Ahad, 3 Julai 2011

Gagal Merancang Bermaksud Merancang Untuk Gagal



MD RASUL BIN HARON

Organisasi yang gagal merancang program latihan mereka sedang merancang untuk gagal. Sememangnya kenyataan tersebut amat betul dan sepatutnya ia harus digunapakai oleh setiap organisasi. Ini berikutan program latihan adalah berkait rapat dengan pembangunan sumber manusia atau modal insan yang merupakan entiti utama yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. Tanpa sumbangan sumber modal insan yang mantap dan berdaya saing, nescaya sesebuah organisasi tidak akan bertahan lama.


Dalam membincangkan perkara tersebut di atas, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh sesebuah organisasi yang sepatutnya merancang program latihan mereka dengan berkesan. Perkara-perkara yang perlu diberi penekanan adalah berkaitan kepentingan program latihan itu sendiri terhadap pembangunan organisasi. Faktor-faktor kepentingan latihan dalam organisasi adalah terdiri dari kesan globalisasi, persekitaran yang kompetitif, peningkatan tahap profesionalisme dan ledakan teknologi maklumat.
Dalam menghadapi era globalisasi di mana hilangnya persempadanan dalam urusan sesebuah organisasi, pengaruh dan suasana persekitaran sudah mula berubah dan daya saing sumber manusia yang merupakan aset penting dalam sesebuah organisasi menjadi semakin sengit. Setiap hari ada sahaja inovasi dan penemuan baru yang dihasilkan di dunia sekeliling yang sudah pasti memberikan kesan dan impak kepada sesebuah organisasi. Sekiranya organisasi tidak merancang program latihan kepada ahlinya dengan sistematik dan teratur sudah tentunya organisasi tersebut tidak akan dapat mengharungi cabaran dan kesan globalisasi berkenaan dan seterusya membawa kepada kegagalan.
Suasana persekitaran yang semakin kompetitif juga merupakan faktor utama yang menjadikan kenapa program latihan yang tersusun perlu di laksanakan oleh organisasi. Dalam apa juga bidang yang diceburi oleh sesebuah organisasi sama ada sector awam mahupun swasta persaingan sentiasa wujud dan semakin sengit. Keperluan dan kepentingan pelanggan juga semakin bertambah dan mencabar. Sekiranya organisasi masih belum berubah dan masih mengekalkan corak perancangan program latihan kaedah lama sudah pasti ia akan tertinggal dengan pesaingnya dan pada masa hadapan akan gagal berfungsi ataupun terus tidak relevan.
Pada masa yang sama program latihan yang tidak dirancang dengan sempurna tidak akan memberikan hasil kepada organisasi. Keperluan kos, masa dan tenaga perlu disusun sewajarnya bagi meamastikan tidak berlakunya pembaziran dalam sumber organisasi.
Peningkatan tahap profesionalisma di kalangan tenaga kerja dalam negara yang semakin meningkat juga memberikan cabaran kepada sesebuah organisasi untuk menyusun dan merancang program latihannya dengan sempurna. Kewujudan ‘Talent Management‘ disesetengah organisasi merupakan manifestasi daripada pembangunan tahap profesionalisma berkenaan. Tren pembangunan organisasi sekarang adalah membangunkan sumber manusia dari sumber dalamannya menunjukkan kepentingan perancangan program latihan yang teliti sebagai persediaan cabaran masa depan sesebuah organisasi.
Program latihan yang tersusun mampu membantu organisasi memperbaiki perancangan pengurusan dan penyelarasan sumber tenaga manusianya. Ia juga boleh membantu meninngkatkan prestasi dan komunikasi di kalangan anggota organisasi. Pada masa yang sama ia juga memberikan motivasi kepada anggota organisasi untuk meningkatkan prestasi, mengiktiraf kejayaan dan menyediakan maklumbalas membina yang akan menguntungkan.
Ledakan teknologi maklumat pula memberikan pelbagai akses dan ruang kepada anggota organisasi untuk melihat pelbagai kemudahan yang di sediakan oleh organisasi lain atau pesaing. Organisasi perlu meningkatkan keupayaan untuk menerima dan menyerap teknologi yang sentiasa berubah ini untuk sentiasa berada di hadapan. Sekiranya organisasi tidak berusaha untuk merancang program latihan dalamannya mengikut keperluan dan kehendak semasa sudah pastinya ia akan terus ketinggalan dan tidak mustahil tenaga kerja yang mahir di dalamnya akan keluar mencari peluang baru di organisasi yang lebih kompetitif dan menawarkan pembangunan kerjaya yang lebih komprehensif.
Berdasarkan dengan penerangan dan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa sememangnya organisasi perlu mempunyai perancangan yang tersusun dan menyeluruh terhadap program latihan sumber manusianya, kegagalan untuk menyediakan latihan kepada tenaga kerja akan merosakkan masa depan organisasi itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...