Ahad, 9 Oktober 2011

Penjawat awam perlu menekankan ketepatan waktu dan mutu hasil kerja




SARIKEI: Penjawat awam perlu memberi penekanan terhadap ketepatan waktu dan mutu hasil kerja dalam meningkatkan tahap standard agar negara ini menjadi negara maju dari segi kualiti output yang dihasilkan.
Penjawat awam juga perlu lebih menjurus kepada ‘business like’ iaitu perlu mesra dan mengutamakan kepuasan pelanggan dalam semua perkara.
Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Ali berkata, jika sesebuah organisasi itu ingin maju, pekerjanya harus mesra pelanggan dan jika perkara sebaliknya berlaku, ini akan meninggalkan kesan yang buruk berpanjangan terhadap organisasi tersebut.
“Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) adalah satu program turun padang oleh badan-badan kerajaan untuk bertemu dengan masyarakat dan melalui kesempatan ini saya berharap orang awam mampu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.
“Peluang ini boleh digunakan untuk mengemukakan cadangan, pendapat, usul dan masalah secara bersemuka di kaunter-kaunter aduan yang telah disediakan.
“Penanjuran majlis ini tidak bermaksud untuk mencari mana-mana kelemahan agensi awam tetapi ia adalah sebagai satu jalinan penghubung antara agensi dengan pengadu dalam mengendalikan pengurusan aduan,” kata Michael.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KABB Bahagian Sarikei di Central Market Sarikei, semalam.
Tambahnya, program ini amat penting bagi membantu jabatan dan agensi memperbaiki kualiti serta menambah baik penyampaian perkhidmatan sedia ada.
Di majlis yang sama, Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri Pejabat Negeri Sarawak Biti Anggot berharap peluang ini akan memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang peranan dan fungsi sesebuah organisasi.
“Aduan yang dikemukakan oleh orang ramai terhadap agensi-agensi kerajaan ini dapat kita jadikan sebagai alat pengukur untuk menilai perkhidmatan yang telah diberikan oleh agensi dan jabatan kerajaan terlibat, sama ada ia memuaskan atau tidak.
“Melalui aduan yang diterima, kita akan jadikan ia satu asas bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang diberikan, maka dengan itu ia harus ditangani dengan segera, dan jika tidak ia pasti akan menimbulkan masalah yang lain dan turut menjejaskan imej perkhidmatan awam di negara ini,” kata Biti.
Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...