Perasaan marah, dendam dan menyampah memang tidak dapat kita singkirkan kerana perasaan ini tercetus disebabkan rasa tidak puas hati sesama sendiri. Marah kepada pasangan yang kita cintai, kadangkala menjadikan kita begitu kering hati dan tidak mahu memaafkan lagi. Marah kepada kawan-kawan sehingga sanggup memutuskan talian persahabatan. Malah ada juga ibu bapa yang marahkan anak sungguh-sungguh sehingga sanggup memanjatkan doa yang buruk kepada darah daging sendiri.
Sudah menjadi kelaziman atau pun peraturan hubungan, serapat atau sebaik mana hubungan tersebut, kita pasti pernah bertengkar dan atau masam mencuka dengannya. Apatah lagi apabila masing-masing tidak sependapat. Kedua-duanya tidak mahu mengalah. Sebaliknya sanggup menegangkan urat leher, tetapi sampai bila?
Perasaan marah ini timbul apabila seseorang merasakan haknya dirampas atau digugat oleh pihak lain sama ada secara sedar atau tidak. Kemarahan timbul berikutan peraan ingin mempertahankan hak dan kebenaran. Kita memang pun berhak untuk melindungi dan mempertahnkan apa sahaja yang dirasakan milik kita. Akan tetapi yang perlu kita ingat, kita tidak diizinkan marah. Islam melarang perbuatan marah sehingga menyebabkan dendam-mendendam.
Cara terbaik sebelum pertengkaran menjadi medan World War, eloklah kita cuba tukar tajuk perbualan yang menimbulkan rasa tidak puas hati atau salah faham itu. Bincanglah dengan tenang tanpa gangguan dan campur tangan daripada orang lain. Kita boleh menyelami dasar hati dan perasaan masing-masing. Masalah tidak akan selesai jika masing-masing berkepala keras. Sekali-sekala apa salahnya kita mengambil sikap mengalah. Seandainya penyebar virus kemarahan itu adalah kita, tidak salah jika kita mengakuinya. Marilah kita bersikap waras dalam sesuatu perhubungan. Allah murahkan rezeki orang yang menarik diri daripada kemarahan dengan memberikan kemudahan dalam aspek yang tidak terduga oleh kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan