Jumaat, 11 November 2011

Guru berkualiti lahir pelajar cemerlang


Sumber:
Utusan Borneo

by Pauline Kayan. Posted on November 11, 2011, Friday






Semua guru mempunyai matlamat yang sama iaitu bentuk modal insan dalam diri pelajar







CEMERLANG: Alexander (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang semasa Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah SMK Selirik, di sini semalam.



KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata guru yang berkualiti melahirkan pelajar cemerlang.
“Guru memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar yang berkualiti, bukan sahaja dalam bidang akademik semata-mata, malah dalam bidang kokurikulum dan personaliti yang berketerampilan.
“Pelajar merupakan bakal pemimpin pada masa depan, dan hala tuju negara berada dalam tangan mereka.
“Oleh itu, guru berperanan penting dalam membentuk jati diri para pelajar untuk menjadi insan berguna pada masa depan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah SMK Selirik, di sini semalam.
Alexander berkata, guru tidak kira dari Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak mempunyai matlamat yang sama iaitu membentuk modal insan dalam diri pelajar, selain daripada menyampaikan ilmu pengetahuan untuk kegunaan mereka pada masa depan.
“Pelajar seharusnya berterima kasih dan menghargai jasa guru dalam membentuk dan mendidik mereka. Malah, usaha membentuk pelajar cemerlang bukan sekadar terletak di tangan guru semata-mata.
“Kerjasama daripada ibu bapa pelajar serta kakitangan sekolah yang lain juga penting dalam usaha mendidik anak-anak kita.
“Kerajaan sudah menyediakan kemudahan pendidikan yang secukupnya, malah menyediakan tenaga pengajar. Oleh itu, sokongan serta kerjasama daripada ibu bapa adalah amat penting.
“Ibu bapa perlu mengambil perhatian terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka. Jangan sekadar melepas batuk di tangga.
“Selepas waktu sekolah, anak-anak berada di bawah jagaan ibu bapa. Jangan ambil mudah tentang pergerakan mereka,” katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya menjalinkan hubungan baik dengan tenaga pengajar serta kakitangan sekolah.
“Gunakan masa ‘Hari Terbuka Sekolah’ dengan baik, untuk bertanya tentang perkembangan pelajaran anak-anak masing-masing serta tahap disiplin mereka,” tegasnya.
Hadir sama Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Azaman Hailee, Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Selirik Tuai Rumah Emak Lapau, Penyelia Kanan KEMAS Ambrose Abong Bugek dan Pemangku Pengetua SMK Selirik Azlinda Mohd Nor.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas usaha tenaga pengajar di sekolah itu dalam meningkatkan pencapaian dan prestasi sekolah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...