Sumber:
Utusan Borneo
UNTUK PANDUAN: Rodziah menerangkan lebih terperinci mengenai buku berkenaan. |
KOTA SAMARAHAN: Residen Samarahan Rodziah Morshidi melancarkan ‘Buku Manual Maklumat Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir’ untuk bahagian Samarahan semalam.
Menurutnya, buku tersebut dilancarkan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai jika kawasan itu dilanda banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini.
“Beberapa maklumat yang penting terkandung dalam buku ini seperti mengenai keperluan serta direktori pusat dan pegawai yang boleh dihubungi jika menghadapi banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Pemantauan Bahagian Samarahan (JKPBB) di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.
“Buku ini juga adalah sebagai persiapan kita menghadapi banjir, jika bencana ini terjadi, mudah untuk orang ramai mendapatkan pertolongan nanti,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, bagi persiapan menghadapi banjir di bahagian Samarahan yang dijangka berlaku pada Disember ini, seramai 1,673 anggota ditempatkan di beberapa lokasi.
Selain itu, sebanyak 112 tempat pemindahan ditubuhkan di empat daerah dalam bahagian Samarahan iaitu Kota Samarahan (14 buah), Serian (12 buah), Simunjan (tujuh buah) dan Asajaya (16 buah).
“Manakala 21 perahu penyelamat turut disediakan jika banjir teruk berlaku di bahagian Samarahan kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan 40 peratus lebih daripada biasa akan turun pada Disember depan.
“Semua kelengkapan maka-nan, tempat tinggal sementara (bagi mangsa banjir) serta kemudahan juga disediakan sebagai persiapan kita,” kata- nya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, segala persiapan itu seperti digambarkan dalam pepatah Melayu yang selalu disebut iaitu ‘sediakan payung sebelum hujan’.
“Kita hanya buat persiapan, jika berlaku banjir bantuan dapat dihulurkan dengan segera tanpa masalah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Manyin memberitahu bahawa JKPBB hanya membuat persiapan bagi membantu mangsa banjir seperti kelengkapan dan kemudahan tetapi tidak memberi pampasan kerugian akibat banjir.
“Jawatankuasa ini (JKPBB) akan memberi bantuan dari segi tempat perpindahan sementara, peralatan banjir dan kemudahan banjir dan kita tidak memberi atau menyediakan pam-pasan atas kerosakan akibat banjir ini,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan