Ahad, 9 Oktober 2011

Pendidikan awal modal baik untuk kecemerlangan masa depan anak




TAHNIAH: Johanthan (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada salah  sebuah pasukan yang menang sambil diperhatikan oleh Ismawi (kanan), Abang Rabaiee (tiga kiri) dan Hairani (kiri) serta yang lain semasa berlangsungnya majlis berkenaan kelmarin.



SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak pada usia seawal lima tahun merupakan satu modal yang baik untuk kecemerlangan mereka pada masa hadapan.
Oleh itu, menurut beliau, masa depan anak-anak adalah bergantung kepada sejauh mana pembentukan akhlak mereka pada masa ini daripada ibu bapa mereka.
Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak bagi Zon 3 Sri Aman di Stadium Kompleks Sukan Bahagian Sri Aman di sini kelmarin.
Katanya, ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sebulat-bulatnya tanggugjawab mendidik anak-anak kepada guru sebaliknya tanggungjawab tersebut perlu dipikul oleh semua pihak.
Sementara itu, beliau mengucapkan syabas kepada KEMAS kerana usaha gigih yang tidak putus melaksanakan tanggungjawab membangunkan minda masyarakat.
Jelasnya, sejak akhir-akhir ini, KEMAS katanya begitu aktif dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai satu agensi kerajaan yang begitu bersungguh-sungguh dalam usaha tersebut.
Dalam pada itu, Harden berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh KEMAS itu perlu diambil iktibar oleh pihak lain kerana komitmen yang tinggi untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aktiviti tidak formal seperti melalui tabika, taska dan lain-lain.
Katanya, jika usaha itu diteruskan dari semasa-semasa, sudah pasti akan lahir modal insan yang berkualiti hasil daripada kecemerlangan pendidikan pada hari ini.
Beliau yakin semua pihak akan terus memberi perhatian serius kepada anak-anak.
Terdahulu, turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Abang Rabaiee Abang Muhi.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada KEMAS Bahagian Sri Aman dan Betong kerana berjaya mengelolakan program sebesar itu yang melibatkan  260  kanak-kanak daripada daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok.
Beliau berharap usaha itu akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa untuk merapatkan ikatan silatulrahim antara agensi dan jabatan kerajaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Sri Aman Ismawi Salleh, Pegawai KEMAS Daerah Lubok Antu Dampi Manggie, Pegawai KEMAS Daerah Betong Frida Suntik, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hairani Solo, wakil pengurus Bank Rakyat dan Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Rickado Dolen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...