Greenwood-18 Mei 2009- Mengenang jasa. Bagi menghargai bakti pendidik yang tidak jemu mengajar, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan(BKGK)SMK Seri Gombak dan Lembaga Pengawas Sekolah telah menganjurkan sambutan hari guru peringkat sekolah. Pengerusi BKGK Semerbak, Pn.Sapiah bt Mohd Baki berkata, tujuan sambutan adalah untuk menghargai jasa guru yang telah mendidik anak-anak SMK Seri Gombak dan menjadikan ia sebagai satu platform untuk merapatkan hubungan antara guru-guru dengan pelajar serta dengan ibu bapa. Kehadiran YDP PIBG SMK Seri Gombak, Dr.Ir Mohamad Helmi bin Zulkawi bersama-sama AJK PIBG lain ke majlis sambutan hari guru mewarnakan lagi suasana pada hari ini. Seawal jam 7.00 pagi pengawas-pengawas sekolah di bawah penasihat, Pn.Adura bt Mohamed sudah sibuk memastikan segala persiapan termasuk tempat sambutan dan peralatan berada pada tahap 'A'. Kehadiran pelajar-pelajar serta guru-guru sesi petang pada sesi pagi adalah semata-mata untuk menunjukkan bahawa begitu erat dan akrabnya hubungan warga SEMERBAK. Kemeriahan sambutan dapat dirasai pada 8.00 pagi apabila majlis bermula secara rasmi.
Ketua Pelajar, Saudara Farid juga tidak melepaskan peluang untuk berucap. pada hari yang begitu istimewa. Farid mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di SMK Seri Gombak. Kemudian Pn.Rahimah bt Omar, Pengetua SMK Seri Gombak berucap dan turut menyatakan penghargaan beliau terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam mendidik pelajar-pelajar. Di samping itu, beliau mengingatkan semua guru untuk terus menghayati tema hari guru tahun 2009, Guru Pembina Negara Bangsa. Pengetua kemudian menyampaikan sijil-sijil penghargaan cemerlang kepada guru-guru mata pelajaran yang meningkatkan prestasi pencapaian akademik PMR dan SPM. Guru-guru yang tidak pernah mengambil MC juga diberi penghargaan. Penulis pun masuk di dalam senarai. Acara perhimpunan khas hari guru diteruskan dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh penulis sendiri. Sebelum acara persembahan hari guru, kami guru-guru
menyanyikan lagu 'Kami Guru Malaysia' dan Lagu Tema Hari Guru 2009,'Guru Pembina Negara Bangsa'.


SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU TIDAK KIRA DI MANA BERADA...
































