Jumaat, 11 November 2011

17 keracunan di sekolah setakat Oktober


Sumber:
Utusan Borneo

by NIK JASNI CHE JAAFAR nikjasni.ub@gmail.com. Posted on November 11, 2011, Friday





Haji Jamail (dua kiri) menyampaikan anugerah tempat pertama Kantin Sekolah Menengah Bersih kepada wakil dari kantin SMK Tebobon.

KOTA KINABALU: Sebanyak 17 episod keracunan makanan dilaporkan di sekolah-sekolah di negeri ini setakat Oktober lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Yusof Ibrahim.
Menurut beliau, jumlah terbabit menunjukkan penurunan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 22 episod.
Kata beliau, keracunan makanan di sekolah berlaku disebabkan oleh pengendalian makanan yang tidak bersih atau makanan tidak disimpan dengan baik sehingga makanan mudah basi dan menyebabkan keracunan makanan.
“Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius terhadap kes ini kerana mengambilkira kesannya terhadap kesihatan murid yang akan mempengaruhi prestasi pembelajaran mereka.
“Kerana itu, tindakan tegas akan diambil terhadap pengendali makanan di kantin sekolah dan dapur asrama yang terlibat,” katanya di Majlis Penganugerahan Pertandingan Kantin Sekolah Menengah dan Dewan Makan Sekolah Menengah Berasrama, di sini, kelmarin.
Ucapan dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Kesihatan Awam), Dr Haji Jamail Muhi.
Tambah Yusof, sejajar matlamat itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pemeriksaan Sendiri (Kendiri) yang dilaksanakan secara berterusan dengan memberi tumpuan kepada faktor risiko kemungkinan pencemaran berlaku.
Yusof berkata program Kendiri bersifat proaktif ini membolehkan pemantauan berterusan terhadap faktor risiko dilaksanakan dan penambahbaikan pula dapat dilakukan serta merta dan in-situ.
Sementara itu, katanya, penganjuran anugerah kantin dan dewan makan asrama bersih ini dapat mengukur pemahaman mengenai amalan Kendiri yang dijalankan dan tingkahlaku pengendali makanan terhadap aspek keselamatan makanan.
Kata beliau, program ini adalah kesinambungan kepada program melibatkan sekolah rendah yang diadakan pada tahun lalu.
“Program ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada pengendali makanan selain menyokong dan memberi pengiktirafan kepada usaha yang telah diambil oleh pengurusan sekolah untuk mengekalkan Amalan-amalan Kebersihan Yang Baik dalam penyediaan makanan kepada pelajar,”katanya.
Tambah beliau, kriteria yang diambilkira untuk penilaian kantin dan dewan makan bersih adalah pelaksanakan program Kendiri oleh kantin dan dewan makan serta markah pemeriksaan tidak kurang dari 85 peratus melalui Borang KKM 3P2.
Selain itu, turut diambil kira adalah pematuhan terhadap Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dan pematuhan Dokumen Perjanjian Kontrak Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dan Buku Log.
Pemenang tempat pertama kantin bersih, SMK Tebobon,Kota Kinabalu dan SMK Matunggong, Kudat bagi dewan makan asrama bersih akan bertanding di peringkat kebangsaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...