Ahad, 3 Julai 2011

Sijil Khas Tahun Enam




Mulai tahun ini, sekolah dibenar mengeluarkan sijil khas Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) bagi Bahasa Melayu dan Inggeris kepada murid Tahun Enam yang boleh dijadikan dokumen sokongan termasuk untuk permohonan memasukkan Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Berdasarkan panduan yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), sijil itu mencatat pencapaian murid dalam PLBS Bahasa Melayu dan Inggeris bagi empat kategori, iaitu tatabahasa dan kosa kata; sebutan, intonasi dan nada; fasih dan bermakna serta bertatasusila mengikut penggredan A,B,C,D atau E.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sains Thomas, Kuantan, Mohamad Sabri Mohd Arsad mengatakan mengikut panduan LPM yang diterima pihaknya, baru-baru ini, sijil itu boleh diberi secara berasingan bagi pentaksiran lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris atau digabungkan keputusan kedua-duanya dalam satu dokumen sama.
Sekolah juga boleh menggunakan logo masing-masing dengan dokumen itu ditandatangani guru subjek serta guru besar sebagai pengesahaan. Pentaksiran itu dibuat secara kumulatif dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam di mana guru membuat penilaian berterusan ketika proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk melalui kaedah pemerhatian, soal jawab serta tugasan bukan dalam bentuk ujian.
Pengiktirafan kepada pihak sekolah untuk mengeluarkan sijil itu selaras dengan komitmen Kementerian Pelajara terhadap hala tuju penambahbaikan UPSR dengan 40 peratus penilaian terhadap murid dibuat berasaskan sekolah menjelang 2016.  Ini juga membuktikan kementerian memperakui keupayaan sekolah melaksanakan pentaksiran yang menepati garis panduan serta piawaian ditetapkan LPM.
Mohamad Sabri berkata, sijil khas itu bukan saja sesuatu perakuan yang bermakna kepada murid dan ibu-bapa, malah boleh digunakan oleh guru subjek bahasa di sekolah menengah sebagai panduan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar berkenaan dalam penguasaan lisan Bahasa Melayu serta Inggeris,
Bagaimanapun, sekolah yang tidak mampu menampung kos pengeluaran sijil khas itu, boleh mencatat keputusan pentaksiran lisan dua subjek berkenaan dalam buku rekod pelajar. PLBS diperkenalkan pada 2003 sebagai sistem penilaian bagi menentukan tahap penguasaan lisan dwibahasa murid di seluruh negara bertujuan membina kemahiran dan keyakinan berkomunikasi secara berkesan.  Pihak sekolah juga sudah menerima arahan Kementerian Pelajaran untuk mencalonkan guru Tahun Satu bagi mengikuti kursus Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPKK). Latihan itu sebagai persiapan pelaksanaan program pentaksiran terhadap murid Tahun Satu mulai tahun depan.

sumber maklumat : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...