Rabu, 26 Oktober 2011

Melindungi anak-anak daripada Perkara Haram




Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah.  Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya sebagai yahudi, atau menjadikannya sebagai nasrani atau menjadikannya sebagai majusi.
Oleh
Hasnan Kasan
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia
hasnan@pkrisc.cc.ukm.my
Ketika anak-anak dilahirkan oleh ibu, ia adalah ibarat kain putih yang suci bersih tanpa tercemar dengan sebarang bentuk kotoran. Keadaan bersih dan jauh daripada kotoran ini dinamakan sebagai fitrah. Dalam keadaan fitrah, manusia dapat mengenal dan meletakkan Tuhannya pada tempat yang sepatutnya. Inilah yang telah diibaratkan oleh hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya sebagai yahudi, atau menjadikannya sebagai nasrani atau menjadikannya sebagai majusi.
Nasih anak-anak kecil yang belum mengetahui apa-apa adalah bergantung kepada kedua ibubapanya. Ini kerana kedua ibubapa adalah orang yang paling awal berinteraksi dengan anak-anak. Begitu juga tidak kurang penting diketahui bahawa ibubapalah yang merupakan orang yang paling rapat dan lama pergaulannya dengan anak-anak berbanding dengan orang lain. Dalam pergaulan hari-hari yang tidak pernah senggang, ibubapa sepatutnya dapat memahami tabiat dan perubahan yang ada pada anak-anak yang sedang membesar. Begitu juga hari-hari, anak-anak sentiasa menyaksikan paparan perlakuan dan sikap yang ditunjukkan oleh ibubapa kepada mereka samada secara sedar atau tidak sedar. Mahu tidak mahu anak-anak akan memerhatikan gerak laku ibubapa mereka dirumah dan juga diluar rumah ketika mereka bersama-sama berkativiti. Sekalipun bukanlah tujuan anak-anak untuk memberikan penilaian baik buruk kepada perlakuan yang dilakukan oleh ibubapa, akan tetapi ia tetap penting diberikan perhatian. Ini kerana dalam tempoh membesar inilah anak-anak akan cuba dan mudah meniru dan mengikut perlakuan yang mereka tonton secara langsung berbanding yang didengarkan kepada mereka sengaja teori atau arahan.
Pembentukan akhlak dan perlakuan anak-anak diperingkat awal adalah amat penting kerana ia akan menjadi satu latihan asas yang akan membiasakan mereka dengan nilai-nilai mulia dalam kehidupan manusia terutama yang telah dianjurkan oleh syariat Islam dan dipaparkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. Membiasakan diri anak-anak dengan ahklah yang mulia dan murni ini akan menjadikan mereka terdidik di atas landasan yang membolehkan mereka berupaya membezakan antara perkara yang baik dan perkara yang jahat. Kemahiran berperlakuan mulia ini bukan dapat diperolehi dengan tiba-tiba apabila anak-anak kecil meningkat dewasa kelak. Kemahiran ini bukan semudah itu diperolehi oleh mereka. Ia perlukan penerangan, panduan, bimbingan dan tunjuk ajar yang secukupnya daripada pihak yang sepatutnya memainkan peranan tersebut. Sudah pasti orang yang paling awal dan utama menjalankan tugas dan tanggungjawab ini ialah kedua ibubapa. Setelah kedua ibubapa, barulah pihak lain menyambut memberikan sokongan dan melengkapkan usaha yang telah oleh mereka.
Paksi kepada didikan akhlak dan nilai-nilai murni ialah melakukan yang diperintah oleh Allah dan menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang olehNya. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
Suruhlah anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka sebab meninggalkannya apabila mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan pada ketika usia ini.

Allah memerintahkan para wali menjaga ahli keluarga,  memelihara dan melindungi  mereka daripada api neraka. FirmanNya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, pelihara dan lindungilah ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia kafir dan batu-batu pejal.
Memelihara dan melindungi ahli keluarga daripada dicampakkan ke dalam api neraka yang teramat panas bakarannya ini adalah menjadi tanggungjawab ketua keluarga iaitu para wali dan penjaga. Dalam aspek ini ada dua bentuk perlindungan yang perlu ditekankan oleh ibubapa terhadap anak-anak yang masih dalam peringkat mudah menerima didikan. Dua bentuk perlindungan itu ialah:
Pertama: Melindungi mereka daripada memakan dan minum benda-benda yang diharamkan oleh Allah walau apa bentuk sekalipun walaupun dalam jumlah kuantiti yang sedikit. Begitu juga ibubapa hendaklah menjauhkan mereka daripada makan dan minum perkara syubhat yang tidak pasti haram dan halalnya kerana dikhuatiri ia terjauh ke lembah yang haram. Makan dan minum benda yang haram ini boleh berlaku dalam dua bentuk. Bentuk pertama ialah menggunakan hasil kerja yang haram untuk mendapatkan makanan dan minuman yang halal seperti menggunakan hasil curi, rasuah dan penipuan untuk menyara makan minum anak-anak. Bentuk kedua pula ialah hasil pendapatannya adalah halal tetapi bahan makanan dan minuman yang didapatkan untuk anak-anak ini terdiri daripada benda-benda yang diharamkan seperti arak dan daging yang disembelih tidak menepati peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Rasulullah s.a.w telah memberikan amaran kepada umat Islam supaya menjauhkan diri daripada memakan benda yang haram dalam sabdanya yang bermaksud:
Setiap daging yang tumbuh hasil daripada makan benda yang haram maka api neraka adalah yang paling utama untuknya.
Oleh itu ibubapa yang ingin melihat anaknya membesar sebagai anak yang soleh perlu memberikan perhatian terhadap sumber pendapatan dan punca rezeki yang dgunakan untuk menyara makan dan minum anak-anak ini.
Kedua: Melindungi, menjauhkan dan mengawal anak-anak daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah. Perkara yang diharamkan oleh Allah tidaklah sebanyak perkara yang dihalalkan olehNya. Perkara yang diharamkan di dalam Islam sudah pasti akan mendatangkan kerosakan kepada pelaku dan orang disekelilingnya samada secara jelas atau tidak. Oleh itu syariat Islam mewajibkan kepada umatnya supaya melarang orang lain daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah atau juga disebut sebagai mungkar. Di sinilah ditekankan konsep amar makruf nahi mungkar yang mesti dijalankan oleh setiap orang Islam. Ini kerana ia akan dapat memelihara kesucian individu dan keharmonian masyarakat. Dalam konteks anak-anak, ibubapalah orang yang paling bertanggungjawab dan berhak mencegah dan menghalang mereka daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah samada yang melibatkan anggota tangan dan kaki mahupun yang melibatkan pancaindera seperti mata dan telinga. Ibubapa perlu memerhatikan tingkah laku dan tindak tanduk anak-anak diperingikat mereka tidak berupaya mengawal diri sendiri daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah itu. Ini kerana melanggar perkara yang diharamkan oleh Allah ini akan mengakibatkan hati yang menjadi raja seluruh badan akan menjadi hitam. Apabila hati ini menjadi hitam maka ia akan rosak. Apabila hati ini telah rosak maka seluruh badan akan turut rosak. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada segumpal darah, apabila ia baik maka akan baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuh badan. Ketahuilah ia adalah hati.
Larangan daripada melakukan perkara haram ini perlu dilakukan seawal usia kanak-anak. Ia tidak boleh ditangguhkan kerana kemahiran dan kekuatan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang haram ini perlukan latihan yang rapi. Pepatah Melayu ada menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Anak kecil adalah ibarat rebung yang masih mudah dilentur. Justeru itu dalam usia awal ini mereka perlu dibentuk dan dididik menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah. Nilai haram dan kemurkaan Allah sudah pasti perlu ditanamkan ke dalam diri anak-anak kecil ini supaya mereka nampak kekejian dan keburukan melakukan perkara tersebut. Di samping itu mudarat duniawi perkara haram juga perlu dijelaskan kepada mereka kerana setiap perkara yang haram itu sudah pasti membawa mudarat kepada pelakunya di dunia ini.
Usaha menjauhkan dan mengawal diri anak-anak daripada perkara haram ini perlu dilakukan dengan penuh kesedaran dan kesungguhan oleh ibubapa. Tidak ada tolak ansur dalam perkara yang diharamkan. Ibubapa perlu bertegas dalam memastikan anak-anak tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah bagimemastikan anak-anak membesar sebagai seorang anak soleh dan mempunyai jiwa serta hati yang bersih. Apabila hati anak-anak ini bersih maka mereka akan mudah untuk melakukan perkara yang diperintah oleh Allah. Kebersihan hati ini lebih-lebih lagi diperlukan apabila anak-anak ini sudah tidak berada dalam jangkauan pemerhatian ibubapa lagi. Pada ketika ini mereka akanberdikari mempertahan diri mereka daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah di samping menunaikan segala yang suruh olehNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...