulis di sebuah restoran berdekatan dengan rumah penulis. Cuma perbualan antara kami berdua tidak sepertimana biasa. Kawan penulis menjentik hati penulis dengan mengemukakan persoalan sama ada penulis percaya atau tidak dengan kewujudan makhluk halus atau diistilahkan oleh orang Melayu sebagai hantu, toyol dan lain-lain. Terkesima dengan soalan yang menebak, mulut terkunci seketika. 

Penulis memberi respons pertanyaan tersebut berdasarkan pembacaan dan pengetahuan yang tidak seluas manapun. 

"Beginilah", penulis mula menyusun kata perbualan.  "Mereka ini tergolong dalam kumpulan, jin dan syaitan. Jin dan syaitan pula telah dijelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudannya. Oleh itu, hal ini melibatkan tentang akidah dan wajib beriman dengan kewujudannya." Kata aku. Wajah kawan penulis makin menjelmakan keresahan dalam hatinya. 
Penulis terus melontarkan pendapat,  "Menjadi rukun iman iaitu percaya kepada benda-benda ghaib dan ia telah disebutkan di dalam al-quran seperti jin, syaitan, syurga dan neraka. Oleh itu, tidak mempercayai makhluk halus boleh meruntuhkan akidah kita".  Kawan penulis terus meneguk air kopi sambil tangan kiri mendagu.
"Orang Arab menggelarkan makhluk halus ini sebagai Al-Asybah ( bayang-bayang). Makhluk halus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan tubuh badannya. Sebaliknya, mereka menjelmakan diri mereka dalam bentuk manusia dan binatang-binatang. Hal ini pernah berlaku ketika mesyuarat para musyrikin Quraisy apabila syaitan menyamar menjadi seorang pemimpin Quraisy bagi menghasut untuk membunuh Nabi SAW."
"Makhluk halus juga boleh menjelma sebagai binatang-binatang sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis bagaimana seorang sahabat menikam seekor ular yang berada di dalam rumahnya dan sahabat tersebut meninggal dunia kerana makhluk halus bertindak balas."
"Bagi aku, sifat semulajadi manusia adalah takut kepada sesuatu yang menakutkan. Dan hantu digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Maka, takut kepada hantu adalah biasa dan ia tindak balas semula jadi seorang manusia. Apa yang ditegah ialah, takut yang membawa kepada hilangnya takut kepada Allah SWT, takut kepada azab-Nya dan takut digolongkan menjadi ahli neraka, iaitu takut yang berlebih-lebihan." Penulis terus memberi pandangan yang tidak semestinya diterima oleh kawan penulis.
Usai penulis meluahkan rasa dan kata, kawan penulis mula mengaktifkan peti suaranya. Ceritanya, "pada minggu lepas, aku pulang lewat dari pejabat. Keadaan memang gelap pada waktu itu sementelahan lampu-lampu telah ditutup secara automatik." 
Penulis dapat bayangkan keadaan gelap pada waktu itu kerana penulis juga bertugas di Putrajaya sepertimana kawan penulis. Kawan penulis meneruskan ceritanya, "perjalanan dari bilik aku ke pintu utama untuk menggunakan lif hanya 20 meter sahaja. Aku ditemani dengan lampu-lampu emergency yang ditulis EXIT.  Selalunya memang tidak pernah merasai apa-apa, tetapi pada hari itu, semasa aku melalui kaunter pertanyaan, kelihatan kelibat seorang perempuan cantik tersenyum sambil duduk menyandar di kerusi. Perempuan yang tidak dikenali itu hanya membisu, sesekali memandang tepat kepada aku.  Seram dan sejuk keadaan badan aku. Bulu roma tegak berdiri. Aku perlu meletakkan jari di sistem perakam waktu elektronik yang dinamakan e-Jari. Aku perlu melalui di hadapan perempuan yang tidak dikenali itu. Aku kuatkan semangat yang telah merudum dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat al-Kursi yang sudah tidak betul susunannya." 
Kawan penulis terus bercerita kepada penulis yang sedang mendagu pula, " sebaik sahaja selesai meletakkan jari yang sudah beberapa kali di e-Jari, aku terus ke pintu utama dan mencanak membuka pintu. Pada waktu itu, ekor mata menunjukkan perempuan cantik yang tidak dikenali itu masih memandang aku. Betapa sukarnya pada waktu itu untuk mendapatkan kunci yang tersimpan di dalam poket seluar. Kunci untuk pintu utama kerana aku orang terakhir yang meninggalkan pejabat pada hari itu. Perempuan itu sangat cantik, jelas di bawah sinaran lampu emergency."
Penulis dapat gambarkan wajah perempuan itu berdasarkan cerita yang penuh dengan kesungguhan kawan penulis.
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Bibir merah bak delima 
Kulit putih kuning bak langsat ranum
Dagu bak lebah bergantung
Alis lentik berlesung pipit
Leher jinjang meneguk air berkaca
Pipi tergantung bak ulas bermuda
Gigi tersusun bak sirih
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Kawan penulis menghabiskan cerita yang disimpannya selama seminggu. Kejadian yang dialaminya tidak diceritakan kepada kawan-kawan sepejabat. Dia sudah serik menjadi personalia yang  terakhir keluar daripada pejabat.


Rabu, 25 Julai 2018

Bahasa Rojak

Senario papan iklan yang tidak mempamerkan bahasa Melayu dengan betul dan menggunakan bahasa rojak mencacatkan pemandangan sekali gus merosakkan keindahan bahasa kebangsaan.

Pengiklan perlu cakna dan mengutamakan bahasa Melayu dengan mempamerkan papan tanda mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu sentiasa memantau keadaan papan iklan yang mencampuradukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa asing. Walaupun penggunaan bahasa asing dibenarkan, tetapi ia perlu lebih kecil berbanding perkataan dalam bahasa Melayu.

Kebanyakan yang tidak mematuhi peraturan itu adalah papan tanda perniagaan premis dibuat secara haram kerana setiap iklan perlu mendapat kelulusan PBT dan bahasa digunakan juga perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

PBT perlu mempertingkatkan usaha membanteras iklan dan papan tanda yang tidak mematuhi peraturan dengan mengenakan tindakan undang-undang serta menurunkan papan tanda tersebut.

Ia adalah sebahagian usaha untuk menjulang usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Iklan untuk paparan rakyat negara ini sewajarnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan betul.

Golongan Tercicir


Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, telah menerima definisi yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:
Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya
Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50% untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah
Dalam konteks hari ini, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.
Kemiskinan berasal dari kata miskin, dari segi literatur kita akan  lebih sering menemukan kata tersebut diertikan sebagai sebuah keadaan seseorang atau sekelompok orang yang tidak memiliki cukup harta. Atau menunjukkan kategori orang yang sekadar memenuhi keperluan  hidupnya sahaja.  Sebutan miskin dengan mudah diberikan kepada orang-orang yang tidak mampu menampung kehidupannya secara layak.
Ada dua kriteria miskin, iaitu yang boleh dinilai berdasarkan pendapatan isi rumah dan satu lagi faktor lain seperti bebanan yang tidak boleh dinilai mengikut pendapatan isi rumah.
Isi pendapatan rumah RM3,000 hingga RM4,000 jika menetap di luar bandar sudah cukup selesa, sebaliknya nilai yang sama bagi sesetengah golongan yang menetap di bandar masih tidak mencukupi.  Miskin bandar boleh dikategorikan mereka yang memiliki bebanan dan komitmen tinggi serta tiada lebihan pendapatan.
Golongan isi rumah berpendapatan bawah RM6,000  juga termasuk dalam kumpulan miskin bandar wajar diberi pertimbangan untuk menikmati bantuan yang disediakan kerajaan  menerusi peruntukan Bajet 2019.
Kemiskinan bandar menjadi isu penting kerana kajian dijalankan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan lebih daripada dua pertiga rakyat Malaysia kini tinggal di kawasan bandar. Golongan terbabit dianggap kumpulan pertengahan (M40) dan mereka sering tercicir daripada menerima kemudahan bantuan disediakan kerajaan.
Mereka yang berpendapatan isi rumah bawah RM6,000 sebulan itu tidak berpeluang menikmati bantuan disediakan sedangkan mereka pembayar cukai setia setiap bulan kepada kerajaan. Kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan tidak bersamaan dengan kelas menengah. Menerusi pembentangan Bajet 2019, diharapkan golongan berkenaan tidak dipinggirkan kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat dan membebankan.



Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...